PANGKOR, 9 Februari – Musim cuti sekolah terus dimeriahkan dengan program berkhatan berjemaah yang menjadi tradisi turun-temurun.
Pagi tadi, seramai 30 kanak-kanak menyertai majlis berkhatan anjuran Klinik Redza Cawangan Pangkor dengan kerjasama Masjid Teluk Raja Bayang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPKK) Zon Pangkor.

Program yang berlangsung di Dataran Surau Teluk Kecil itu dimeriahkan lagi dengan acara istimewa, iaitu sesi mandi sembur air bomba yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Suasana gamat dengan sorakan dan gelagat kanak-kanak yang teruja sebelum menjalani prosedur berkhatan.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata majlis ini bukan sekadar memenuhi tuntutan agama tetapi juga mengeratkan hubungan masyarakat setempat melalui aktiviti gotong-royong dan penyertaan ibu bapa serta penduduk sekitar.
Beliau yang juga mantan Menteri Besar Perak menjelaskan seperti lazimnya, pelbagai reaksi dapat dilihat dalam kalangan peserta, ada yang bersemangat hingga selesai, ada yang mula yakin tetapi semakin goyah ketika tiba giliran, dan ada juga yang mendiamkan diri sepanjang proses. Walau apa pun, program ini terus menjadi kenangan manis bagi anak-anak dan ibu bapa yang hadir.

“Macam-macam ragam dan gaya anak-anak ini yang dapat dilihat. Ada yang penuh bersemangat sehingga selesai dikhatan. Ada yang awalnya bersemangat tetapi apabila tiba gilirannya, rasa terkulai layu. Ada yang awal hingga selesai khatan seperti tidak bermaya. Walau apa pun gelagat mereka, inilah kemeriahan yang ada dan masih kita kekalkan setiap kali tiba musim berkhatan beramai-ramai.
“Terima kasih semua pihak yang bekerjasama dan memastikan semua urusan anak-anak serta ibu bapa juga berjalan lancar. Terima kasih Klinik Redza,” katanya.
Dalam majlis yang sama, beliau turut merasmikan pembukaan Klinik Redza cawangan keempat yang kini beroperasi di Pasir Bogak, Pangkor.

“Klinik Redza telah memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan mampu milik kepada masyarakat. Pembukaan cawangan baharu ini mencerminkan komitmen mereka untuk terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai orang, khususnya di kawasan luar bandar,” ujar Dr. Zambry.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis berkhatan ini, termasuk petugas perubatan, JBPM, JPPKK, serta para ibu bapa yang hadir.

Majlis yang penuh meriah ini berakhir dengan sesi jamuan ringan, diiringi doa agar semua peserta kecil yang telah melalui pengalaman istimewa ini cepat sembuh dan kembali ceria.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply