Wanita UMNO Malaysia mohon jaminan tiada lagi kenaikan OPR dan cadangan pengecualian pada golongan sasar

0

PETALING JAYA, 5 Mei – Wanita UMNO Malaysia menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memberi penjelasan dalam “bahasa mudah” kepada rakyat berkenaan apakah signifikannya BNM menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga 3%.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari dalam satu kenyataan medianya, sehingga hari ini, BNM telah memberikan penjelasan yang terlalu teknikal dan kurang difahami sehingga menimbul persepsi negatif rakyat terhadap Kerajaan.

Namun katanya kesan kenaikan OPR secara agresif, yang merupakan kali ke lima sejak Mei 2022 ini telah menyebabkan kadar bayaran balik pinjaman meningkat secara drastik dan amat membebankan peminjam-peminjam terutama golongan B40.

“Yang nyata kesan kenaikan OPR secara agresif, yang merupakan kali ke lima sejak Mei 2022 ini telah menyebabkan kadar bayaran balik pinjaman meningkat secara drastik.

“Ia amat membebankan peminjam-peminjam terutama golongan B40”, katanya.

Justeru tambah beliau,  wanita UMNO mendesak BNM agar memberi jaminan bahawa tiada lagi kenaikan OPR dalam masa terdekat dengan mengambil kira nasib rakyat yang sedang bergelut dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar.

Bangunan Bank Negara Malaysia (Foto Ehsan Abd Razak Aid)

“Wanita UMNO juga ingin mencadangkan agar BNM mengambil jalan tengah dan mempunyai sedikit empati dengan mengarahkan semua bank agar memberi pengecualian kenaikan ini kepada golongan sasar atau terjejas,” katanya.

Rabu lalu, MPC BNM telah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Bank pusat itu berkata ekonomi global terus didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh, dan pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply