Friday, November 20, 2026
HomeBERITAGPMS bantah laluan inklusif UEC ke Universiti Awam, dakwa bercanggah dengan Dasar...

GPMS bantah laluan inklusif UEC ke Universiti Awam, dakwa bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membantah keputusan kerajaan meneruskan laluan inklusif bagi pemegang sijil Unified Examination Certificate (UEC) ke Universiti Awam kerana dianggap bercanggah dengan semangat Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Presiden GPMS, Fazreen Fauzi berkata, kerajaan tidak seharusnya meneruskan dasar tersebut sekiranya memahami sensitiviti serta implikasi besar terhadap sistem pendidikan negara.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi yang menegaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi demi memenuhi tuntutan mana-mana pihak.

Menurut Fazreen, Universiti Awam ialah institusi nasional yang perlu kekal berasaskan sistem pendidikan negara serta Akta Pendidikan sedia ada.

“Pendidikan bukan sekadar soal akses akademik semata-mata, tetapi turut melibatkan pembinaan identiti nasional dan asas perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

GPMS turut mempersoalkan keperluan meneruskan laluan inklusif tersebut apabila Dong Zong sendiri dilihat masih tidak bersetuju sepenuhnya dengan syarat yang ditetapkan kerajaan termasuk keperluan lulus Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat SPM.

Dalam masa sama, GPMS mahu isu tersebut dibawa semula ke peringkat Kabinet dan Parlimen supaya satu pendirian menyeluruh dapat dicapai.

Menurut pertubuhan itu, persoalan turut timbul mengenai kedudukan UEC yang dikendalikan oleh sebuah pertubuhan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), dan bukan sepenuhnya berada di bawah kerangka sistem pendidikan nasional.

Susulan itu, GPMS memberi amaran akan menganjurkan Himpunan Korban Akta Pendidikan pada 30 Jun 2026 di hadapan Kementerian Pendidikan Tinggi sekiranya pelaksanaan laluan inklusif tersebut diteruskan.

GPMS juga memaklumkan bahawa satu Sidang Meja Bulat bersama NGO Melayu Islam dan pendidikan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkenaan.–THE MALAYA POST

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments