Saturday, November 21, 2026
HomeDARI KETUA PENGARANGKJ lancar Jentera UMNO Sungai Buloh, siap siaga awal hadapi PRU16

KJ lancar Jentera UMNO Sungai Buloh, siap siaga awal hadapi PRU16

SUNGAI BULOH, 13 Mei – UMNO Bahagian Sungai Buloh mengorak langkah awal memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) apabila melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) dalam satu majlis penuh semangat yang disempurnakan oleh Khairy Jamaluddin, malam tadi.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, beliau sendiri tidak pasti sama ada akan dicalonkan oleh pucuk pimpinan pada PRU akan datang, namun tetap komited membantu memperkukuhkan gerak kerja parti di Sungai Buloh sebagai ahli UMNO bahagian berkenaan.

“Saya tidak pasti sama ada akan dicalonkan atau tidak. Kalau dicalonkan sekali pun, belum tentu di mana kerana itu terpulang kepada keputusan parti. Namun sebagai ahli UMNO Bahagian Sungai Buloh, saya akan bantu dan bersama-sama memperkukuhkan jentera dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran jentera BN sempena Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80, sambutan Hari Ibu serta kepulangannya ke pangkuan UMNO Bahagian Sungai Buloh yang berlangsung di Ballroom Hotel U3.

UMNO Bahagian Sungai Buloh menjadi antara bahagian terawal melancarkan dan menyerahkan Vest Jentera Barisan Nasional (BN) kepada barisan jentera pilihan rayanya sebagai simbol kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang. Pelancaran vest tersebut disempurnakan oleh Khairy Jamaluddin.

Majlis berkenaan menghimpunkan hampir 300 tetamu terdiri daripada Ketua-Ketua Cawangan, Ketua-Ketua Sayap Cawangan, barisan kepimpinan bahagian serta pelbagai tetamu jemputan dan VVIP.

Dalam acara simbolik terbabit, vest jentera disarungkan kepada pimpinan utama UMNO Bahagian Sungai Buloh merangkumi kepimpinan bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri serta wakil jentera akar umbi.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Hj Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid berkata, pelancaran vest berkenaan bukan sekadar penyerahan pakaian rasmi jentera, tetapi simbol kesiapsiagaan, semangat perjuangan dan kesatuan gerak kerja menghadapi medan politik yang semakin mencabar.

Menurut beliau, UMNO Bahagian Sungai Buloh telah bergerak aktif di lapangan sejak hampir tiga tahun lalu bagi memperkukuhkan jentera dan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

“Malam ini bukan sekadar nostalgia atau simbolik kepulangan seorang tokoh, tetapi bukti bahawa UMNO Sungai Buloh sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dengan lebih tersusun dan bertenaga,” katanya.

Majlis turut menyaksikan satu perkembangan menarik apabila seramai 10 kakitangan operator Ballroom Hotel tampil secara adhoc menyerahkan borang permohonan keahlian UMNO kepada Khairy Jamaluddin untuk dipanjangkan kepada Ketua Bahagian.

Menurut Datuk Megat, kesemua individu terbabit menyatakan hasrat untuk menyertai UMNO Bahagian Sungai Buloh susulan keberadaan Khairy Jamaluddin di bahagian tersebut.

“Mereka melihat ada semangat dan aura baharu di Sungai Buloh. Ini menunjukkan politik juga mampu menyentuh hati mereka yang berada di luar lingkungan parti,” katanya lagi.

Turut hadir menjadi tetamu, Ketua UMNO Bahagian Ketereh merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia. Datuk Seri Md Alwi bin Che Ahmad.

Majlis yang berlangsung bermula jam 8.30 malam sehingga hampir 12 malam itu turut diserikan dengan tayangan montaj khas, sambutan Hari Ibu serta ucapan utama Khairy Jamaluddin selepas diterima kembali ke pangkuan UMNO.

Pada PRU ke-15 lalu, Khairy yang mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh  kubu kuat Pakatan Harapan (PH), biarpun tewas, tetap berjaya mencatat keputusan memberangsangkan dengan mengurangkan majoriti kemenangan lawan secara signifikan.

PH menerusi calonnya, Datuk Seri R Ramanan, berjaya mempertahankan kerusi berkenaan, namun hanya dengan majoriti 2,693 undi.

Keputusan itu dilihat berbeza ketara berbanding PRU 2018 apabila calon PKR, R Sivarasa, menang dengan majoriti besar sebanyak 26,634 undi, sekali gus menunjukkan perubahan landskap sokongan politik di Sungai Buloh.–THE MALAYA POST

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments