Dramatis, Sherie Merlis, kini dihimpit kebuntuan apabila terperangkap dalam rumah keluarga bersama 11 orang termasuk adiknya yang positif Covid-19.
Menerusi video berdurasi lebih empat minit yang dimuat naik dalam Instagram (IG), Sherie merayu orang ramai memberikan pendapat bagaimana membantu menyelesaikan masalah membelenggu berikutan terpaksa berhimpit dalam rumah kecil dua bilik.
Apa yang lebih membimbangkan, suami adiknya kini mengalami demam panas, manakala anak pasangan itu berusia empat tahun itu pula sakit tekak.
Sherie berkata, dia bimbangkan keadaan ibu bapanya yang sudah uzur.
Bapa menghidap sakit jantung, manakala ibunya pula mengalami alzheimer dan hanya terlantar atas katil.
“Hanya saya sahaja orang dewasa yang masih sihat. Siapa hendak menjaga ahli keluarga termasuk enam kanak-kanak sekiranya saya jatuh sakit?” kata Sherie dengan suara yang bergetar dan linangan air mata.
Katanya, adiknya mula diserang demam, sejak tiga hari lalu. Kemudiannya, pergi ke klinik kerajaan untuk membuat pemeriksaan dan ujian calitan.
“Selepas menjalankan ujian calitan, adik didapati positif tetapi klinik memintanya pulang ke rumah terlebih dahulu dan menantikan panggilan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“KKM ada menghubungi dan bertanyakan keadaan kami, malah berjanji mahu datang ke rumah bagi menjalankan ujian calitan. Bagaimanapun, mereka tidak muncul pada hari yang dijanjikan.
“Jadi saya menghubungi semula KKM, tetapi diminta menunggu sehingga Isnin. Bagi saya, tindakan KKM meminta kami menunggu sehingga Isnin tidak masuk akal.
“Ini kerana kanak-kanak dan warga emas yang kurang sihat dalam rumah ini. Suami adik pula demam panas walaupun sudah lengkap mengambil dua dos vaksin,” luahnya dalam video berkenaan.
Sherie bingung dengan keadaan menimpa keluarga dan terpaksa membuat video bagi bertanyakan pandangan apa yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalahnya.
Katanya, dia terpaksa meletakkan dua anak bersama empat anak saudara berhimpit dalam bilik bersama ibu bapa memandangkan rumah terlalu kecil.
“Saya benar-benar buntu, jadi saya minta tolong kepada sesiapa yang tahu, macam mana untuk kuarantin kendiri adik. Saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan sekarang, adik juga bersetuju untuk dikuarantin.
“Sekurang-kurangnya, ada sesuatu yang boleh dilakukan. Kini, saya cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik buat keluarga. Sekiranya saya turut jatuh sakit, siapa pula yang hendak menjaga ibu bapa dan kanak-kanak yang seramai enam orang ini?” katanya yang terperangkap di rumah adiknya berikutan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). –THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply