Thursday, June 13, 2024
HomeBERITARangkul pingat AIGA 2022, bukti Maritim Malaysia serius tangani isu integriti Putrajaya

Rangkul pingat AIGA 2022, bukti Maritim Malaysia serius tangani isu integriti Putrajaya

PUTRAJAYA, 24 Februari – Usaha Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memastikan seluruh warganya berintegriti membuahkan hasil apabila telah menerima pengiktirafan daripada Institut Integriti Malaysia (IIM) iaitu dengan merangkul pingat gangsa bagi Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) tahun 2022 baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, anugerah yang diterima ini bukti Maritim Malaysia komited dan sentiasa memandang serius mengenai isu integriti para pegawai dan anggota khususnya mereka yang berada di lapangan.

Beliau menambah, pengiktirafan yang diterima ini mencerminkan usaha yang dilaksanakan Maritim Malaysia dalam mendepani cabaran risiko ketirisan, isu-isu governans dan integriti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Datuk Mohd Zubil turut berkata, tidak dinafikan dalam usaha menjadikan Maritim Malaysia berintegriti, terdapat kes-kes terpencil yang telah mencalarkan nama baik agensi ini. Namun ia tidak melemahkan Maritim Malaysia untuk sentiasa memastikan para pegawai dan anggota meletakkan integriti sebagai kepentingan utama ketika menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Beliau menegaskan, pada tahun ini Maritim Malaysia akan melipatgandakan usaha bagi memastikan kadar isu integriti dan tatatertib dalam kalangan warga Maritim Malaysia diturunkan.

Untuk itu beliau memaklumkan Maritim Malaysia akan melaksanakan Pensijilan Anti Bribery Management System (ABMS) dalam memastikan semua warga agensi ini mematuhi dan melaksanakan kreteria integriti ketika melaksanakan tugas masing-masing.

AIGA yang julung kali diadakan IIM ini merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kepada institusi sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tadbir urus terbaik menerusi inisiatif anti rasuah dalam organisasi.

Penyertaan anugerah pada kali ini telah melibatkan 115 organisasi terdiri daripada agensi kerajaan, Syarikat Multinasional (MNC), Syarikat Awam Berhad (PLC) Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments