Wednesday, July 17, 2024
HomeBERITABajet 2023: Tekad perubahan jayakan Malaysia Madani

Bajet 2023: Tekad perubahan jayakan Malaysia Madani

Oleh: Mohammad Abdul Hamid

Bajet 2023 telah dibentangkan ketika negara sedang melalui fasa perubahan yang tercetus selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum  Ke-15 (PRU15) pada bulan November lalu.

Tiga tekad Belanjawan 2023 meletakkan batu asas yang  penting untuk melaksanakan perubahan  yang diperlukan untuk mencapai kemakmuran buat semua.

Tiga tekad tersebut ialah pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tata kelola bagi memulihkan keyakinan, dan keadilan sosial untuk menyederhanakan kesenjangan.

Penekanan Belanjawan 2023 kepada isu kemiskinan dan kesenjangan adalah wajar. Lebih penting, isu-isu ini hendaklah ditangani secara holistik melalui pendekatan yang manusiawi dan rahmah, menepati realiti dan hakikat kemiskinan itu sendiri.

Pendekatan yang berdasarkan pembangunan manusia dan kemiskinan multidimensi sewajarnya dijadikan agenda utama untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan golongan rentan pascapandemik Covid-19.

Isu kemiskinan dan kesenjangan hendaklah ditangani dengan memupuk jiwa dan tingkah laku dalam kalangan golongan miskin dan seluruh anggota masyarakat, sektor awam, komuniti bisnes dan badan-badan bukan kerajaan.

Untuk itu, pendekatan tingkah laku (behavioural economics), khususnya yang berkait dengan peruntukan RM64 bilion berbentuk subsidi, bantuan serta insentif adalah disarankan.

Pendekatan berkenaan dapat dilaksanakan melalui intervensi-intervensi berasaskan bukti (evidence-based) demi membuahkan hasil dan impak yang  berkesan.

Untuk mencapai hasrat ini, kaedah penilaian secara rawak (randomised evaluation) yang diiktiraf sebagai ‘gold standard’ mengikut piawai antarabangsa wajar dilaksanakan.

Pendekatan yang memanfaatkan data ini membolehkan intervensi dan subsidi bersasar dilaksanakan, bertepatan dengan hasrat kerajaan.

Pada masa yang sama, inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi  golongan miskin hendaklah digiatkan, khususnya golongan berkemahiran rendah dan  sederhana serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Inisiatif Pendapatan  Rakyat (IPR) dalam Belanjawan 2023 sewajarnya dirangka untuk mendorong kepada peningkatan produktiviti kumpulan sasaran.

Amalan menyumbang (filantropi) dalam kalangan golongan berkemampuan dan komuniti usahawan hendaklah dibudayakan melalui institusi yang ditadbir secara sistemik dan sistematik.

Umpamanya, kaedah berwakaf dijadikan sebagai mekanisme pengagihan semula kekayaan yang menyumbang kepada kesejahteraan. Dengan itu,  isu kos sara hidup dan inflasi dapat ditangani dan seterusnya beban kewangan kerajaan dapat diringankan.

Manakala rakyat pula hendaklah sentiasa dipupuk dengan aspek kemanusiaan dan kejiwaan, umpamanya dengan memuliakan amalan menyumbang dan mengelakkan pembaziran.

Sifat-sifat utama yang digariskan dalam Belanjawan 2023 – amanah, kejujuran,  dan ketelusan – merupakan prinsip pedoman yang penting untuk semua rakyat, khususnya kepimpinan di semua peringkat, melibatkan ahli politik serta seluruh jentera kerajaan.

Sifat-sifat yang digariskan adalah kritikal untuk membanteras amalan rasuah dan penyelewengan, yang mengakibatkan ketirisan mencecah hampir RM3 bilion pada tahun 2020 dan 2021.

Secara keseluruhan, dalam realiti yang serba mencabar, Belanjawan 2023 telah meletakkan asas yang baik dalam perencanaan jangka pendek negara.

Pelaksanaan Belanjawan 2023 diharap mampu membuktikan kemampuan Kerajaan Perpaduan untuk mewujudkan ekosistem ekonomi manusiawi yang mampan dan seterusnya, membangunkan Malaysia MADANI seperti yang diimpikan.

Penulis Mohammad Abdul Hamid ialah Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi Pertubuhan IKRAM Malaysia

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi The Malaya Post.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments