Sebuah video yang tular di Facebook memaparkan persembahan lima orang pelakon dengan dialog, gaya penyampaian dan gerak tubuh yang menimbulkan persoalan serius berkaitan batas kebebasan berkarya serta sensitiviti masyarakat.
Antara ungkapan yang kedengaran dalam persembahan tersebut termasuk:
“You go back to China.”
“You go back to Indonesia lah.”
“You go back to India.”
Persembahan itu turut menyentuh prinsip Rukun Negara melalui ungkapan:
“Trust in God. Percaya kepada Tuhan.”
“Loyalty to kings and country.”
“Constitutional Supremacy.”
“Rule of Law.”
“Special provisions for certain races.”
“Politeness and morality.”
Paparan #PrayForNajib turut dilihat dalam video berkenaan. Konteks dan maksud keseluruhan paparan terbabit perlu dinilai berdasarkan rakaman penuh.
Satira atau keterlaluan?
Persoalannya bukan hanya terletak pada kandungan dialog, tetapi juga gaya penyampaian, aksi dan gerak tubuh para pelakon yang dilihat melampaui batas kesopanan.
Adakah pendekatan tersebut benar-benar bertujuan menyampaikan kritikan melalui satira, atau dipersembahkan secara keterlaluan sehingga berpotensi memperlekeh prinsip Rukun Negara serta menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi negara?

Kebebasan berkarya sememangnya mempunyai ruang dalam masyarakat demokratik. Namun, kebebasan itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap nilai bersama.
Satira boleh menjadi medium kritikan, tetapi bukan lesen untuk mempermainkan Rukun Negara.
Siasat dan ambil tindakan
Ini bukan lagi sekadar persoalan sama ada wujud unsur yang melanggar batas. Unsur yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan prinsip Rukun Negara dalam persembahan tersebut sememangnya perlu diberi perhatian serius.
Pihak berkuasa wajar menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan rakaman penuh, konteks persembahan dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Jika pelanggaran undang-undang dikenal pasti, tindakan sewajarnya perlu diambil berdasarkan fakta dan tanpa pilih kasih.
Rukun Negara bukan skrip untuk dipermainkan. Kebebasan berkarya perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab.
– THE MALAYA POST- WITHOUT FEAR OR FAVOUR

Leave a Reply