Friday, November 20, 2026
HomeBERITAZambry Kadir santuni pelajar melalui program 'Back to school', ringankan beban ibu...

Zambry Kadir santuni pelajar melalui program ‘Back to school’, ringankan beban ibu bapa di Pangkor, Manjung

PANGKOR, 9 Februari – Dalam usaha memastikan setiap pelajar mendapat permulaan sesi persekolahan yang lancar, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Kadir siang tadi menyantuni lebih 1,250 pelajar dalam program Back to School di Pangkor dan Manjung.

Program yang diadakan di dua lokasi itu bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa serta memastikan anak-anak dapat ke sekolah dengan kelengkapan yang mencukupi. Pada sesi pagi, 250 pelajar di Pangkor menerima sumbangan keperluan sekolah, manakala sebelah petang, lebih 1,000 pelajar diraikan dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Manjung.

Menurut Dr. Zambry, program ini bukan sekadar pemberian sumbangan, tetapi mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan masyarakat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan anak-anak ini mendapat peluang yang sama seperti rakan sebaya mereka. Dengan adanya kelengkapan sekolah yang lengkap, mereka boleh memulakan sesi pembelajaran dengan keyakinan dan semangat baharu,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan sokongan kolektif dalam membentuk generasi masa depan yang cemerlang, di samping memastikan tiada pelajar yang tercicir hanya kerana kekangan ekonomi.

“Anak-anak ini adalah harapan negara. Hari ini, kita membantu mereka; suatu hari nanti, mereka akan menjadi individu yang menyumbang kepada masyarakat dan negara. Itulah matlamat utama kita,” tambahnya.

Program ini mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa yang hadir, dengan ramai meluahkan rasa syukur atas inisiatif tersebut. Senyuman yang terukir di wajah pelajar dan penjaga jelas menggambarkan kegembiraan mereka menerima bantuan yang sangat bermakna.

Dr. Zambry turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang serta pihak urusetia yang telah menjayakan program ini. Beliau menegaskan bahawa usaha membantu rakyat perlu terus diperkasakan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjaga.

Majlis berakhir dengan sesi penyampaian bantuan kepada para pelajar serta pertemuan mesra Dr. Zambry bersama ibu bapa dan penjaga yang hadir.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments