‘Kerajaan kekal sebagai ‘caretaker’ – Ismail Sabri

0

Kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berfungsi sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker’ sebelum kerajaan baharu dibentuk.

Justeru kata Datuk Seri Ismail Sabri, rakyat tidak perlu bimbang, memandangkan kerajaan sementara masih boleh berfungsi untuk mengurus tadbir negara.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri dalam satu temubual bersama Harian Metro hari ini.

“Apabila tak cukup bilangan 112. Kerajan ini masih kekal caretaker, rakyat jangan terkeliru seolah-olah sekarang tiada kerajaan. Kerajaan lama masih kekal sebagai caretaker malah kabinet lalu juga masih berfungsi sebagai caretaker kabinet kecuali mereka yang tak bertanding dan kalah dalam PRU mungkin tak boleh jawatan jawatan seperti dulu kerana bukan Ahli Parlimen tapi setakat ni boleh berfungsi seperti biasa,” katanya.

Kerajaan caretaker akan membentangkan mini Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2023, bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya menyentuh pembayaran gaji penjawat awam.

Datuk Seri Ismail Sabri, berkata langkah itu akan dibuat sekiranya tiada mana-mana parti membentuk kerajaan dalam masa terdekat ini.

“Parlimen akan bersidang untuk bentang mini bajet bayar gaji, kena bentang sebelum 31 Disember kerana Januari kena bayar. Kakitangan awam tak perlu bimbang kita ada pembentangan khas tiada bahas, bentang dan lulus,” katanya.

Dalam pada itu Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, buat masa ini Ismail Sabri juga masih menjadi Perdana Menteri caretaker mengikut amalan perlembagaan.

“Namun dari segi undang-undang sememangnya kerajaan caretaker masih lagi berlangsung dan berfungsi sehingga kerajaan baharu dibentuk,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Situasi sama pernah berlaku di Belgium pada tahun 2010 hingga 2011 apabila kerajaan Belgium meneruskan pentadbiran selama 589 hari tanpa kerajaan yang dipilih, lebih setahun selepas pilihan raya umum diadakan pada Jun 2010.

Dalam pada itu, beliau menambah Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar dan polisi baharu walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

“Kerajaan sementara hanya boleh menjaga hal ehwal harian tetapi tidak boleh membuat keputusan mengenai dasar,” ujarnya.

Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply