Syarikat penerbangan Iran nafi ada kaitan pesawat yang dirampas di Argentina

0

Sebuah syarikat penerbangan swasta terkemuka Iran menafikan laporan pesawat kargo yang dirampas di Lapangan Terbang Buenos Aires adalah miliknya.

Lapor Agensi Anadolu, dalam satu kenyataan pada Ahad, Mahan Airlines menegaskan pesawat yang dirampas di Argentina itu milik Venezuela dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat penerbangan itu.

Boeing 747 yang didafttarkan di Venezuela itu, didakwa milik Mahan Air, dirampas pihak berkuasa penerbangan awam Argentina sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza pada Sabtu.

Dalam kejadian yang berlaku ketika lawatan Presiden Venezuela Nicolas Maduro ke Tehran, pesawat kargo itu disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat itu disita dan lima anak kapal ditahan di lapangan terbang itu.

Menteri Keselamatan Argentina Fernandez Anibal menerusi ciapannya di Twitter mengesahkan kejadian itu, mengaitkan pesawat yang dirampas itu dengan Mahan Airlines Iran sambil mendakwa lima anak kapal yang ditahan memiliki pasport Iran.

Media Argentina melaporkan pesawat itu telah disewa Konviasa Airlines milik negara Venezuela.

Beberapa laporan turut mengaitkan anak kapal yang ditahan mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Syarikat Penerbangan Mahan bagaimanapun, menolak laporan itu dan mendakwa hak milik pesawat itu telah berpindah kepada syarikat Venezuela selama setahun dan tidak dipajak.

Kru penerbangan juga milik Venezuela dan tiada kaitan dengan Mahan Airlines.

Kenyataan itu selanjutnya mendakwa rampasan pesawat itu “bermotifkan politik.”

Insiden berlaku beberapa jam selepas Maduro mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi Iran, termasuk Presiden Iran Ebrahim Raisi, yang menyaksikan kedua-dua pihak mengesahkan komitmen untuk memperluas kerjasama bagi menghadapi sekatan AS.

Mahan Air pada Oktober 2011 disenarai hitam Jabatan Perbendaharaan AS, serta mengaitkannya dengan Pasukan Quds IRGC.

Pada November tahun lepas, syarikat penerbangan itu berdepan serangan siber.

Penggodam mendakwa mereka berusaha mendapatkan dokumen yang mengaitkan syarikat penerbangan itu dengan IRGC.

Mahan Air bagaimanapun memaklumkan pihaknya telah menggagalkan serangan itu.–THE MALAYA POST

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply