SHAH ALAM, 9 Februari – Polis telah mengenal pasti suspek kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam malam tadi sebagai seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pengenalan suspek dibuat berdasarkan risikan polis dan analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Suspek dikenal pasti hasil siasatan lanjut dan kita sedang giat memburunya. Motif kejadian masih dalam siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Datuk Hussein, kejadian berlaku pada jam 10.50 malam ketika mangsa sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1.
Secara tiba-tiba, suspek melepaskan empat das tembakan yang mengenai kaki dan punggung mangsa.
“Mangsa yang cedera segera melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek bergerak ke aras P2 sebelum melepaskan beberapa lagi tembakan yang mengenai cermin tingkap tangga dan pintu ‘sliding door’. Suspek kemudian melarikan diri,” katanya.
Dalam usaha meloloskan diri, suspek menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung dan mengacukan pistol untuk memaksa pemandu membawa dia keluar dari kawasan Shah Alam.
“Ketika berada di lebuh raya, suspek meminta kenderaan dihentikan di tepi jalan sebelum menghilangkan diri,” tambahnya.
Sehingga kini, polis telah menerima tujuh laporan daripada saksi awam, dan kesemua mereka telah tampil memberi keterangan.
Datuk Hussein menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau lokasi suspek agar segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-5520 2222 bagi membantu siasatan.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply