KUALA LUMPUR, 8 Sept – Anak kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Azman Azeez, meluahkan rasa hairan dan kecewa selepas bapanya yang dijadualkan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan dalam satu kes lain.
Menurut Azman, Abdul Azeez kini berada di Balai Polis Dang Wangi dan dikatakan akan melalui proses permohonan reman esok.
Ketika dihubungi The Malaya Post malam ini, Azman secara ringkas mempersoalkan perkembangan yang berlaku terhadap bapanya.
“Kegilaan apakah ini?” katanya.
Terdahulu, Azman menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa bapanya sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi menghadapi pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.
Namun, beliau berkata keadaan berubah apabila bapanya sekali lagi berada dalam tahanan dan dikatakan akan direman bermula esok berhubung satu siasatan lain.
“Esok, ayah saya sepatutnya melangkah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.
“Namun malam ini, ayah saya sekali lagi berada dalam tahanan dan kali ini di Balai Polis Dang Wangi dan dikatakan akan direman bermula esok,” katanya.
Azman, yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia, berkata beliau menulis hantaran tersebut bukan atas kapasiti sebagai seorang ahli politik, sebaliknya sebagai seorang anak.
Menurutnya, bukan mudah untuk beliau menyaksikan bapanya melalui situasi sedemikian.
Beliau berkata, sepanjang hidupnya, Abdul Azeez merupakan seorang yang sentiasa dilihat kuat dan memilih untuk bersabar ketika berdepan pelbagai ujian.
“Dalam banyak keadaan, saya lihat sendiri bagaimana ayah memilih untuk diam apabila dihina, memilih untuk bersabar apabila difitnah dan memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada Allah apabila berdepan ujian,” katanya.
Bagaimanapun, Azman menegaskan beliau tidak mahu mendahului proses mahkamah atau membuat sebarang penghakiman terhadap mana-mana pihak.
Sebaliknya, beliau berharap semua proses undang-undang yang sedang berjalan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan tanpa prejudis.
“Saya cuma berharap satu perkara iaitu biarlah proses ini berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis.
“Pertuduhan hanyalah pertuduhan sehingga dibuktikan di mahkamah,” katanya.
Beliau turut memohon orang ramai mendoakan agar bapanya diberikan kekuatan, ketenangan dan perlindungan dalam menghadapi situasi tersebut.
Menurut Azman, di sebalik figura yang dikenali ramai sebagai Azeez Rahim, Abdul Azeez adalah seorang ayah yang dipanggil “Ata” oleh ahli keluarganya.
Setakat malam ini, maklumat lanjut berhubung siasatan berasingan yang membawa kepada penahanan Abdul Azeez belum diperoleh.
The Malaya Post sedang berusaha mendapatkan pengesahan serta maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung perkembangan berkenaan.

Leave a Reply