Terengganu terus mempertahankan kedudukan terbaiknya empat tahun berturut-turut apabila merekodkan keputusan cemerlang bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 yang diumumkan semalam.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Azman Othman berkata, Negeri Terengganu mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK), 3.03, mengatasi PNGK Kebangsaan iaitu 2.79.
Ujar beliau, tambah manis, seramai 64 daripada 2,142 calon memperolehi keputusan semua A penuh dengan PNGK 4.0.
“Ia peningkatan memberangsangkan berbanding hanya 55 calon yang memperoleh semua A penuh pada tahun lalu.
“Pencapaian calon luar bandar amat membanggakan apabila mencatatkan PNGK 3.09 berbanding 2.96 oleh calon bandar,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2021 peringkat Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, siang tadi.
Azman berkata, sebanyak 27 daripada 45 buah sekolah di Terengganu cemerlang dengan mencapai sekurang-kurangnya PNGK 3.00.
“Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu mencatat PNGK 3.52 diikuti SMA Maarif, Besut (3.39); SMK Durian Mas, Dungun (3.34) dan SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman (3.33),” katanya.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost