Saturday, July 13, 2024
HomeBERITATunku Azizah Permaisuri Negara, bukannya untuk dihina - Cikgu Teo Wei Sing

Tunku Azizah Permaisuri Negara, bukannya untuk dihina – Cikgu Teo Wei Sing

Oleh : Cikgu Teo Wei Sing

Pendidikan merupakan jalan yang terbaik untuk pembelajaran anak-anak bangsa. Pegangan ini kekal dalam masyarakat sehingga sekarang. Isu tulisan Jawi dalam sistem pendidikan telah merebak dan menular dan masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.

Sehingga kini, mangsanya sebenarnya siapa? Mangsanya bukannya mana-mana kaum tetapi sudah tentu mangsanya ialah anak-anak bangsa di sekolah yang memerlukan suasana yang kondusif. Kini, isu ini telah menjadi perjuangan tegar segelintir ibu bapa.

Sebagai rakyat Malaysia, saya amat bersedih hati melihat kejadian sebegini, lebih-lebih lagi api kemarahan masyarakat ini kini dilontarkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang merupakan suri negara dan suri istana.

Perjuangan terhadap pendidikan sudah tentu menjadi hak kepada semua pihak. Perjuangan terhadap bahasa ibunda juga hak semua pihak.

Tetapi janganlah kita berjuang membuta tuli sehingga tidak waras menghina institusi diraja di negara ini. Perbuatan ini amatlah tidak wajar, malah hilang pertimbangan. Apakah manfaatnya jika kita menghina institusi diraja?

Bagi saya, anda boleh meneruskan perjuangan untuk anti-Jawi, tapi gunakan saluran yang betul. Bukannya memaki hamun sesiapa termasuk Raja Permaisuri Agong. Itu hak anda. Tapi apakah Raja Permaisuri Agong sebagai orang Melayu, raja Melayu tidak berhak untuk mempertahankan bahasa ibundanya, bahasa Melayu dan tulisan Jawi?

Di kala anda mempertahankan bahasa ibunda, mengapakan anda menafikan hak orang lain mempertahankan bahasa Melayu dan tulisan Jawi? Jangan menjadikan media sosial ini sebagai tempat menghina sesama sehingga merapuhkan perkauman dan menghina raja yang disayangi.

Kita ada hak bersuara. Memang. Semua orang berhak untuk bersuara. Saya setuju. Tapi hak itu bukannya hak untuk membangkitkan api perkauman, bukan hak menjadi pembuli siber, bukan hak untuk menghina dan mencaci.

Tetapi, hak itu untuk menjadikan kita lebih bertoleransi, untuk melebihkan kesabaran hidup di bawah sebumbung. Saya amat tidak setuju atas penghinaan netizen terhadap KDYMM Raja Permaisuri Agong. Rasionalkan akal dan lembutkan hati. Hormati hak diri anda, sambil itu hormati hak orang lain juga.

Kelmarin, halaman Facebook menjadi medan netizen bertindak biadab dengan menghina Tunku Azizah dengan panggilan ‘nenek sihir rasis’.

Cercaan pemilik Facebook menggunakan nama Nengtung Ting itu dipercayai susulan tindakan baginda menggunakan tulisan jawi di Twitter sebagai usaha memperkasakan tulisan berkenaan.–THE MALAYA POST

*Teo Wei Sing adalah seorang guru di sebuah sekolah di Pantai Timur.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments