RUU Tembakau Baharu 2022: Mohon bukti saintifik dipertimbang, syor peraturan lebih pragmatik – Pakar

0

Kuala Lumpur, 1 Oktober – Pembentangan Rang Undang-undang Tembakau Baharu 2022.

Empat gabungan NGO membabitkan Malaysia Society for Harm Reduction (MHSR), Persatuan Insaf Murni Malaysia (IMAM), Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) dan Advanced Centre for Addiction Treatment Advocacy (ACATA) memohon kepada Kerajaan Malaysia supaya mempertimbangkan bukti-bukti bukti saintifik berkenaan isu itu sebelum Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengesyorkan peraturan yang lebih pragmatik untuk menjadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang Tembakau yang baharu.

Presiden MSHR, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh mengulas: “Kami amat prihatin terhadap cadangan langkah, impak dan pelaksanaan rang undang-undang itu, namun, pihak kami masih belum dijemput dan dilibatkan oleh PSSC sejak mesyuarat Parlimen pada bulan Ogos yang lalu.

“Memandangkan rang undang-undang ini akan dibentangkan semula, kami berharap agar pandangan kami dipertimbangkan berdasarkan bukti saintifik dan supaya PSSC mengesyorkan peraturan yang lebih pragmatik ini untuk menjadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang Tembakau yang baharu, ” katanya kepada media.

Turut serta dalam perbincangan saintifik ini ialah Prof Dr Mohamad Hussain Habil sebagai Penasihat MSHR, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, Presiden MSHR, Dr Khafidz Mohd Ishak, Presiden IMAM dan Dr Arifin Fii, Presiden ACATA.

Dalam perbincangan itu, tiga cadangan bagi rangka kerja kawalan tembakau dan produk nikotin berpandukan sains untuk Rang Undang-undang Tembakau Baharu 2022 akan diunjurkan:

• Komponen Generation End Game (GEG) tidak seharusnya dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Tembakau Baharu 2022 sehingga ia disemak semula dengan menggabungkan prinsip pengurangan kemudaratan yang disokong oleh bukti saintifik.

• Pendekatan larangan melalui denda dan hukuman dalam Rang Undang-undang Tembakau Baharu 2022 harus disingkirkan.

• Walaupun pendekatan Generasi Penamat adalah relevan, proses menuju ke arah itu haruslah berbilang serampang (pengawalan, pendidikan) dengan strategi yang berfasa.

Selain itu, sesi perbincangan saintifik itu juga mengumumkan bahawa ia telah menyerahkan surat petisyen rasmi kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menggariskan ketiga-tiga cadangan ini dengan harapan PSSC akan menggunakan rangka kerja yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Tembakau baharu yang dijadualkan untuk dibentangkan semula di sesi persidangan Parlimen yang akan datang pada Oktober 2022. 

Presiden IMAM, Dr Khafidz Mohd Ishak berkata: “Kerajaan harus mempertimbangkan peranan bukti saintifik dalam pengurangan kemudaratan tembakau untuk berhenti merokok.

“Kita mesti merebut peluang ini untuk meletakkan inovasi dan pengesahan saintifik di barisan hadapan dalam penggubalan dasar kesihatan awam.”

Mempunyai pendapat yang sama, Presiden ACATA, Dr Arifin Fii berkata: “Kami menyambut baik dan memuji komitmen kerajaan dalam mengurangkan kelaziman merokok di negara ini.

“Bagaimanapun, larangan menyeluruh yang merangkumi produk pengurangan kemudaratan adalah sesuatu yang kurang produktif.

Dr Steven Chow, Presiden FPMPAM pula mengulas: “Sains menunjukkan bahawa pengurangan kemudaratan tembakau boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan kelaziman merokok.

“Program pengurangan kemudaratan tembakau yang bermakna dapat membantu perokok semasa dan bukannya meletakkan mereka sebagai penjenayah.”

Menutup sesi perbincangan saintifik ini, Dr Hussain menekankan kepentingan Malaysia dalam meneliti rang undang-undang itu dengan teliti.

“Malaysia harus mempertimbangkan pendekatan berbilang serampang dalam strategi End Game-nya. Daripada tergesa-gesa membuat rang undang-undang dalam beberapa bulan sahaja, pelan yang teliti dan terperinci perlu difikirkan dengan baik.

“Kita boleh belajar dari negara lain seperti New Zealand dan United Kingdom yang telah mengambil pendekatan berperingkat untuk mengurangkan kelaziman merokok, bermula dengan peraturan tembakau yang komprehensif dan pendidikan secara besaran.”

Walaupun doktor dan profesor menggesa untuk dijemput ke perundingan akan datang oleh PSSC, perbincangan saintifik itu mengulangi dan menekankan kepentingan bagi penggubal dasar Malaysia untuk mendalami bukti saintifik Pengurangan Kemudaratan Tembakau (‘THR’).

Ia bagi menentukan cara ke hadapan terbaik dalam kawalan tembakau sambil mengenalpasti jurang penyelidikan tempatan yang boleh ditangani dan bukannya melaksanakan dasar End Game yang belum terbukti berkesan walau dalam negara yang ketat kawalan tembakaunya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply