Sunday, May 19, 2024
HomeBERITAMatt Orie Corner setanding restoran makanan segera popular dunia

Matt Orie Corner setanding restoran makanan segera popular dunia

Bermula dengan hanya membuka gerai di kaki lima namun kini Matt Orie Corner telah melebarkan sayap dan berjaya memiliki beberapa rangkaian perniagaan dan tidak asing lagi di Terengganu.

Pemilik restoran yang menyediakan sajian ayam goreng persis KFC dikenali sebagai Harun, kini telah mengambil alih tapak premis perniagaan Chicken Cottage di Kampung Ladang Tok Pelam dan menggantikan dengan nama Matt Orie.

Harun yang lebih mesra disapa Abang Mat menceritakan serta berkongsi jerih perih pengalaman membina perniagaan Matt Orie di laman sosial Facebook miliknya memberitahu dia memulakan perniagaan dari kecil-kecilan, turut berpengalaman bekerja di francais ayam goreng terkenal iaitu KFC.

Menurutnya, setelah tamat persekolahan, dia melakukan pelbagai jenis kerja sehingga diterima bekerja di KFC pada tahun 1994.

Pada mulanya dia hanya memegang jawatan sebagai pekerja bawahan namun setelah 10 tahun melalui pelbagai pengalaman pahit manis, dia tidak menafikan ianya berbaloi kerana bermula sebagai pekerja berpangkat rendah dia telah melalui peningkatan kenaikan pangkat sehingga berjaya memegang jawatan sebagai Pengurus Restoran (Restaurant Manager).

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2779303348829072&id=100002483012308&sfnsn=mo

“Bangga juga seposen sbb aku tak lah cerdik pandai mcm yg lain.. Kate org base Org putih cair mulut…aku dgn pekat ganu.. ramai yg dok faham bila bual..” tulisnya.

Pada tahun 2005, Abang Mat mencuba membuka pernigaan sendiri seperti mana yang diinginkannya sejak dahulu.

Meskipun bermula dari bawah, Abang Mat membuka perniagaannya berdasarkan pengalaman yang diperolehi dari kerjanya di KFC.

Abang Mat mula berniaga di bawah pokok di tepi bangunan kecil dengan dibantu oleh adik dan isterinya.

“Pada tahun pertama hanya Allah jer yg faham ape nasib niaga kecil ni .. mcm2 dugaan dan ujian yg dtg sampai rase putus ase pun ade.. maklum lah sebelum ni jawatan restaurants Manager kata kan, dok dlm aircond, pakai smart dgn tai dan banyak bagi arahan jer… hahahahaha bila buat bisness diri baru tahu langit tinggi ke rendah,” luah Abang Mat.

Namun dia percaya dengan keberkatan doa ibu-bapa, ahli keluarga dan sahabat, Abang Mat bertahan sehingga ke hari ini dan pelbagai usaha turut dilakukan, antaranya berniaga di pasar malam, pasar tani dan bazar Ramadhan sehingga terpaksa mengorbankan waktu tidur dan rehat.

Berkat kesabaran, tahun demi tahun silih berganti, perniagaannya semakin baik dan dikenali sehingga ada yang memanggilnya ‘KFC tipu’.

Menurut Abang Mat, bermula tahun 2005 sehingga 2019 pelbagai pengalaman pahit manis telah ditempuhinya.

Tambahnya lagi, segala perkara yang terjadi, jatuh bangun dan pelbagai kejadian dilaluinya, Abang Mat hanya menganggap ianya sebagai satu kejayaan yg paling manis dan tidak ke arah kegagalan.

“Kalau gagal kita mati lah.. putus ase.. bagi aku gagal tu berjaya sbb aku kan usaha dan usaha hingga sekarang ni..Jangan pandang belakang atau ingat kisah2 sedih jatuh.. ingat lah org yg tersayang ????????????????”.

Tambahnya, saat dia berhenti kerja dengan KFC dan memulakan perniagaan sendiri dia sememangnya mempunyai impian dan cita-cita yang mahu dicapainya.

Impian dan cita-citanya adalah ingin memiliki sebuah restoran yang sama atau setanding KFC atau perniagaan francais ‘fast food’ lain ditambah dengan pengurusan yang baik serta teratur.

Pada akhir tahun 2019, niat dan impian sejak 15 tahun yang lalu untuk membuka perniagaan sendiri tercapai apabila Matt Orie Corner kini tersergam gah di Kg Ladang Tok Pelam, malah ianya beroperasi 24 jam.

Ini merupakan satu pencapaian yang besar buatnya malah untuk negeri Terengganu juga kerana Matt Orie yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera dan anak jati negeri Terengganu mampu berdiri megah sebaris restoran ‘fast food’ yang lain.

Abang Mat turut mencari lokaliti penduduk Terengganu yang mahu sama-sama menjadi rakan kongsi untuk membangunkan impian besar dan menjadi sebahagian dari pasukannya samada di Terengganu mahupun Kuala Lumpur dalam usaha memberi manfaat kepada orang ramai.

Selain di Kampung Ladang Tok Pelam, Matt Orie Corner kini beroperasi dibeberapa cawangan di sekitar Terengganu, antaranya di Jalan Kota Lama (berhadapan Kamdar), Kampung Padang Midin, Kampung Binjai Manir.

Semoga kejayaan Abang Mat boleh menjadi inspirasi buat anak muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan seterusnya bergelar usahawan berjaya. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel
Untuk perkembangan berita dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

1 COMMENT

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments