Saya membaca tulisan Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican, tokoh akademik dan sejarawan terkemuka Malaysia yang disiarkan dalam Dewan Masyarakat, bertajuk “Pelopor dan Wartawan Surat Khabar Berbahasa Melayu: Mereka Pejuang dan Pahlawan Kemerdekaan”, dengan penuh minat.
Klik: https://dewanmasyarakat.jendeladbp.my/2026/09

Saya sentiasa kagum dengan pandangan dan pemikiran Prof. Murad Merican, khususnya apabila beliau melihat sejarah kewartawanan Melayu bukan sekadar sebagai sejarah media, tetapi sebagai sebahagian daripada perjuangan membina kesedaran bangsa dan negara.
Tulisan beliau membuatkan saya berfikir tentang satu persoalan lain: bagaimana pula kita melihat peranan media dalam konteks hari ini? Jika dahulu pena wartawan menjadi antara senjata intelektual dalam membangkitkan kesedaran masyarakat, hari ini medan kewartawanan telah berubah sama sekali. Berita berada di dalam telefon kita. Maklumat bergerak dalam beberapa saat. Satu video boleh menjadi tular sebelum sempat disahkan, manakala satu tajuk boleh membentuk persepsi sebelum pembaca membaca keseluruhan laporan.
Di tengah-tengah perubahan itu muncul satu kuasa baharu yang semakin menentukan apa yang kita lihat dan baca, algoritma.
Generasi wartawan terdahulu mungkin berhadapan dengan keterbatasan teknologi dan kawalan penerbitan, tetapi mereka mempunyai ruang untuk membentuk pemikiran melalui akhbar. Akhbar bukan sekadar memberitahu masyarakat apa yang berlaku, tetapi membantu masyarakat memahami mengapa sesuatu perkara berlaku. Hari ini, kita mempunyai jauh lebih banyak platform dan suara. Namun, lebih banyak suara tidak semestinya bermakna lebih banyak maklumat yang berkualiti.
Kita hidup dalam zaman “information overload”. Setiap hari kita berhadapan dengan berita, video pendek, komen, kenyataan, analisis, podcast, kandungan influencer dan kini kandungan yang dijana oleh kecerdasan buatan. Dalam keadaan ini, perhatian manusia menjadi komoditi. Kandungan yang berjaya mendapatkan perhatian akan mendapat lebih banyak ruang, dan algoritma direka untuk mengenal pasti apa yang membuatkan kita terus menonton, membaca, berkongsi atau memberi komen.
Di sinilah peranan wartawan menjadi semakin penting.
Dalam ekosistem media hari ini, angka sering menjadi ukuran. Berapa banyak tontonan? Berapa banyak perkongsian? Berapa banyak komen? Berapa cepat sesuatu berita menjadi viral? Semua itu penting untuk kelangsungan organisasi media kerana media juga merupakan sebuah industri. Namun, kita perlu berhati-hati apabila ukuran perhatian mula mengatasi nilai berita itu sendiri.
Berita yang sensasi tidak semestinya berita yang paling penting. Berita yang paling banyak dikongsi tidak semestinya berita yang paling benar. Dan berita yang paling pantas diterbitkan tidak semestinya berita yang paling lengkap.
Di sinilah saya melihat perbezaan antara media sebagai industri dengan kewartawanan sebagai tanggungjawab sosial. Media perlu mencari pembaca, tetapi kewartawanan perlu mencari kebenaran. Kedua-duanya boleh berjalan seiring, tetapi yang pertama tidak seharusnya menenggelamkan yang kedua.
Pada masa yang sama, wartawan bukan lagi satu-satunya gatekeeper. Hari ini sesiapa sahaja boleh menjadi penerbit. Dengan sebuah telefon pintar, seseorang boleh merakam kejadian, menulis kapsyen dan mencapai ribuan atau jutaan orang tanpa melalui organisasi media.
Perubahan ini sebenarnya membuka ruang yang lebih luas untuk masyarakat bersuara. Tetapi ia juga menghapuskan sebahagian daripada proses penapisan editorial yang selama ini menjadi tanggungjawab organisasi media. Sebab itu, apabila semua orang boleh menjadi penerbit, peranan wartawan tidak menjadi kurang penting. Sebaliknya, ia menjadi lebih penting.
Dalam lautan kandungan, masyarakat memerlukan mereka yang tahu membezakan antara fakta dan dakwaan, antara sumber dan spekulasi, antara laporan dan pendapat, serta antara sesuatu yang benar-benar berlaku dengan sesuatu yang sekadar kelihatan benar.
Kemunculan AI pula menambah satu lagi dimensi kepada cabaran ini. AI boleh membantu wartawan mencari data, menganalisis dokumen, menghasilkan transkrip dan mempercepatkan kerja editorial. Tetapi teknologi yang sama juga boleh digunakan untuk menghasilkan gambar, suara dan video yang mengelirukan. Cabaran sebenar bukan sama ada manusia akan kalah kepada AI, tetapi sama ada manusia mampu menggunakan AI tanpa menyerahkan pertimbangan editorial kepada mesin.
Sebab itu, apabila Prof. Murad Merican mengangkat wartawan terdahulu sebagai pejuang dan pahlawan kemerdekaan, saya melihat persoalan itu juga wajar dibawa ke zaman sekarang. Apakah bentuk “pejuang kewartawanan” hari ini?
Mungkin bukan mereka yang paling lantang, paling banyak pengikut atau paling pantas menerbitkan berita. Sebaliknya, mungkin mereka yang masih sanggup menyemak fakta ketika semua orang sudah berkongsi; yang berani bertanya soalan yang tidak popular; yang memberi ruang kepada suara yang tidak mempunyai pengaruh; dan yang tidak mengorbankan fakta semata-mata untuk mendapatkan klik.
Jika wartawan terdahulu menggunakan pena untuk membina kesedaran tentang kemerdekaan, wartawan hari ini berhadapan dengan satu bentuk perjuangan yang berbeza, mempertahankan ruang awam daripada manipulasi maklumat dan memastikan masyarakat mempunyai akses kepada maklumat yang boleh dipercayai.
Mungkin inilah bentuk kemerdekaan yang perlu kita fikirkan dalam era digital: bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi bebas membuat pertimbangan berdasarkan maklumat yang sahih, lengkap dan berasaskan fakta.
Akhirnya, tulisan Prof. Murad Merican bukan sekadar mengajak kita mengenang wartawan-wartawan terdahulu. Ia juga mengajak kita bertanya tentang diri kita sendiri sebagai pengamal media: apakah yang sedang kita lakukan dengan kuasa media yang kita miliki hari ini?
Dahulu mereka mempunyai akhbar. Hari ini kita mempunyai portal, media sosial, video dan kecerdasan buatan. Dahulu mereka berhadapan dengan mesin cetak. Hari ini kita berhadapan dengan algoritma.
Medium berubah. Teknologi berubah. Tetapi tanggungjawab kewartawanan tidak sepatutnya berubah.
Pena mungkin telah bertukar menjadi papan kekunci, tetapi keberanian untuk mencari kebenaran, menyemak fakta dan menyampaikan apa yang masyarakat perlu tahu, itulah yang sepatutnya kekal.
Mungkin itulah bentuk “pejuang” kewartawanan yang kita perlukan hari ini.–TMP
WITHOUT FEAR OR FAVOUR. THE MALAYA POST

Penulis, Nik Suryani Megat Deraman, Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dan Ketua Pengarang The Malaya Post, kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.

Leave a Reply