PM akan teruskan usaha yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, ajak pembangkang anggotai MPN

0

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan meneruskan usaha berterusan kerajaan sebelum ini, agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

“Kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh dunia. Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500 ribu dos sehari.

“Bersandarkan data tersebut, maka kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok”, katanya.

Jelasnya demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat.

“Untuk itu, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah pun memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin. Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia. Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian.

“Dengan itu, kita dapat membantu dan menghargai pengorbanan frontliners yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu”, katanya.

Perdana Menteri berkata semua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana.

Justeru beliau menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Tambah beliau, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti kerana kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Semua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19,” katanya dalam ucapan sulung selepas mengangkat sumpah yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Ujarnya, Yang di-Pertuan Agong sudah menitahkan semua ketua parti politik melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat ketika sesi menghadap baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, peralihan dua kerajaan dan dua Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan sebagai landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

Justeru, beliau mengajak semua pihak supaya bergerak ke hadapan, meleraikan segala perebutan kuasa politik dan berjuang sebagai sebuah keluarga besar merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri dalam memperbaik, merawat serta memulihkan semula tanah air.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara supaya segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

Beliau berikrar akan melakukan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukannya tidak dipersiakan.

“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

“Marilah kita bersama-sama sebagai keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu. Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat,” katanya. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply