Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kejayaan itu terbukti apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara meningkat kepada 14.2 peratus bagi suku ketiga 2022 berbanding 8.9 peratus pada suku kedua tahun sama.
Tambah Ismail Sabri, peningkatan positif ini menunjukkan dasar yang dilaksanakan kerajaan seperti pembukaan semula ekonomi dan sempadan, memberi impak positif kepada Malaysia.
“Daripada 5 peratus suku pertama 2022 naik kepada 8.9 peratus dan suku ketiga 14.2 peratus kita percaya ini merupakan salah satu yang antara yang tertinggi di Asia Tenggara ini, jadi prestasi suku ketiga ini jelas menunjukkan kejayaan kerajaan di dalam memacu pemulihan ekonomi pasca COVID-19 ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap pada program Moh Ngeteh bersama penduduk Orang Asli sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Bongkok baru-baru ini.
Yang nyata semenjak suku keempat 2021, ekonomi Malaysia terus menunjukkan pemulihan yang kukuh dan telah kekal berdaya saing.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sejak Ogos 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus menunjukkan pemulihan sebanyak 3.6 peratus pada S4 2021, di susuli pertumbuhan KDNK 5.0 peratus pada S1 2022, 8.9 peratus S2 2022 dan yang terkini, 14.2 peratus bagi S3 2022.
Pertumbuhan KDNK bagi sembilan bulan pertama tahun ini adalah 9.3 peratus, pertumbuhan 9 bulan pertama tertinggi semenjak tahun 2000.
Ia disahkan Mantan Menteri Kewangan, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada The Malaya Post.
Katanya ini disokong oleh beberapa indikator ekonomi yang memberangsangkan seperti prestasi perdagangan borong dan runcit yang terus mengukuh, sektor pelancongan yang terus memulih, perdagangan luar (import dan eksport) dan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih (FDI).
Yang pasti kadar pengangguran terus menurun 3.6 peratus direkodkan pada September 2022 berbanding 4.6 peratus tahun lalu.
Malah jualan perdagangan borong dan runcit mencapai RM134 bilion pada September lalu menunjukkan peningkatan 23.9 peratus berbanding September 2021 dengan nilai dagangan sebanyak RM108.1 bilion.
Tambahnya, sektor perniagaan juga semakin mengukuh dengan nilai dagangan sebanyak RM161.7 bilion bagi sektor pembuatan pada September lalu dengan peningkatan sebanyak 19.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata ia berhasil setelah kerajaan tampil dengan pelbagai dasar pemulihan untuk membawa Malaysia keluar dari kancah kemelut ekonomi walaupun berdepan kelembapan ekonomi dunia.–THE MALAYA POST
*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost
Leave a Reply