Kes SRC: Kalau keputusan buruk kepada diri saya sendiri… saya minta maaf.” – Najib Razak

0

PUTRAJAYA, 23 Ogos – “Saya sudah usaha buat sedaya upaya dan apa yang penting sekali perjuangan kita perlu diteruskan.

“Kita tunggulah apa-apa keputusan. Kalau keputusan buruk kepada diri saya sendiri… saya minta maaf.”

Itu luahan bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak ketika keluar seketika bertemu penyokongnya di perkarangan Mahkamah Persekutuan, sebentar tadi.

Dato’ Seri Najib berkata, beliau sudah berusaha buat yang terbaik dan setiap apa yang diusulkan kepada mahkamah sudah ditolak.

“Saya tidak dapat seorang peguam untuk wakili saya dalam tempoh masa yang secukupnya untuk membuat persediaan,” katanya.

Beliau berkata, beliau meminta penangguhan selama tiga bulan namun itu juga tetap ditolak.

“Dalam kes saya ini sekali saya minta (penangguhan) tetapi masih tidak dapat… jadi kita tunggulah apa-apa keputusan. Kalau keputusannya buruk kepda diri saya sendiri, saya minta maaflah.

“Terima kasih sokong saya… kita tunggu sahaja petang ini. Kalau keputusan buruk kita terima tetapi kita cuba buat yang terbaik,” katanya.

Nasib Dato’ Seri Najib dijangka diputuskan hari ini, berhubung rayuan terakhirnya mengetepikan sabitan dan hukuman berkaitan dana SRC International Sdn Bhd, susulan keengganan peguamnya untuk membuat sebarang hujahan bagi membela bekas perdana menteri itu.

Jumaat lalu peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik, memaklumkan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, beliau juga tidak akan mengemukakan hujahan lisan untuk anak guamnya.

Bekas Perdana Menteri itu mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana SRC International.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply