Thursday, May 30, 2024
HomePOLITIKUMNO mesti menggunakan data raya, kecanggihan media sosial dan sains analitik, sebagai...

UMNO mesti menggunakan data raya, kecanggihan media sosial dan sains analitik, sebagai ‘a new normal’ dalam gerak kerjanya dan bukan lagi bergantung pada ‘bisik-bisik di kedai kopi’ – Timbalan Presiden UMNO

KUALA LUMPUR — Perhimpunan Agung UMNO 2019 bermula semalam dengan majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung sayap Wanita, Pemuda dan Puteri malam tadi, yang disempurnakan Timbalan Presiden parti Dato’ Seri Mohamad Hasan.

Dato’ Seri Mohamad dalam ucapannya pada majlis perasmian itu berkata UMNO tidak lagi boleh ‘memaksa’ serta memujuk orang Melayu untuk menerima dan menjadikan parti itu sebahagian daripada ‘rukun’ mereka.

Katanya setelah 18 bulan sebagai pembangkang, jika parti itu masih gagal melahirkan ideologi yang baharu dan segar, UMNO akan kekal seperti jasad yang tanpa jiwa, tanpa roh, kosong dan kontang.

“UMNO, tidak boleh beroperasi seperti dahulu lagi. Segalanya kita lakukan sendirian dan kemudian kita paksakan ia menjadi rukun, ke atas orang Melayu. Zaman itu telah berakhir,” katanya pada majlis perasmian yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.

Tambahnya UMNO mesti menggunakan data raya, kecanggihan media sosial dan sains analitik, sebagai ‘a new normal’ dalam setiap gerak kerjanya. Bukan lagi bergantung pada ‘bisik-bisik di kedai kopi’, atau ‘gerak hati yang bersandarkan tilikan, syak dan perasaan’.

“Kita hanya dapat mengemukakan penyelesaian tuntas, melalui penggunaan pelbagai jenis penemuan, data raya, model matematik, sains psikologi dan pelbagai lagi ilmu saintifik, yang ada sekarang”, katanya.

Ujarnya lagi, UMNO perlu mencungkil bakat terbaik.

Malah ajaklah mereka, yang mempunyai potensi yang mengkagumkan dalam memimpin, untuk menjadi sebahagian daripada kita.

Jangan rasa tercabar atau terancam dengan mereka yang lebih bijak dan lebih layak.

“Asuh pemimpin pelapis kita di pelbagai persada asuhan. Institusikan pelbagai program kepimpinan, agar parti kita akan terus mempunyai pelapis pemimpin terlatih, yang terdedah dan teruji minda, serta nuraninya”, katanya.

Beliau turut menyeru semua ahli UMNO menjiwai Muafakat Nasional, memperjuangkan ideanya, dan menjayakannya dengan pelbagai cara.

“Kitalah ‘roadmap’ sebenar Muafakat Nasional. Kitalah yang mesti menterjemahkannya di akar umbi”, katanya.

Turut hadir ketua-ketua pergerakan sayap Datuk Noraini Ahmad (Wanita), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Pemuda) dan Datuk Zahida Zarik Khan (Puteri).

Pagi ini tiga sayap parti itu akan mengadakan persidangan masing-masing, manakala perhimpunan agung parti diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini.

Perhimpunan Agung UMNO tahun ini secara keseluruhannya membabitkan 5,603 perwakilan seluruh negara, termasuk 976 perwakilan Wanita, Pemuda (973) dan Puteri (960).

Perhimpunan tahun ini yang bertemakan ‘UMNO- Sebuah Perjuangan’, merupakan tahun kedua parti itu sebagai pembangkang selepas UMNO dan Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments