UMNO tidak harus jadi peminta sedekah, lebih molek kekal sebagai pembangkang

0

KUALA LUMPUR, 21 November – Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berpendirian UMNO tidak harus menjadi peminta sedekah sebaliknya kekal sebagai pembangkang bertanggungjawab, lebih molek.

Menurut Annuar, langkah Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bertentangan dengan apa yang telah dimeterai dalam Perhimpuan Agung UMNO (PAU) yang diadakan tahun ini.

“UMNO tidak harus jadi peminta sedekah. Sebagaimana pertemuan BN dan PH tadi, mereka hanya setuju tubuh jawatankuasa untuk berunding dan lantik 7 individu untuk tujuan itu. BN tidak menyatakan persetujuannya untuk bergabung dengan PH. Kami berpendirian kekal sebagai pembangkang lebih molek,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Beliau yang turut senada dengan sebahagian besar Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara berkata Ahmad Zahid kini adalah liabiliti kepada parti UMNO justeru beliau harus berundur secara terhormat.

“Pertemuan kami Ketua UMNO Bahagian di beberapa negeri dan bekas Ahli Parlimen hari ini secara ‘adhoc’. Sebenarnya ramai lagi yang ingin turut serta. Datuk Seri Zahid liabiliti kepada UMNO dan beliau patut mencontohi Mantan Presiden Datuk Seri Najib berundur selepas BN tewas pada PRU-14. Ia supaya UMNO boleh bernafas dalam lumpur untuk mencari kejernihan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu dalam sidang media sama lebih 40 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara mendesak presiden partinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan selepas BN kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani yang mewakili sebahagian besar Ketua UMNO Bahagian berkata, mereka sebulat suara menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana parti untuk bergabung membentuk Kerajaan Persekutuan.

“(Datuk Seri) Zahid perlu undur serta merta dan serahkan kepada orang lain untuk pimpin UMNO. Rakyat sudah memberi signal jelas dengan menolak UMNO kerana Presidennya dan dengan kekalahan itu, kita berpendirian untuk kekal sebagai pembangkang,” katanya.

Katanya, Ahmad Zahid perlu segera berbuat demikian dan menyerahkan kuasa kepada kepemimpinan lain dalam parti untuk mengemudi UMNO selepas kekalahan BN.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply