Rayuan gagal, Najib Razak kekal dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

0

PUTRAJAYA, 23 Ogos – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujahan dan permohonan yang dikemukakan sepanjang rayuan akhir bermula sejak minggu lalu.

“Adalah dapatan sebulat suara kami bahawa sabitan perayu terhadap semua tujuh pertuduhan adalah selamat.

“Oleh itu rayuan ditolak sebulat suara dan sabitan dan hukuman dikekalkan,” katanya dalam keputusan setebal 15 muka surat yang dibacakan di dalam mahkamah.

Jumaat lalu peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik, memaklumkan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, beliau juga tidak akan mengemukakan hujahan lisan untuk anak guamnya.

Bekas Perdana Menteri itu mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana SRC International.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply