Tuesday, May 28, 2024
HomeBERITAUtusan Melayu, Kosmo terkubur jua

Utusan Melayu, Kosmo terkubur jua

KUALA LUMPUR 9 Oktober 2019 – Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad hari ini mengesahkan pemberhentian operasi perniagaan syarikat berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu dinyatakan dalam satu memorandum pekeliling ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Katanya, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).

“Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi ‘solven’ untuk meneruskan perniagaan.

“Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

“Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019,” katanya.

Beliau terdahulu dalam memorandum berkenaan menjelaskan, syarikat telah melalui tempoh perniagaan paling kritikal sejak mula beroperasi 80 tahun lalu.

Pelbagai usaha dilakukan bagi mengukuhkan keadaan syarikat sejak keadaan merosot selepas Mei 2018.

Ia termasuk penawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebelum ini.

“Usaha turut diambil dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

“Namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.

“Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak.

“Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang,” katanya.

Menurutnya lagi, semua kakitangan Utusan Melayu dan Kosmo ! diminta mengemaskan tempat kerja dan mengambil barang peribadi masing-masing serta mengembalikan peralatan syarikat jam 1 petang tadi.

Satu sesi taklimat kepada semua kakitangan daripada pihak pelikuidasi akan diadakan jam 3 petang, 30 Oktober depan.

Kami dari The Malaya Post mendoakan rakan-rakan media berkenaan diluaskan pintu rezeki oleh Allah SWT.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments