SHAH ALAM, 21 Jun 2025 — Tokoh akademik dan sejarawan media, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican menawarkan tajaan biasiswa berjumlah RM5,000 setiap seorang kepada lima pelajar PhD yang menjalankan penyelidikan dalam bidang kewartawanan dan akhbar Melayu di seluruh Kepulauan Melayu Nusantara.
Biasiswa yang dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan peribadi beliau itu diberikan dengan kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Ia bertujuan menggalakkan penyelidikan sejarah dan peranan media Melayu dalam pembinaan pemikiran serta identiti bangsa di rantau ini.
“Warisan kewartawanan Melayu adalah khazanah intelektual yang masih belum diteroka sepenuhnya. Saya berharap tajaan ini dapat mencetuskan minat baharu dalam kalangan pelajar muda untuk menyelami sejarah media dari perspektif rantau Nusantara,” kata Prof. Murad ketika ditemubual The Malaya Post
Lima cadangan penyelidikan terbaik akan dipilih berdasarkan keaslian idea, potensi impak akademik serta kesungguhan pelajar untuk menjalankan kajian mendalam termasuk ke lokasi lapangan dan arkib sejarah di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM akan menyelaras proses pemilihan, penilaian akademik serta pemantauan penyelidikan penerima tajaan.

Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican ialah Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Bidang kepakaran beliau meliputi Kajian Media dan Kewartawanan Melayu, Sejarah Media, Sejarah Intelektual, dan Falsafah Sains Sosial.
Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan BERNAMA, dan telah menerbitkan pelbagai buku, monograf dan artikel ilmiah dalam jurnal tempatan dan antarabangsa.
Beliau juga aktif sebagai editor jurnal akademik, penasihat panel kerajaan dan institusi media, serta merupakan tokoh penting dalam pembangunan program kajian kewartawanan di Malaysia dan Indonesia.
Beliau dianugerahkan Fellowship Presiden Yayasan Kepimpinan Perdana atas sumbangan dalam kajian wacana Melayu dan pemikiran pascakolonial.–THEMALAYAPOST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply