Wednesday, July 17, 2024
HomeBERITAKeluarga Malaysia: Kesyukuran dan Kebahagiaan hidup abadi

Keluarga Malaysia: Kesyukuran dan Kebahagiaan hidup abadi

Oleh Dr. Barjoyai Bardai

Pendekatan Keluarga Malaysia pertama kali di umumkan oleh Y.A.B. Datuk Seri Ismail Sabri pada 22hb Ogos 2021 didalam ucapan sulungnya selepas dilantik menjadi perdana menteri ke-9 Malaysia pada 20hb. Ogos. Ia menggambarkan betapa thema Keluarga Malaysia ini menjadi prinsip utama pentadbiran kerajaan beliau.

Visi ‘Keluarga Malaysia’ ialah memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi yang bermatlamat sebagai aspirasi jangka panjang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai visi itu berlandaskan ‘Keberhasilan Kebahagiaan’.

Hala tuju strategik Pendekatan Keluarga Malaysia ini ialah rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa akan berganding bahu memulihkan negara daripada impak-impak negatif akibat COVID-19. ‘Keluarga Malaysia’ di tonjolkan bagi mewar-warkan keperluan menerima persamaan dan perbezaan berdasarkan nilal-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia berlandaskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Rukun Negara. Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat di negara ini bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang utuh.

Tiga teras utama tersebut ialah Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment).
Pengkayaan nilai-nilai di bawah tiga teras berkenaan termasuk :
1. menyemai budaya integriti dalam keluarga,
2. menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga,
3. menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan
4. menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.
5. menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga,
6. menyuburkan budaya komunikasi berhemah dalam kalangan keluarga dan masyarakat
7. membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.
8. kebertanggungjawaban terhadap keluarga,
9. membudayakan amalan ihsan dalam memupuk semangat kebersamaan keluarga,
10. memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga
11. menyemai budaya khidmat dalam keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan.
12. menjaga kehormatan dan maruah keluarga,
13. menyemaikan semangat prihatin untuk membantu ahli keluarga,
14. menerapkan budaya kesabaran dalam mengekalkan keharmonian keluarga
15. menyemai semangat keamanan serta kesejahteraan dalam diri ahli keluarga.
16. Memupuk aspek hidup beriman,
17. membudayakan amalan sihat fizikal dan mental,
18. mengekalkan tradisi dan adat kekeluargaan,
19. menyemai kasih sayang,
20. menerapkan rasa hormat dan taat.
Turut dikongsi bidang tujuan utama, Keluarga Malaysia merangkumi menyatu padukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia, mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan, memulih semula dan merapatkan jurang ekonomi.
Secara amnya, mesej keseluruhan konsep ‘Keluarga Malaysia’ dapat menerima persamaan dan perbezaan berdasarkan nilal-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia berlandaskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Rukun Negara.
Kesyukuran (contentment)

Perspektif keterangkuman dan kebersamaan merupakan thema kesinambungan dari gagasan transfomasi dan wawasan kemakmuran bersama yang di tonjolkan sejak beberapa pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Satu perspektif yang belum pernah di sentuh oleh kepimpinan negara sebelum ini sejak merdeka ialah Kesyukuran. Ini merupakan satu pembaharuan dan perbezaan penting didalam wawasan negara sejak berdekad yang lampau. Mungkin kepimpinan kerajaan yang lepas melihat Kesyukuran sebagai sesuatu yang sangat dekat dikaitkan dengan kepercayaan dan agama, dan kerana secara pokoknya Malaysia dilihat mengamalkan sistem sekular didalam pemerintahan negara, perspektif kesyukuran ini di ketepikan dahulu.

Walhal, di negara barat yang dianggap sangat kapitalis dan secara tegas melaksanakan sistem sekularisma ( pemisahan politik dan keagamaan) , aspek kesyukuran ini masih di tonjolkan. Misalnya di USA di setiap 26hb. November ‘Thanks-giving’ di sambut sebagai hari cuti umum dan ini di istiharkan sendiri oleh presidennya Abraham Lincoln pada tahun 1863. Thanks giving atau hari kesyukuran menekankan keperluan semua warga USA untuk bersyukur kerana penuaian yang melimpah, keselamatan belayar menjelajah Benua Amerika dari Eropah, kemakmuran dan keselamatan yang di alami oleh semua warga USA. Hari ini juga dirayakan di Kanada.

Apakah penonjolan ciri kesyukuran di dalam Wawasan Keluarga Malaysia ini memberi isyarat bahawa Malaysia sudah bersedia untuk mengetepikan prinsip sekularisme didalam sistem kerajaan ini. Ini bermaana kita sudah berani untuk memasukan elemen kepercayaan dan agama didalam sistem kerajaan dan pemerintahan negara.

Penonjolan Ciri-ciri kesyukuran yang menekankan kepada nilai Keharmonian dan kecintaan merupakan satu inovasi baru bagi program pembangunan negara Malaysia. Ia adalah sesuatu yang akan di jadikan tunggak dan dikenang sebagai inovasi penting didalam mengolah strategi dan program pembangunan negara.

Sumber foto Zulazhar Sheblee/ The Star

Kesyukuran ini di perkayakan dengan nilai-nilai khusus seperti berikut :
– Beriman
– Pembudayaan amalan sihat fizikal dan mental
– Pengekalan tradisi dan adat kekeluargaan
– Kasih sayang
– Hormat dan taat

Kebahagiaan ( Happiness ?)

Satu lagi perspektif yang agak baru ditonjolkan didalam pentadbiran kerajaan hari ini ialah konsep kebahagiaan. Kebahagiaan cuba di tonjolkan sebagai matlamat unggul pembangunan negara dengan menekankan konsep keluarga Malaysia – keluarga bahagia.

Di dalam mencari kebahagiaan sejati, kita perlu mendapat kegembiraan yang berterusan. Apakah ini boleh di jadikan matlamat hidup dan matlamat pembangunan negara?.

Perspektif kebahagiaan yang lebih mendalam dibincang di dalam lampiran kertas kerja ini.

Apakah matlamat unggul sebuah sistem ekonomi seperti diMalaysia ini ?. Di sebabkan penonjolan yang lebih kerap dan melata didalam persepktif pembangunan materialistik, kita biasanya akan lebih mudah mengarahkan perhatian kita kepada pembangunan materialistik – pertumbuhan KDNK yang mampan dan pencapaian matlamat fisikal biasanya menjadi tumpuan.

Umpamanya, kajian menunjukan Malaysia telah membangun dengan cemerlang sejak tahun 1947 dengan peningkatkan KDNK lebih 430 kali ganda, pendapatan pekapita meningkat 43 kali ganda, pendapatan menengah meningkat 35 kali ganda, kadar kemiskinan menurun sebanyak lebih 43%, perdagangan antarabangsa meningkat lebih 880 kali ganda dan peluang pekerjaan meningkat hampir 9.5 kali ganda. Lebih dekat kepada isi rumah, pendapatan menengah bagi seluruh isi rumah di Malaysia telah meningkat 35 kali ganda didalam tempoh 70 tahun tersebut iaitu 50% di setiap tahun berasaskan kiraan malar. Mengikut kaum etnik, pendapatan menengah telah meningkat 45 kali ganda bagi kaum Bumiputra, 30.8 kali ganda bagi kaum India dan 27.5 kali ganda bagi kaum China.

Namun apabila ditanyakan kepada isi rumah apa yang mereka mahu. Sebenarnya mereka tidak berminat mendengar kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat dan nilai KDNK yang tinggi. Ini terlalu abstrak dan mereka tidak dapat menghayatinya atau mengaitkannya dengan kehidupan mereka seharian. Apa yang mereka tahu ialah mereka ingin hidup bahagia walau pun kebanyakan mereka mungkin tidak berupaya untuk mendefinisikan apa itu kebahagiaan hidup.

Mengukur Kebahagiaan hidup

Didalam kebanyakan situasi, thema kesejahteraan hidup lebih kerap di tonjolkan didalam usaha untuk memenuhi hasrat warga Malaysia. Kesejahteraan hidup sebenar nya bukan lah matlamat unggul warga di sesebuah negara. Secara praktikal kita boleh menerangkan matlamat kehidupan ini kepada beberapa tahap seperti berikut :

Kebahagiaan abadi
•Kebahagian hidup adalah matlamat unggul dan biasanya di sebut sebagai matlamat ‘Kebahagiaan dunia dan akhirat’
•Kebahagiaan dunia adalah satu perasaan yang penuh lengkap dan sempurna. Ini sebenarnya lebih menekankan kepada persepsi dan pemikiran.

Secara teorinya kebahagiaan di lihat sebagai perbezaan diantara ‘ Harapan dan pencapaian’. Banyak orang yang terlalu taksub kepada harapan dan matlamatnya sehingga ia sentiasa merasa kurang bahagia kerana pencapaiannnya adalah masih terlalu jauh dari harapan asal atau matlamatnya walau pun ia sudah dianggap mewah dan kaya. Jadi ia sentiasa sebuk memikirkan dan mencuba untuk mencapai matlamat atau harapannya yang tinggi melangit.

•Kebahagiaan akhirat adalah berasaskan kepada matlamat – menjalani kehidupan sebagai satu perjalanan jauh menuju kejayaan akhirat. Ini melibatkan pengorbanan dan pelaburan didalam bentuk pengabdian diri kepada Allah S.W.T. sebagai persediaan kepada alam akhirat yang kekal. Mereka menganggap kehidupan di dunia sebagai satu perjalanan dan persinggahan yang sekejap. Matlamat kebahagiaan akhirat ialah untuk setiap detik menganggap bahawa segala perbuatan dan aktiviti hidup seharian sebagai satu pengabdian kepada Allah S.W.T. Bagaimana kita hendak mengaitkan ini dengan kehidupan dunia adalah satu cabaran yang penting.

•Bila sesorang itu berjaya mencapai kedua dua kebahagiaan di atas barulah ia merasa ia telah mencapai kebahagiaan abadi. Terlalu sedikit orang yang merasa ia telah mencapai kebahagiaan hidup abadi sehingga kebanyakan kita mungkin akan mati dengan masih membawa harapan yang besar.

Kegembiraan hidup

Kegembiraan hanyalah satu ekspresi kepada kebahagiaan yang datang melintas atau merentas. Kegembiraan mungkin datang dari sesuatu peristiwa atau pengalaman. Contoh contoh situasi yang mengembirakan :

•Baru lulus peperiksaan dengan cemerlang, Baru mendapat kerja, Baru mendapat gaji, Baru mendapat makanan yang diidamkan, Baru berkahwin, Baru mendapat cahaya mata, Baru membeli kereta Baru membeli rumah atau semasa menonton program Raja Lawak

Apa yang pelik ialah bagi masyarakat barat, ‘kegembiraan’ di anggap sebagai matlamat akhir kejayaan. Alasannya ialah ‘kebahagiaan’ hanya akan di pamerkan dari ‘kegembiraan’ – dengan tersenyum dan tertawa. Jadi jika seorang itu tidak gembira, walau pun ia berjaya dan mencapai semua matlamat dan harapannya ia belum lagi bahagia.

Masalahnya ialah tidak ada istilah yang sesuai di dalam Bahasa Inggeris untuk kebahagiaan – mungkin kerana itu ia tidak ada didalam budaya orang barat.

Jika kita renungkan dengan mendalam, sebenarnya kegembiraan hanya lah titik titik kebahagiaan yang tidak kekal dan abadi. Ini yang membezakan taktif kebahagiaan bagi masyarakat Melayu misalnya dengan Takrif kegemberiaan didalam masyarakat yang tidak beragama.

Kegembiraan adalah detik-detik atau rentasan kebahagiaan yang datang sekejap pada saat saat tertentu didalam kehidupan.

Kesejahteraan hidup

Kesejahteraan hidup pula sebenar nya adalah komponan dari kebahagiaan. Ia boleh ditakrifkan sebagai aspek materialisma kepada kebahagiaan. Perwujudan elemen kesejahteraan seperti permilikan harta, pendapatan yang tinggi dan persekitaran yang sejahtera – aman, damai dan selamat merupakan aspek kesejahteraan utama.

Sebenarnya seseorang yang mengalami kesejahteraan hidup tidak semestinya bahagia selagi matlamat atau harapannya masih belum dapat di capai.

Karajaan boleh menyediakan seberapa banyak elemen atau komponen kesejahteraan, namun itu tidak akan menjamin kebahagiaan hidup isi rumah dan penduduknya.

Kemakmuran hidup

Kemakmuran lebih merujuk kepada persekitaran yang murni, aman, damai dan selesa. Duduk didalam bilik berhawa dingin adalah elemen kemakmuran. Tetapi ia tidak boleh menjamin yang penghuninya akan bahagia. Biliknya mungkin terasa terlalu sejuk, terlalu terkurung atau penghuninya risau tentang bil letrik yang akan meningkat kerana menggunakan alat penghawa dingin.

Kerajaan biasanya menumpukan usaha memakmurkan negara dan penduduk dengan menyediakan keperluan asas seperti letrik, air, telekomunikasi, jalan raya, perhubungan udara, laut dan darat dan persekitaran yang selesa untuk membolehkan warganya hidup mencari pendapatan dan hidup bertamadun.

Kesederhaan hidup

Kesederhanaan biasanya di anggap sebagai jalan tengah untuk merendahkan harapan hidup dan untuk mengurangkan usaha mengejar kekayaan dan matlamat hidup sementara. Ada kalanya isi rumah hanya akan melabel kan kedudukan ini sebagai ‘tahap bertahan’. Kajian olih IPSOS baru baru ini menyatakan bahawa 45% isi rumah di Malaysia adalah didalam keadaan ‘bertahan’ sahaja.

Kesengsaraan hidup

Kesengsaraan di ukur dari aspek ketidak cukupan. Bila seseorang merasakan apa yang ia ada sangat tidak mencukupi untuk hidup secara sederhana ia akan merasa sengsara kerana ia tertekan sepanjang masa.

Kesengsaraan bolih jadi mutlak atau relatif. Jika tidak ada langsung benda untuk di makan, diminum itu dianggap sengsara mutlak. Jika ia terpaksa mencatu makanan untuk terus hidup itu ketidak cukupan. Jika ia terpaksa berlapar kerana tiada apa untuk di makan di sesetengah hari, ia dianggap kehidupan yang pincang. Jika ia terpaksa makan nasi dengan sayur sahaja di setiap hari itu dianggap kesengsaraan relatif.

Kajian IPSOS di bulan Jun 2022, mendedahkan bahawa lebih 25% isi rumah di Malaysia menghadapi cabaran besar untuk hidup. Mereka boleh dikelaskan didalam kumpulan ini.
Usaha mengukur tahap kebahagiaan

Mari kita lihat usaha beberapa pihak untuk mengukur kebahagiaan. Didalam mengukur tahap kebahagiaan kita perlu mewujudkan instrumen yang sesuai yang berupaya mengkelaskan kebahagiaan kebeberapa tahap seperti di atas.

Di Malaysia, Jabatan Statistik telah menggumpul data statistik berkait dengan kesejahteraan hidup bagi memenuhi permintaan Bahagian Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan perdana Menteri. Berikut ialah lapuran statistik yang di kumpul berkait dengan Indeks Kesejahteraan Hidup.

Indeks kesejahteraan hidup ( wellbeing indeks)

Secara keseluruhannya Indeks kesejahteraan hidup di Malaysia antara 2015 – 2020 di lihat setabil pada 118.3 mata.

Dua kelas kesejahteraan di tonjolkan oleh Unit Perancang Ekonomi ialah kesejahteraan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Kesejahteraan ekonomi meliputi aspek materialitik dan fizikal seperti pendapatan, pekerjaan pengangkutan, komunikasi dan pendidikan. Beberapa indikator di bentuk untuk mengukur setiap satu aspek di atas dan ukuran di buat disetiap tahun. Indikator ini kemudian di ubah menjadi indeks dan ia di ukur di setiap tahun. Perbandingan kemudian di buat bagi setiap tahun. Indeks kesejahteraan ekonomi Malaysia juga dilihat agak setabil pada 126.2 mata dan Indeks kesejahteraan sosial setabil pada 114 mata.

Persoalannya ialah apa kah matlamat indeks ini ?. Adakah ia di bena untuk akhirnya menjadi ukuran pencapaian ekonomi negara keseluruhanya atau hanya untuk menjadi salah satu indikator yang perlu dipantau dari masa kesemasa ?

Indeks kesejahteraan hidup ini telah di lapurkan bagi tempoh 5 tahun dan di bentangkan di dalam penerbitan ‘ The Malaysian Economy in Figures 2021’ yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Ia di bentangkan dibawah tajuk Kualiti hidup dengan setiap indikator di perincikan sumber dan sub-component nya.

Indeks pendapatan menunjukan arah menjunam agak serious ( dari 130.6 kepada 117.6 ). Indeks pengangkutan juga mula menunjukan gejala menurun di tahun 2021. Indeks pendidikan menunjukan arah menaik walau pun kadar perkembangannya agak malar. Indeks kemudahan komunikasi agak mendatar. Indeks pekerjaan di lihat meningkat tetapi ia terletak jauh di bawah berbanding dengan indeks yang lain . Ini memerlukan perhatian khusus.

Geraf di bawah menunjukan perubahan didalam Indeks kesejahteraan ekonomi didalam tempoh 5 tahun tersebut. Geraf Kesejahteraan ekonomi merupakan geraf komposit bagi keseluruhan aspek ekonomi. Perhatikan bahawa tahun 2019 merupakan tahun pengubah arah dimana Indek komposit dan Indeks pengangkutan serta Indeks pendapatan dan pengagehan merosot. Tiga lagi komponen indeks iaitu Indeks pekerjaan, komunikasi dan pendidikan berupaya bertahan. Apakah Indeks komposit ekonomi ini boleh membayangkan tahap kesejahteraan ekonomi isi rumah di Malaysia.

Indeks komposit merupakan gabungan Indeks kesejahteraan ekonomi dan indeks kesejahteraan sosial. Dua komponen indeks yang merosot sejak tahun 2019 ialah hiburan dan rekreasi dan budaya. Ini adalah kesan terus penutupan ekonomi dan S.O.P. Apa yang menarik juga ialah komponen persekitaran , kesihatan dan polisi awam yang meningkat juga di sebabkan oleh kesan pendemik.
Indeks hiburan dan rekreasi walau pun mendatar tetapi terus di atas. Namun dengan penutupan ekonomi ia kini menjunam jatuh. Indeks polisi awam dilihat meningkat di tahun 2021 dengan banyaknya S.O.P. dan peraturan baru yang berjaya dikuatkuasakan. Indeks keluarga terus terbawah menunjukan kualiti hidup keluarga yang agak merosot secara keseluruhanya. Satu lagi indeks yang merosot ialah ambil bahagian sosial dimana aktiviti sosial dan komuniti agak tergangu khususnya kesan dari pendemik.

(Sumber : Di bena menggunakan statistik DOSM dan EPU)

Indeks Kebahagiaan rakyat Malaysia ( Malaysia’s Happiness Indeks ) 2021

Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) juga telah melancarkan Indeks Kebahagiaan nya pada tahun 2021. Indeks ini lebih mirip dengan apa yang kita bincangkan terdahulu di atas tentang tahap kebahagiaan.

(Sumber : Di petik dari Lapuran Indeks Kebahagiaan DOSM)

Indeks ini mengukur tahap kebahagiaan berasaskan tahap kebahagiaan yang di bahagi kan kepada 5 tahap berasaskan skala likert :

– Sangat bahagia 10
– Bahagia 8
– Sederhana bahagia 6
– Tidak bahagia 4
– Sangat tidak bahagia 2

Hasil kajian pendapat ini melapurkan hasil didalam bentuk angka purata pendapat. Misalnya tahun ini secara keseluruhan nya isi rumah di Malaysia merekodkan purata 6.48 yang dikelaskan sebagai ‘BAHAGIA’.

Apa yang menarik tentang kajian ini ialah keupayaannya untuk mengasing hasil kajian mengikut bandar dan luar bandar, mengikut negeri dan mengikut bandar.

Luar bandar menunjukan kadar pencapaian kebahagiaan yang lebih tinggi pada 6.54 berbanding dengan bandar pada 6.46. Ini mungkin merujuk kepada kualiti hidup diluar bandar yang di lihat lebih baik dan harapan berbanding dengan pencapaian yang lebih realistik bagi isi rumah di luar bandar.

Dari perspektif luar bandar, Terengganu, Perlis dan Kelantan di tanggapkan sebagai negeri yang paling bahagia. Perbandingan penduduk bandar pula meletakan Labuan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Trengganu dan Kelantan sebagai negeri yang paling bahagia.

Apa yang paling menarik ialah Penduduk Labuan telah memberikan ranking paling tinggi untuk kedua dua bandar dan luar bandar pada lebih dari 9.5. Satu pencapaian yang luar biasa.

(Sumber : Di petik dari Lapuran Indeks Kebahagiaan DOSM)

Secara khusus ranking negeri adalah sepeti diatas – Labuan sebagai pulau paling bahagia 9.29, di ikuti dua daerah di Wilayah Persekutuan. Terengganu dan Kelantan juga mendapat skor tinggi melebihi 7.0.

Negeri paling tidak bahagia ialah Selangor pada 5.74 dan Melaka pada 5.85. Negeri negeri lain duduk di pertengahan dengan skor melebihi purata 6.0 mata.

Indeks kebahagiaan ini di nilai berasaskan kepada beberapa faktor seperti berikut :

– Tahap tekanan hidup
– Kesihatan
– Keluarga dan saudara-mara
– Keseronokan bekerja
– Pengurusan kewangan
– Hubungan jiran
– Aktivi komuniti
– Keselamatan tempat kediaman
– Kemudahan awam
– Kemudahan infrastruktur
– Perhidmatan Pehak Berkuasa tempatan
– Perhidmatan swasta
– Pemimpin tempatan
– Kualiti alam sekitar

Komponennya lebih komprehensif tetapi kajian menggunakan satu soalan untuk setiap komponen. Sebenarnya pendapat yang dikutip adalah berkait dengan prestasi setiap komponen yang kemudian di rumuskan kedalam satu Indeks Kebahagiaan.

Sebanyak 1,150 responden digunakan di dalam kajian diatas – 450 orang dari bandaraya, 400 dari perbandaran dan 300 dari daerah.

Sebenarnya Indeks Kebahagiaan ini adalah lebih selari dengan Happiness Index yang di gunakan di negara barat,

Satu lagi kajian antarabangsa yang melibatkan 500 responden oleh IPSOS Malaysia di tahun 2020. Berbanding dengan penduduk di negara seperti USA, Australia, UK, China, Jepun dan Korea Selatan, isi rumah di Malaysia menekan kan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan hidup bagi menentukan kebahagiaan atau Happiness. Malaysia merekodkan skor 55% didalam aspek kesihatan dan taraf hidup yang menyamai skor purata bagi seluruh dunia.

(Kajian oleh United Nation Sustainable Development Solution Network)

Di tahun 2011 United Nation Assembly telah mengadoptasi resolusi berkait dengan Happiness. Ini memulakan aktiviti kajian tentang Kegembiraan (Happiness). Lapuran mula di terbitkan sejak tahun 2012. Kajian ini menggunakan 6 angkubah utama :

– Pendapatan perkapita
– Sokongan sosial
– Kesihatan dan jangkaan hayat hidup
– Kebebasan membuat pilihan
– Kemurahan hati (generiousity)
– Persepsi tentang Rasuah

Ciri utama 10 negara teratas ini adalah prihatin, kebebasan, kemurahan, kejujuran, kesihatan, pendapatan dan tadbir urus yang baik. Ia melihat kepada lima faktor – tahap pendapatan, pendidikan, pekerjaan/pengangguran, kehidupan berkeluarga, kesihatan fizikal dan kesihatan mental. Kesimpulan awal yang boleh dibuat selepas membaca laporan ini adalah di sesetengah negara Barat yang pendapatan rakyatnya tinggi, masalah dihadapi pihak berkuasa adalah kesihatan fizikal dan mental rakyatnya.

Dalam laporan kajian tahun 2016 yang membabitkan 157 negara, lima negara teratas adalah Denmark, Switzerland, Iceland, Norway dan Finland. AS berada di tangga 13 manakala UK, 23. Malaysia berada di tangga 47. Dalam laporan terbaru dilancarkan 20 Mac 2022 yang lepas, tahap kebahagiaan 155 negara dianalisis lagi, menunjukkan Norway teratas diikuti Denmark, Iceland, Switzerland, Finland, Belanda, Kanada, New Zealand, Australia dan Sweden. Tiada satu pun negara Asia dan Afrika dalam senarai 10 teratas.

Lain-lain negara Barat menduduki tangga berbeza, AS di tangga (14), Jerman (16), Belgium (17), Luxembourg (18), UK (19), Brazil (22), Mexico (25), Perancis (31), Poland (46) manakala di Asia pula Singapura di tangga 26, Thailand (32), Taiwan (33), Malaysia (42), Jepun (51), Korea Selatan (56), Hong Kong (71), Filipina (72), China (79), Vietnam (94), Mongolia (100), Bangladesh (110), Myanmar (114), India (122) dan Kemboja, 129. Lima negara tercorot adalah Rwanda (151), Syria (152), Tanzania (151), Burundi (154) dan Republik Afrika Tengah (155).

Di tahun 2020, dari 149 buah negara yang dikaji, Malaysia menduduki tangga 85 secara keseluruhan di atas dari Indonesia, Turkeye dan kebanyakan negara membangun. Skor ini menurun dari kedudukan 81 di tahun 2018.

Berasaskan kriteria GDP perkapita – Malaysia menduduki tempat 45.
Berasaskan pada kriteria ‘Sokongan sosial’ – Malaysia menduduki tempat 88.
Berasaskan pada faktor ‘kesihatan dan jangka hayat’ – Malaysia menduduki tangga 64.
Berasaska pada aspek ‘kebebasan memilih’, – Malaysia menduduki tempat ke 30.
Berasaskan perspektif ‘murah hati’(generousity) – Malaysia menduduki tangga ke 21
Berasaskan aspek persepsi tentang rasuah – Malaysia menduduki tempat ke 97.
Berasaskan pada faktor kesan positif – Malaysia menduduki tempat ke 19
Berasaskan pad kesan negatif ( Negative Affect ) – Malaysia menduduki tempat ke 12.

Di dalam sesetengah aspek Malaysia mengatasi banyak negara seperti Netherlands, Norway, Canada, USA, Sweden dan banyak lagi negara maju.

Keperluan kajian yang lebih ‘robust’ tentang kebahagiaan isi rumah.

Apa yang perlu di tonjolkan tentang kajian United Nation ini ialah ia juga merupakan satu kajian mengukur komponen kebahagian dan kemudian menggabungkannya ke dalam satu Indeks yang dipanggil Indeks Kebahagiaan. Indeks sebegini tidak mengukur tahap kebahagian sebenar tetapi mengukur komponen kebahagiaan.

Apa yang diperlukan ialah satu indeks yang benar benar mengukur tanggapan dan persepsi tahap kebahagiaan setiap warga isi rumah di Malaysia. Ini akan benar benar mengukur kejayaan kerajaan didalam mengambil berat kesejahteraan hidup setiap warga negara.

Satu model kajian berasaskan kerangka khusus boleh digunakan untuk benar benar mengukur apakah faktor yang menentukan kebahagiaan setiap isi rumah. Ini kemudian akan di canai menjadi strategi pembangunan negara yang baru.

Satu Angkubah perantara ingin di perkenalkan didalam kajian ini ialah untuk menonjolkan kepentingan sikap ‘kesyukuran’ didalam hidup. Pokoknya jika kita mempunyai keimanan dan ketakwaan yang tinggi, kita akan sentiasa bersyukur dengan apa juga yang kita ada dan perolehi. Walau pun kita mungkin tidak mencapai apa yang kita sasar atau harapkan, kita akan terus bersyukur dan melihat bahawa bila kita tidak mendapat apa yang kita mahu ia menunjukan bahawa ada hikmah besar di sebaliknya.

(Sumber : Di petik dari rancangan kajian pengarang 2022).

Penulis sedang melakukan kajian kebahagiaan dan puncanya ini di seluruh Malaysia dan sedang bekerjasama dengan bekas pelajar PhDnya untuk melakukan kajian yang sama di Vietnam. Ini akan membolehkan kajian perbandingan dilakukan antara negara.

Kajian ini cuba membuktikan bahawa tahap kesyukuran akan mempengaruhi tahap kebahagiaan isi rumah. Pokoknya jika semua isi rumah terus bersyukur, tahap kebahagiaan hidup mereka akan meningkat dengan banyak. Pastinya ada satu tahap keperluan asas yang akan memisahkan diantara kumpulan isi rumah yang sememangnya mengalami ketidak cukupan hidup yang perlu di tingkatkan untuk membolehkan mereka lebih bersyukur dan mencapai kebahagiaan.,

Bandingan tahap kebahagiaan dengan Pendapatan penengah mengikut negeri.

Hasil kajian Indeks kebahagiaan Jabatan Statistik amat menarik jika di bandingkan dengan data tentang kemiskinan dan pendapatan isi rumah di setiap negeri.

Tiga daerah Wilayah Persekutuan – Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendominasi Indeks kebahagiaan yang tinggi. Bagaimana Labuan boleh mencapai indek 9.29 adalah sesuatu yang perlu di kaji dan cuba dijadikan contoh bagi negeri lain.

Terengganu dan Kelantan yang mempunyai peratusan kemiskinan agak tinggi namun berjaya mencapai Indeks Kebahagiaan yang tinggi. Ini juga perlu dikaji bagi menentukan sumbernya.

Melaka dan Selangor yang memperoleh Indek Kebahagian sangat rendah tetapi mempunyai pendapatan menengah yang agak tinggi dan kadar kemiskinan yang rendah juga memerlukan perhatian khusus bagi menentukan sebab musababnya.

Tahap kebahagiaan isi rumah di sesebuah negeri dengan tahap kemiskinan dan pendapatan menengah isi rumah di setiap negeri di Malaysia. Labuan di lihat sebagai satu pengecualian di mana ia memperoleh skor Indeks kebahagiaan yang tertinggi walau pun pendapatan menengah nya agak rendah dan kemiskinan lebih tinggi dari daerah Wilayah Persekutuan lainnya.

Bagi daerah wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya, pendapatan menengah yang tinggi dan kadar kemiskinan yang rendah boleh digunakan menjadi alasan mengapa Indeks Kebahagiaan tinggi.

Apa yang menarik ialah bagi negeri seperti Kelantan, Perlis dan Pahang dimana Indeks Kebahagiannya secara relatif agak tinggi, pendapatan menengah adalah rendah dan kadar kemiskinan agak tinggi.

Di hujung kanan, negeri Sabah dimana pendapatan menengahnya rendah dan kadar kemiskinannya tinggi, Indeks kebahagiaannya pun rendah.

Bandar paling Bahagia di Malaysia

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) telah menganjurkan satu kajian Indeks Kebahagiaan bagi tahun 2019 di seluruh bandar di Malaysia.

Hasilnya beberapa bandar telah dipilih sebagai bandar paling bahagia di Malaysia, seperti berikut:

1. Seremban, Negeri Sembilan
2. Bandar Melaka, Melaka
3. Kuala Trengganu, Terengganu
4. Bentong, Pahang
5. Kuantan, Pahang
6. Jasin, Melaka
7. Kulai, Johor
8. Taiping Perak
9. Jeli, Kelantan
10. Yan, Kedah

(Sumber : Laporan kajian Indeks Kebahagiaan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa 2020).

Cuba kita bandingkan senarai di atas dengan senarai bandar/daerah yang paling tinggi pendapatannya di Malaysia di bawah ini :

Petaling, Selangor 8,993
Sepang, Selangor 8,937
Gombak, Selangor 8,501
Hulu Langat, Selangor 8,361
Klang, Selangor 7,888
Kulai, Johor 7,536
Bintulu, Sarawak 7,380
Johor Bahru, Johor 7,342
Kuala Langat, Selangor 6,950
Timur Laut, Pulau Pinang 6,902

(Sumber : DOSM and EPU 2019)

Kecuali Kulai, di Johor, tidak ada daerah/bandar ini yang di istiharkan bahagia walau pun isi rumahnya berpendapatan tinggi. Kalau di kaji siapakah yang agaknya tinggal di bandar bandar yang bahagia di atas dan mengapa mereka bahagia?. Kemungkinan besar jawapannya mereka bukan lah mereka yang berpendapatan tinggi. Tetapi, mereka adalah kumpulan isi rumah dan penduduk yang sentiasa bersyukur kerana mereka berasa bertuah dapat tinggal di bandar bandar tersebut.

Ini menekankan kepentingan kajian dilakukan bagaimana untuk meningkatkan tahap kesyukuran dikalangan rakyat dan isi rumah ini. Pastinya kesyukuran mempunyai peranan yang penting didalam mencapai tahap kebahagiaan yang tinggi.

Mengapa penduduk negeri-negeri yang berpendapatan tinggi seperti Selangor dan Melaka serta bandar-bandar yang maju diatas tidak bahagia ialah kerana mereka mengukur tahap kebahagiaan sebagai ‘perbezaan diantara ‘ Harapan dan pencapaian’. Lebih tinggi pendapatan mereka lebih tinggilah pengharapannya. Jadi mereka akan terus menerus mengejar harapan dan tidak akan bahagia selagi belum mencapainya. Kebanyakan mereka di sebabkan pendedahan yang luas didalam hidup mempunyai harapan yang sangat tinggi menjulang. Mereka sentiasa merasa terkurang kerana tidak berupaya mencapai tahap yang mereka impikan. Jadi selagi harapan kekal lebih tinggi dari pencapaian kita akan mempunyai isi rumah dan masyarakat yang tidak bahagia.

Sebagai rumusannya, Malaysia akan menunjukan satu arah perubahan besar dengan penonjolan thema Keluarga Malaysia. Khususnya pengenalan ciri baru kesyukuran akan menjadi tunggak utama didalam usaha mencapai matlamat kebahagiaan abadi bagi semua warga keluarga Malaysia.

Penerapan falsafah kesyukuran bukan sahaja penting untuk mencapai matlamat pembangunan ekonomi di Malaysia malah lebih penting ia menjanjikan pencapaian matlamat kejayaan hidup diakhirat – khususnya untuk Kaum Muslim di Malaysia.

Kesyukuran perlu dijadikan satu budaya pokok yang penting untuk memupuk cara hidup baru warga Malaysia yang sejati. Jika USA dan Kanada boleh merayakan Hari Kesyukuran sebagai hari kelepasan umum, di Malaysia kita boleh mula menganjurkan program ‘jam kesyukuran’ di setiap hari sebagai usaha untuk mengingatkankan setiap kita untuk terus bersyukur didalam hidup di sepanjang masa.

Dr. Barjoyai Bardai
Sekolah Siswazah Perniagaan,
Universiti Tun Abdul Razak 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

 

 

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments