Monday, May 27, 2024
HomeBERITAUndang-undang dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, pencapaian dan harapan

Undang-undang dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, pencapaian dan harapan

Undang-undang adalah antara asas kepada setiap sudut kesejahteraan dan pencapaian masyarakat. Ini kerana tiada mana-mana masyarakat yang auto-pilot yang tidak dikawal. Masyarakat memerlukan pelbagai kawalan, termasuk dalam bentuk undang-undang. Oleh kerana itu, dalam masyarakat demokrasi, seperti Malaysia, terdapat badan utama yang membuat undang-undang, iaitu Parlimen pada peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri pada peringkat Negeri. Malaysia juga mempunyai badan pelaksana undang-undang, iaitu pihak eksekutif dan badan kehakiman untuk mentafsir undang-undang. Apabila membincangkan hal berkaitan undang-undang, ia melibatkan ketiga-tiga institusi ini.

Walaupun begitu kertas ini tidak membincangkan secara terperinci urusan pelaksanaan undang-undang secara menyeluruh.

Blackstone berkata bahawa undang-undang, dalam erti kata yang paling umum dan menyeluruh, “adalah peraturan atau tindakan yang ditetapkan oleh pihak atasan dan yang mesti dipatuhi oleh pihak bawahan.” Bagi negara kita, Perlembagaan adalah undang-undang yang paling tinggi da Parlimen adalah Badan Perundangan utama.

Tujuan undang-undang termasuklah mengawal tingkah laku manusia sehingga manusia menjadi terkawal perbuatan atau tingkah lakunya. Oleh itu, undang-undang boleh menyumbang untuk menjamin tingkah laku yang diingini dan mencegah tingkah laku yang tidak diingini. Pada masa yang sama, undang-undang juga boleh menyumbang kepada penyelesaian pertikaian dan undang-undang juga menjadi pelindung kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Justeru, fungsi undang-undang yang paling utama ialah undang-undang membentuk realiti sosial. Realiti sosial bermaksud keadaan masyarakat yang sebenar, yang menjurus kepada kewujudan masyarakat yang diidamkan.

Dalam hal ini, undang-undang adalah alat untuk membentuk, merangka, dan juga membina hampir semua bidang hubungan antara manusia pada peringkat individu dan institusi dan undang-undang boleh membentuk masa depan masyarakat dan negara.

Bagi tujuan membuat undang-undang, norma kehidupan Keluarga Malaysia, yang mempunyai pengaruh agama dan moral, serta identiti atau ideologi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah menjadi asas kepada undang-undang. Ini adalah ekrana setiap undang-undang hendaklah berasaskan kepada realiti masyarakat

Justeru, para legislator hendaklah membuat undang-undang yang boleh membentuk Keluarga Malaysia yang sejahtera, dan pada masa sama para legislator juga hendaklah membuat undang-undang yang dapat menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Justeru itu, masa depan Keluarga Malaysia adalah juga boleh dipengaruhi oleh undang-undang yang diwujudkan pada masa kini.

Dalam pembetangan ini saya tidak menyentuh tentang pelaksanaan undang-undang, saya sekadar menyebut tentang keperluan mewujudkan undang-undang dan termasuk urusan mentadbir undang-undang.

Pencapaian

Pencapaian pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Perdana Malaysia dalam konteks undang-undang adalah amat baik. Ini kerana pihak legislator telah berjaya meluluskan lebih kurang 40 Rang Undang-Undang, termasuk beberapa undang-undang penting, tiga RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan, termasuk bagi membaikpulih hubungan dalam sebuah negara Persekutuan dan banyak pindaan Akta.

Walaupun kerajaan mungkin mendapat manfaat daripada Memorandum Persefahaman politik yang dipersetujui , namun, oleh kerana keadaan yang begitu dinamik, termasuk keadaan kesihatan awam dan keadaan politik, kerajaan sebenarnya telah menampilkan kekuatan tersendiri untuk bukan sahaja menggubal undang-undang yang biasa, tetapi berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan. Kejayaan ini menjadi luar biasa kerana seperti yang kita maklum, kerajaan ini adalah kerajaan ketiga dan dipersoalkan kepercayaannya pada awal lantikan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Kejayaan dalam gubalan undang-undang ini disertai juga denga kejayaan mengukuhkan suatu rang undang-undang melalui Jawatankuasa Khas yang dilantik. Perkara ini secara langsung telah mengukuhkan peranan Parlimen sebagai Badan Perundangan. Ini adalah satu bentuk pencapaian yang tinggi.

Oleh kerana pelbagai kejayaan atau pencapaian dalam gubalan undang-undang, saya hanya menyebutkan beberapa pencapaian sebagai contoh sahaja. Gubalan undang-undang seperti undang-undang berkaitan gangguan seksual yang telah sekian lama tergantung telah menunjukkan kejayaan pada kerajaan dan para legislator. Undang-undang ini adalah penting bagi Keluarga Malaysia kerana ia melibatkan kebebasan dan maruah diri keluarga Malaysia.

Bagi hal berkaitan kestabilan politik, kejayaan menggubal undang-undang anti tukar parti boleh dianggap satu kejayaan. Walaupun undang-undang ini belum lagi pasti berjaya menghalang perubahan kerajaan pada masa akan datang, namun sekurang-kurangnya ia dapat ‘menyukarkan’ perkara ini untuk berlaku.

Undang-Undang berkaitan autoriti berkaitan disiplin Pasukan Polis juga dapat diluluskan setelah melalui beberapa episod kontroversi pada pengenalan undang-undang itu pada masa kerajaan terdahulu.

RUU Generasi Penamat adalah antara usaha penting untuk menjaga generasi akan datang. Ia adalah satu kejayaan kepada kerajaan yang mementingkan jaminan kesihatan kepada generasi akan datang.Keterbukaan kerajaan untuk bersetuju merujuk RUU tersebut kepada suatu Jawatankuasa Khas adalah satu yang perlu dipuji dan diambil tauladan.

Harapan

1. Penubuhan Law Reform Commission /Suruhanjaya Pembaharuan Undnag-Undang

Antara pencapaian utama Keluarga Malaysia ialah apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan terdapat 147 undang-undang yang perlu disemak semula. Perkara ini sebenarnya telah banyak dibicarakan secara ilmiah oleh para akademik dan amat disedari juga oleh para pengamal undang-undang di peringkat Peguam Negara dan juga para peguam. Bagi tujuan pembaharuan unddang-undang, adalah diharapkan sebuah Law Reform Commission yang bebas daripada pengaruh “orang politik” perlu diaktifkan sebagai satu badan bebas yang melaksanakan tugas sepanjang masa mengkaji undang-undang yang perlu ditambahbaik atau dimansuhkan atau juga mencadangkan diwujudkan undang-undang yang baharu. Walaupun kerja-kerja berkaitan dilakukan oleh para

2. Memperkasa Legislator

Perkembangan semasa menampilkan kehadiran para ahli legislator yang baharu. Kehadiran mereka mempengaruhi perbahasan dan juga kefahaman tentang proses gubalan undang-undang. Justeru itu, memperkasa para legislator, terutamanya para legislator baharu dengan membolehkan mereka menegetahui tentang selok belok gubalan undang-undang adalah menjadi perkara utama. Latihan ini juga dapat memberikan manfaat kepada para legislator lain yang seterusnya akan memberi kesan positif kepada kualiti undang-undang yang digubal.

3. Memperkasa Parlimen

Pemerkasaan Parlimen dengan mengembalikan undang-undang yang berkaitan pentadbiran Parlimen adalah penting. Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah dimansuhkan hendaklah dikembalikan dalam bentuk baharu agar Parlimen menjadi lebih bebas, terutamanya dari segi peruntukan dana dan juga hal berkaitan proses gubalan undang-undang. Untuk itu, berkaitan juga draftmen hendaklah berada di Parlimen dan bukan semata-mata di kamar Peguam Negara.

4. Mengembalikan Peruntukan Asal Perlembagaan

Sebelum ini, terutamanya pada era 80an sehingga awal 90an, terdapat banyak pindaan kepada Perlembagaan yang memberi kesan ke atas prinsip asas Perlembagaan, termasuk kesan ke atas kebebasan kehakiman. Pindaan Perkara 121(1) sebagai contoh telah menyebabkan kuasa kehakiman (judicial power) tidak lagi terletak hak kepada Badan Kehakiman. Kesan pindaan ini menjadikan kuasa kehakiman terpaksa ditafsir oleh mahkamah yang adakalanya mahkamah mempunyai perbezaan ketara tentang letak duduk kuasa kehakiman ini.

Kedua, pindaan ke atas peruntukan berkaitan peranan institusi beraja dalam proses gubalan undang-undang. Sehingga pindaan yang dibuat telah menafikan peranan institusi beraja dalam gubalan undang-undang. Kuasa memberi perkenan dan menetapkan tarikh kuat kuasa kepada suatu Rang Undang-Undang adalah kuasa yang ditegaskan oleh raja-raja semasa gubalan Perlembagaan Persekutuan. Walaupun raja-raja perlu menggunakan kuasa tersebut dengan mengambil kira kepentingan perjalanan demokrasi dan pentadbiran negara yang lancar, namun menghapuskan peranan institusi beraja tersebut telah mengurangkan kuasa institusi beraja sebagai mekanisme semak dan imbang. Peruntukan lebih baik untuk kedua-dua pihak, kerajaan dan institusi beraja perlu dikembalikan dalam Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya diberikan perhatian sewajarnya pada peringkat negeri.

5. Memastikan Para Legislator dan Hakim Menghayati Nilai Tempatan

Para legislator dan hakim adalah dua kumpulan pihak yang masing-masing terlibat secara langusung dalam gubalan dan tafsiran undang-undang. Dalam gubalan dan tafsiran undang-undang, pada banyak keadaan, melibatkan soal nilai yang bersangkutan dengan identiti negara dan bangsa. Setiap negara mempunyai nilai yang perlu dikodifikasi dalam undang-undang. Justeru, semasa gubalan atau semasa undang-undang ditafsir, nilai-nilai, seperti ajaran agama dan kemoralan awam perlu dititik beratkan dan perlu dijadikan satu agenda dalam sistem perundangan. Pada ketika ini ancaman kepada nilai tempatan ini semakin jelas dalam ruang sosial Keluarga Malaysia apabila kebebasan asasi di negara kita dibaca sebagai hak asasi seumpama di negara lain. Soal dasar ini perlu diambil perhatian dan peringatan berterusan perlu diangkat sebagai agenda kerajaan dalam menjamin kedudukan undang-undang yang meraikan modernisasi atau perkembangan terkini dan pada masa sama mengekalkan nilai negara sendiri.

6. Falsafah undang-undang

Oleh kerana cabaran yang mendatang ke atas undang-undang, sama ada pada tahap awal rudingan awam, gubalan dan penafsiran, adalah diharapakan kerajaan serius dalam menetapkan prinsip undang-undang termasuk dengan cara membina satu Falsafah Perundangan Negara. Antara lain, Falsafah tersebut perlu dibina kea rah “mencipta sistem perundangan yang berasaskan kepada identiti watan negara, bersandarkan konsep keadilan yang bersifat setempat tanpa mengbaikan nilai sejagat, mengangkat ketuhanan, mengutamakan kemoralan, menghormati kepelbagaian dan mengeratkan perpaduan”.

Segala pencapaian pastinya masih lagi wujudnya harapan. Ini kerana setiap pencapaian tidak semestinya menunjukkan sesuatu perkara itu perlu berhenti. Penambahbaikan kepada pencapaian menjadi harapan. Begitu juga dalam konteks undang-undang. Apa yang penting di sini ialah, pencapaian telah dilakukan dan kesinambungan juga perlu dilaksanakan.

Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz adalah penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments