Sungai Tapah, Perak paling bersih dalam negara

0

Sungai Tapah yang mengalir ke lembangan Sungai Perak dalam daerah Kinta, Perak dikenal pasti sebagai sungai paling bersih di negara ini.

Manakala, Sungai Rambai di Jenjarom yang mengalir ke lembangan Sungai Sepang di Selangor merupakan sungai paling tercemar.

Demikian menurut Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Encik Norlin Jaafar dalam satu sidang media.

“Daripada sejumlah 672 sungai yang diawasi, sebanyak 408 sungai berstatus bersih, 205 sungai dikategorikan sederhana tercemar manakala 59 lagi berstatus sungai tercemar.

“Indeks Kualiti Air (IKA) bagi Sungai Tapah adalah 95 iaitu sungai yang paling bersih manakala IKA bagi sungai paling tercemar iaitu Sungai Rambai adalah 21,” jelasnya.

Beliau berkata, IKA mengambil kira parameter Oksigen Terlarut (DO), Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Ammoniakal Nitrogen (NH3-N), Pepejal Terampai (SS) dan juga pH. Sampel air sungai diambil daripada stesen ditetapkan dan diukur kualiti secara in-situ serta dihantar ke makmal untuk dianalisis bertujuan menentukan kriteria dari segi fizik-kimia dan biologi.

Hasil analisis mendapati BOD, (NH3-N) dan SS masih menjadi punca kepada pencemaran sungai. BOD yang tinggi kerap kali dikaitkan dengan pengolahan sisa kumbahan yang tidak berkesan, atau akibat pelepasan efluen daripada industri-industri pengilangan dan berasaskan pertanian.

“Punca utama NH3-N pula boleh dikaitkan dengan aktiviti penternakan dan kumbahan domestik manakala punca utama SS adalah kerja-kerja tanah dan aktiviti pembukaan tanah yang tidak teratur,” ujar beliau.

Pada 2018 dan 2019, Sungai Rambai di Jenjarom, Kuala Langat menerima liputan media tempatan dan antarabangsa apabila dikatakan menjadi ‘tong sampah dunia’ akibat sisa dihantar oleh beberapa negara dan dilonggokkan di daerah itu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan tinjauan pada Januari tahun lalu, segelintir pemilik kilang haram memproses sisa plastik import di daerah itu mengaut untung ‘kotor’ dengan turut melakukan pembakaran terbuka untuk melupuskan sisa yang tidak boleh di kitar semula.

Seorang aktivis alam sekitar, Danial Tay, 65, berkata, difahamkan pengusaha haram tempatan mempelawa rakan niaga di China untuk mengusahakan pelupusan di Malaysia termasuk di daerah Kuala Langat selepas negara republik itu mengeluarkan larangan import sisa plastik penghujung 2017. Kesudahannya, masyarakat setempat menerima kesan dan habuannya. Sungguh tidak bertanggungjawab!

“Pihak industri perlu mematuhi sepenuhnya undang-undang yang berkuat kuasa. Efluen yang dilepaskan dari kilang hendaklah dipastikan mematuhi had piawai yang ditetapkan.

“Nasihat daripada Jas, sebaik-baiknya, pihak industri mengambil inisiatif bagi meminimakan penghasilan air buangan melalui penggunaan teknologi hijau ataupun mengambil pendekatan ‘zero discharge’ dengan menggunakan semula air buangan yang terhasil proses pengeluaran produk,” katanya.

Dalam pada itu, masyarakat perlu ada kesedaran untuk menghargai dengan cara menjaga kebersihan sungai. Justeru, amatlah penting untuk memastikan sumber air dimanfaatkan sebaiknya agar dapat diwarisi dan dimanfaatkan generasi akan datang.

“Tanggungjawab penjagaan dan pengurusan sumber air tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata.

“Isu pencemaran air yang semakin ketara menuntut setiap komuniti dan anggota masyarakat untuk bersama-sama bertanggungjawab mengawal pencemaran sungai,” tambahnya.

Menurutnya, orang awam perlu membudayakan amalan hijau dalam kehidupan seharian bermula dari rumah seperti mengelakkan pembaziran air dan menjimatkan penggunaan air. Mengumpul air hujan (Rain Harvesting) untuk kegunaan seperti menyiram pokok dan mencuci lantai adalah digalakkan.

Selain itu, pastikan longkang di keliling rumah bebas dari sampah, amalkan 3R (reduce, reuse, recycle), sokong dan menyumbang kepada aktiviti berkaitan pemuliharaan sungai oleh komuniti setempat.

Banyak perkara yang boleh dilakukan antaranya kitar semula minyak masak dan hantar ke pusat pengumpulan. Elakkan ia dibuang ke dalam sinki.

Penggunaan bahan pencuci yang mesra alam dan memastikan air basuhan pakaian tidak dialirkan ke longkang awam antara sebahagian inisiatif yang boleh diambil bagi mengurangkan pencemaran air.

Penting bagi masyarakat untuk ada kesedaran dan komitmen mengamalkannya.

“Di samping dapat menyumbang mengurangkan pencemaran air, inisiatif ini juga dapat menurunkan bil air dan dapat digunakan untuk manfaat atau kegunaan berfaedah lain.

“Sebenarnya, orang awam juga berperanan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang dipercayai boleh menyebabkan pencemaran.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyediakan platform untuk orang awam membuat aduan melalui laman sesawang www.doe.gov.my atau menghubungi talian aduan di 1-800-88-2727 untuk tindakan,”kata beliau.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply