Tuesday, May 28, 2024
HomeBERITAKeluarga sejahtera asas pembinaan Negara Madani

Keluarga sejahtera asas pembinaan Negara Madani

Oleh: Siti Shamsiah binti Md Supi

Konsep Negara Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri ke-10 Malaysia meletakkan visinya sebagai membangun tanah air yang lebih mampan dan makmur.

Kemampanan dan kemakmuran itu berteraskan roh (semangat) daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan. Teras ini pula meletakkan keterangkuman dan kesaksamaan sebagai tiang serinya.

Keterangkuman (inclusivity) secara asasnya membawa maksud sebagai “termasuk dalam lingkungan sesuatu,” maka dalam konteks kemasyarakatan ia sekurang-kurangnya boleh membawa erti sebagai tiada keciciran dalam menerima layanan dan hubungan sesama ahli masyarakat walaupun wujud perbezaan latar belakang, budaya dan kepercayaan.

Keterangkuman dapat melahirkan semangat kebersamaan yang boleh mengikat tali perpaduan demi menjunjung negara Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

Manakala kesaksamaan pula menurut Kamus Dewan membawa erti sebagai teliti, hati-hati yang sama ertinya dengan cermat, berhemat, waspada, rapi dan beberapa sifat baik yang lain.

Rumus atau destinasi kepada visi ini ialah sebuah masyarakat Malaysia yang adil. Seterusnya terdapat rukun-rukun yang mengisi konsep Negara Madani ini iaitu kesejahteraan, hormat, ihsan dan daya cipta.

Dalam membincangkan pembinaan sesebuah negara, keluarga merupakan subjek yang amat penting kerana ia komponen asas kepada pembentukan masyarakat dan seterusnya dalam membina sebuah negara yang berperadaban.

Dengan ayat lain tetapi sama maksudnya, keluarga ialah sebuah unit asas sosial yang membekalkan sumber manusia untuk pembangunan serta menjamin kesinambungan insan sebagai generasi akan datang.

Di sinilah letaknya peri pentingnya kesejahteraan buat setiap unit keluarga. Mungkin sesetengah individu tidak mampu melihat bahawa setiap unit keluarga itu ibarat sebuah bata yang tersusun bersama-sama bata-bata lain untuk mendirikan sebuah bangunan yang besar, teguh dan megah tersergam.

Tetapi, itulah perumpamaan yang paling hampir bagi menjelaskan kepentingan sebuah unit keluarga.

Bahkan perumpamaan ini selari dengan mafhum sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud, “Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang bahagian-bahagiannya menguatkan antara satu sama lain.”

Sebagaimana yang telah disebutkan pada awal-awal tadi bahawa teras kepada kemampanan dan kemakmuran itu berasaskan semangat daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan.

Semua nilai ini perlu dilahirkan dan dibudayakan dari rumah, dalam kalangan ahli keluarga dan kaum kerabat. Nilai-nilai ini juga harus dimulakan dan diamalkan dalam hubungan kejiranan dan persekitaran sekolah ketika generasi muda sedang membesar dan belajar mengenali hidup bermasyarakat.

Nilai-nilai ini apabila dipupuk dari awal, ia akan sebati menjadi darah daging, dan individu manusia akan membesar dengan nilai-nilai baik ini.

Individu yang telah terbiasa dengan nilai-nilai ini akan terus membawanya dan mengamalkan ketika ia dewasa dan matang.

Dalam hal ini agama Islam sebenarnya telah mengajar kita betapa keluarga dan semangat kekeluargaan itu perlu diberi perhatian.

Baginda Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap ahli keluarga dan aku adalah yang paling baik dalam kalangan kamu terhadap ahli keluarga ku.” (HR Ibnu Majah) Baginda SAW juga telah berpesan dengan sabda Baginda yang bermaksud, “Apabila salah seorang antara kamu menyayangi saudaranya, maka beritahulah dia tentangnya.”

Al-Quran telah memperuntukkan ayat-ayat berkaitan dengan konsep persaudaraan, tolong-menolong, memperbaiki hubungan sesama manusia dan larangan daripada berpecah-belah.

Dalam Surah Ali Imran (3), ayat 103 Allah telah memerintahkan umat-Nya agar berpegang pada tali Allah, dan serentak itu melarang umat-Nya daripada bercerai-berai. Begitu juga berkaitan dengan konsep tolong-menolong dalam melaksanakan kebajikan sebagaimana yang terkandung dalam ayat kedua, Surah al-Maidah (5).

Seterusnya perintah taat dan memperbaiki hubungan sesama insan yang dirakam dalam ayat pertama Surah al-Anfal(8). Surah al-al-Hujurat (49) ayat 13 juga peringatan daripada Allah SWT untuk mendamaikan pihak-pihak yang bertelingkah.

Jika diperhalusi ayat-ayat al-Quran ini aspek hubungan sesama insan ini dikemukakan bersama-sama dengan aspek akidah. Dalam ayat yang mudah, seorang Muslim itu haruslah mentaati Allah, menjadikan tauhid sebagai paksi hidupnya dan pada masa yang sama perlu menjaga hubungan sesama insan.

Surah al-Tahrim ayat enam yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan kaum keluarga kamu dari api neraka, yang kayu bakarnya terdiri daripada manusia dan batu,” telah ditafsirkan dengan beberapa tafsiran dari sudut pendidikan. Antaranya oleh Sayidina Ali RA yang menurut beliau ayat ini merupakan suatu suruhan kepada ketua keluarga untuk mendidik anak-anak dan ahli keluarga dengan perkara-perkara yang baik.

Dalam satu tulisan oleh Mohd Fahimi Zakaria, beliau menyebut bahawa rumah sepatutnya menjadi sekolah pertama kepada generasi muda, manakala ibu bapa merupakan guru pertama kepada anak-anak mereka sendiri demi pembentukan peribadi yang berkualiti. Sebagaimana pentingnya pendidikan seseorang insan bermula dari rumah, begitu jugalah pentingnya kesejahteraan yang perlu ada pada setiap unit keluarga.

Kesejahteraan yang dimiliki oleh sesebuah keluarga akan membenarkan berlakunya pendidikan, bimbingan serta pembentukan sahsiah yang cemerlang pada setiap ahli keluarga. Nilai-nilai yang perlu ada dalam pembinaan negara madani dapat diterapkan bermula dari rumah kepada anak-anak sejak awal lagi.

Sebagai rumusan dapatlah dinyatakan di sini bahawa Negara Madani sebenarnya bermula dari rumah, atau dari keluarga sejahtera yang berpaksi kepada akidah.

Siti Shamsiah binti Md Supi

Penulis Siti Shamsiah Md Supi ialah penulis Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi The Malaya Post.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments