Wednesday, June 12, 2024
HomeBERITAPermata Negara perlu dikembalikan ke asalnya  

Permata Negara perlu dikembalikan ke asalnya  

Oleh Kak Jeejah

Masih segar dalam ingatan setiap rakyat Malaysia ketika kita sabar dan gigih memerangi penularan wabak Covid-19 serta syarat-syarat ketat kerajaan PN didalam perintah penjarakan sosial, apatah lagi apabila darurat pula diisytiharkan, ramai di antara kita terutama ibubapa terkurung di rumah. Apa kata di waktu ini, sama-sama kita mencari sedikit ilmu pengetahuan?

Saya telah menulis beberapa siri dalam isu Permata Negara dan nampaknya respon dari pembaca sememangnya positif. Terima kasih.

Namun, ada juga yang menyarankan agar perkara yang lama janganlah dikenang lagi dan mencadangkan supaya bergerak terus ke hadapan. Yang pasti, ia disasarkan kepada Penaung program Permata Negara iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.

Jika bekas Menteri Pendidikan PH, Dr Maszlee yang telah berkhidmat hanya selama 22 bulan, telah berkongsi rasa kecewa apabila cadangan-cadangan program pendidikannya tidak dapat dilaksanakan, apatah lagi dengan penglibatan Datin Rosmah yang telah melahirkan idea dan melaksanakan program ini dengan penuh kejayaan selama 156 bulan.

Apakah beliau tidak kecewa langsung?

Yang pasti, bekas menteri pendidikan PH ini hanya berjaya menukar jenama Permata Negara kepada Genius sehingga objektif sebenar ternyata telah jauh tersasar.

Ini adalah kerana program Permata Negara adalah ‘BRAINCHILD’ Datin Seri Rosmah yang hanya bermatlamatkan bahawa setiap kanak-kanak adalah permata dan pendidikan telah bermula dari lahirnya bayi itu dan berterusan dengan peluang pendidikan bertaraf dunia.

Seperti yang telah kita ketahui, program Permata Negara ini telah mula dilaksanakan sejak 2005 lagi, hasil daripada penyelidikan yang sangat menyeluruh dari pakar-pakar pendidikan dan akademik, sosial, keselamatan dan juga penglibatan kajian dari luar negara.

Kurikulum kanak-kanak sahaja telah mengikuti model yang sedia ada seperti:

  • Kurikulum Montessori
  • Kurikulum Reggio Emilia
  • Kurikulum High Scope, Amerika Syarikat
  • Kurikulum Early Years Foundation Stage (EYFS), United Kingdom
  • Kurikulum Te Whariki, New Zealand
  • Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Sweden
  • National Early Years Learning Framework Australia
  • Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Jepun

Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan pandangan agama. Maka, pendekatan pembelajaran program PERMATA Negara kekal mengikut acuan kita di mana kurikulum PERMATA Negara selaras dengan suasana kemajmukan kaum di Malaysia.

Kurikulum PERMATA Negara juga menekankan keperluan membina rakyat Malaysia yang patriotik dan hidup bersatu padu dalam suasana harmoni di antara perbezaan latarbelakang anak-anak ini.

Lebih unik lagi apabila kurikulum PERMATA Negara mementingkan kepada membina insan yang berjiwa murni, mempercayai Tuhan dan mempunyai keperkasaan diri yang membolehkan kanak-kanak hidup berdikari, sentiasa belajar dan berani menghadapi cabaran.

Sebagai persediaan awal dalam membina generasi abad ke-21 yang menuntut persediaan berhadapan dengan cabaran global, kurikulum PERMATA Negara menekankan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan mereka fasih berbahasa Inggeris.

Itu adalah ringkasan pendekatan kurikulum PERMATA Negara bagi pendidikan awal kanak-kanak dan saya belum lagi menyentuh kesinambungannya kerana pasti ada yang tertanya-tanya, apakah PERMATA Negara akan terhenti di peringkat pendidikan awal kanak-kanak? Pasti, Tidak.

Masih banyak lagi yang ingin saya kongsikan sebelum menyentuh lebih jauh program-program kesinambungan PERMATA Negara seperti PERMATA Kurnia (anak-anak autisme), PERMATA Pintar (anak-anak kecerdasan luar biasa), PERMATA Insan (anak-anak pintar agama dan sains), PERMATA Seni (anak-anak bakat seni tinggi), Hospital Kanak-Kanak PERMATA dan Perkasa Remaja (program pemerkasaan remaja berisiko tinggi).

Apa yang ingin saya tekankan adalah betapa ruginya anak-anak kita apabila program PERMATA Negara yang bertaraf dunia ini tidak dapat dinikmati lagi walaupun cuba diubahsuai dengan kerakusan kuasa politik.

Siapa pun yang menerajui negara ini, mana-mana kuasa parti politik yang memerintah negara ini, program PERMATA Negara hendaklah dikembalikan kepada asalnya dan Datin Seri Rosmah perlu menerajuinya semula.

Artikel ini ditulis oleh Kak Jeejah, seorang penulis bebas.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments