Saturday, June 22, 2024
HomeBERITASolidariti Angkatan Mahasiswa UM bersama media tempatan

Solidariti Angkatan Mahasiswa UM bersama media tempatan

Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya mendakwa tindakan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyekat kandungan portal berita jelas berlawanan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan media walaupun ia tidak mutlak.

Tambahan pula, pertubuhan itu mendakwa MCMC bukan sahaja menyekat bahkan memanggil pengamal media untuk memberi penjelasan mengenai kandungan diterbitkan menerusi portal berita, yang dilihat seolah-olah seperti satu taktik intimidasi kerana kononnya dikatakan bersifat kritikal terhadap kerajaan.

Sehubungan itu, angkatan mahasiswa terbabit menggesa supaya kerajaan hari ini tidak meneladani sikap kerajaan terdahulu yang didakwa memandang pengamal media yang kritikal seperti musuh dan ancaman buat negara.

Ia lebih-lebih lagi apabila kerajaan hari ini sangat menekankan kebebasan bersuara dan media sewaktu menjadi pembangkang.

“Dalam negara demokrasi, bukan mencelup jari dan memangkah sahaja yang penting tetapi akses bebas dan adil kepada media juga sangat mustahak dalam menyampaikan maklumat dan pendapat kepada rakyat.

“Ia agar mereka dapat memilih pemimpin yang dirasakan terbaik mengikut maklumat yang dapat diakses.

“Angkatan mahasiswa juga ingin menyatakan solidariti bersama pengamal media yang berhadapan dengan intimidasi dan sekatan oleh pemerintah.

“Ini kerana, kebebasan bersuara bukan sahaja menjadi isu nasional tetapi turut menjadi isu yang kritikal di dalam kampus dan dekat dengan hati mahasiswa yang memanfaatkan sepenuhnya hak yang diberi dalam Perlembagaan, demi mengangkat martabat mahasiswa walaupun berhadapan dengan tekanan dari pihak atasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita yang dilabelkan sebagai menyinggung dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan, disekat oleh SKMM.

Mereka adalah Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Dr Chamil Wariya.

Turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.

Pada 18 Ogos lalu, Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia turut mengecam tindakan pihak berkuasa menyekat akses tanpa notis dan sebab ke atas portal berita dalam talian TV Pertiwi dan beberapa portal lain sejak kebelakangan ini.

Persatuan tegasnya, sekali lagi memohon pihak berkuasa agar menghormati serta memastikan pengamal media di negara ini diberi kebebasan dalam menjalankan tugas dengan berlandaskan etika kewartawanan sedia ada, selaras dengan jaminan dan dasar Kerajaan Perpaduan.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments