Friday, November 20, 2026
HomeBERITAWartawan tidak pernah bersara

Wartawan tidak pernah bersara

“Awak tak nak masuk bilik berita balik ke?”
Soalan itu sering saya terima daripada rakan lama, bekas rakan sekerja, malah kadangkala daripada orang yang baru saya kenali.

Mungkin kerana mereka masih mengingati wajah saya di kaca televisyen dahulu atau mungkin kerana ada yang menganggap apabila seseorang tidak lagi muncul di media arus perdana, maka berakhirlah kerjaya mereka.

Namun, realitinya tidak begitu. Bagi saya, wartawan tidak pernah benar-benar bersara. Saya memulakan kerjaya kewartawanan di usia yang muda, dan telah menghabiskan lebih dua dekad dalam dunia penyiaran.

Sepanjang tempoh itu, saya berpeluang memegang pelbagai peranan termasuk sebagai wartawan lapangan, penyampai berita, pengacara, penerbit program tv, dan pembangun kandungan kreatif.

Dunia bilik berita mengajar saya tentang disiplin, ketepatan, kelajuan, dan paling utama, tanggungjawab. Tanggungjawab ini bukan sekadar kepada organisasi, tetapi kepada masyarakat dan kebenaran.

Saya pernah berada di barisan hadapan bencana alam, menyaksikan sendiri derita mangsa tsunami di Acheh. Saya melihat tubuh kaku seorang kanak-kanak yang dibunuh kejam, keluarganya merayu agar kisah itu mendapat pembelaan.

Saya melaporkan kes jenayah berprofil tinggi, mengikuti perbicaraan mahkamah bagi mengangkat suara rakyat marhaen, serta menyorot isu masyarakat seperti gelandangan dan pemerdagangan wanita serta kanak-kanak. Saya juga menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, merakamkan penderitaan akibat konflik dan ketidakadilan.

Semua pengalaman ini bukan sekadar tugasan kewartawanan, ia membentuk jiwa, menyemai empati dan mengukuhkan makna tanggungjawab sebagai penyampai suara rakyat.

Tetapi dunia media terus berubah. Kewartawanan kini tidak lagi hanya terikat dengan siaran pukul 8 malam.

Maklumat bergerak sepantas jari menekan butang. Media sosial dan teknologi digital membentuk landskap baharu, memaksa pengamal media untuk keluar dari zon selesa.

Saya sendiri mengambil keputusan untuk tidak sekadar menyesuaikan diri, tetapi mencipta ruang saya sendiri.

Sejak tahun 2019, saya mengusahakan portal berita sendiri. Pada mulanya, ia hanya sebagai hobi untuk ‘lepas gian’ berkarya selepas meninggalkan dunia penyiaran.

Saya rindu akan nadi berita, dan platform ini memberi saya ruang untuk terus menulis, melaporkan dan menyampaikan. Namun tanpa disedari, ia menjadi titik mula kepada fasa baharu dalam hidup saya sebagai usahawan media.

Daripada sekadar satu laman berita kecil, ia berkembang menjadi entiti yang mempunyai suara tersendiri.

Saya belajar tentang pengurusan sumber manusia, kandungan digital, strategi penjenamaan, penghasilan video sosial, dan yang paling mencabar bagaimana untuk menjadikan media sebagai perniagaan yang mampan.

Hari ini, saya menerajui sebuah agensi kandungan media dan produksi yang giat menghasilkan berita digital, projek editorial berimpak, serta kandungan strategik untuk pelbagai segmen khalayak.

Ia bukan perjalanan yang mudah penuh dengan cabaran, persaingan sengit, dan keperluan untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta tingkah laku pengguna.

Namun, setiap cabaran menjadi ruang untuk belajar, memperkukuh prinsip, dan terus berkembang sebagai usahawan media yang berpegang pada nilai kewartawanan sejati.

Pengalaman ini membuka mata saya bahawa dunia kewartawanan tidak semestinya berakhir apabila kita meninggalkan organisasi besar.

Sebaliknya, ia boleh berkembang dalam bentuk yang lebih bebas, lebih dekat dengan suara masyarakat, dan lebih kreatif dalam penyampaian.

Jika pengalaman saya mampu menyuntik sedikit inspirasi, saya berharap ia dapat memberi keyakinan kepada rakan-rakan wartawan terutamanya wanita untuk berani melangkah ke dunia keusahawanan media.

Dunia digital memerlukan suara yang sahih, berprinsip dan beretika dan siapa lagi yang lebih layak membawa misi ini selain kita yang telah dilatih dalam dunia berita?

Pada masa yang sama, saya memulakan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang kewartawanan multimedia pada tahun 2022 dan kini meneruskan pengajian doktor falsafah dalam bidang Pengurusan Media sejak tahun 2024.

Penulisan tesis saya memberi tumpuan kepada bagaimana bilik berita dapat memanfaatkan data untuk menghasilkan kandungan yang lebih bermakna serta tepat sasaran kepada khalayak.

Saya percaya bahawa di sebalik segala perubahan teknologi ini, nilai teras kewartawanan iaitu ketepatan, kesahihan, dan kebertanggungjawaban masih kekal relevan dan wajib dipertahankan.

Saya juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Menyampaikan cerita rakyat marhaen, membantu mereka mendapatkan ruang untuk bersuara, dan memperjuangkan naratif yang lebih adil.

Semua ini adalah lanjutan daripada prinsip sama yang saya pegang sejak dulu bahawa suara rakyat harus diangkat dan tidak dipinggirkan.

Saya akui, sesekali terbit rasa rindu terhadap suasana bilik berita, ketegangan ketika berita tergempar melanda, debaran sewaktu menyampaikan keputusan pilihan raya secara langsung, serta keghairahan mencari sudut eksklusif untuk laporan khas.

Kini, saya berkarya dalam bentuk yang berbeza sebagai penerbit, penulis naratif, penceramah dan usahawan media.

Kerana bagi saya, wartawan tidak pernah benar-benar bersara.

Dia mungkin tidak lagi berdiri di hadapan kamera, namun jiwanya terus menyala dengan rasa ingin tahu yang tidak pernah padam.

Dia mungkin tidak lagi mengejar ‘breaking news’, tetapi semangatnya tetap membara dalam perjuangan menyampaikan kebenaran.

Di dunia yang semakin hingar-bingar dengan lautan maklumat, suara wartawan yang jujur dan berprinsip jauh lebih diperlukan daripada sebelumnya.

Wartawan sejati tidak pernah hilang arah. Dia hanya mencari medium baharu untuk terus menyuarakan nurani masyarakat.

Selagi nadi ini berdegup untuk kebenaran, selagi itu saya akan terus menulis, bercakap dan menyala dalam dunia media.

Kerana inilah hidup saya dan inilah jiwa seorang wartawan.

Artikel ini telah diterbit oleh MPI pada tahun 2025. Penulis diberi penghormatan oleh MPI untuk menyumbang artikel ini untuk siaran  Jurnal Kewartawanan MPI, Edisi 1, Julai 2025. Ia turut disiarkan dalam buku program Malam Wartawan Malaysia 2025.

Penulis, Nik Suryani binti Megat Deraman merupakan Ketua Pengarang The Malaya Post, bekas wartawan penyiaran kanan dan penyampai berita dan pengacara tv. Kini, beliau memegang jawatan Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia, sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Media serta merupakan pengasas dan peneraju agensi kandungan digital.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments