Intipati Belanjawan 2023 Malaysia MADANI

0

Belanjawan 2023 yang bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ memastikan langkah yang mampan dan terangkum berpaksikan keadilan sosial, di samping menggerakkan usaha reformasi pentadbiran dan tatakelola baik.

RM388.1 bilion merupakan jumlah keseluruhan Belanjawan 2023.

INTIPATI

Berikut adalah intipati Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

RM97 bilion diperuntuk bagi peningkatan peruntukan pembangunan.
Dividen 5.1% untuk ahli yang mempunyai simpanan ASB yang kurang daripada RM30,000. Manfaatkan 87% ahli ASB.

Tarif elektrik dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan PKS, tetapi semua syarikat besar kecuali sektor makanan dan pertanian dinaikkan.

Cadangan memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah seperti jam tangan dan barangan fesyen mewah.

Usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.

Cadangan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela di mana pengampunan ke atas penalti 100% akan diberikan bagi pengakuan sukarela mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2024.

Mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke atas pendapatan bercukai bagi RM150,000 pertama dikurangkan daripada 17% kepada 15%.

Kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan ehailing.

Tahun ini enam projek tebatan banjir akan di-tender semula dengan segera selewatnya bulan Jun.

Sejumlah RM38 juta disediakan bagi memelihara hidupan liar seperti harimau dan gajah serta habitat hutannya.

Kerajaan akan menambah bilangan renjer yang mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang dengan mengutamakan khidmat komuniti orang asli dan veteran tentera dan polis melibatkan peruntukan RM50 juta.

BNM menyediakan dana pinjaman sehingga RM2 bilion bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon.

Kerajaan akan menyelaras kerjasama antarabangsa dengan syarikat multinasional asing untuk menyediakan peluang perantisan di negara pemegang biasiswa menuntut, di mana pelajar juga dibenarkan untuk menyempurnakan bon perkhidmatan mereka dengan syarikat tersebut.

Galakan cukai kepada syarikat pengilangan yang memindahkan operasi ke Malaysia dan kadar cukai 15% kepada C-Suite sehingga tahun 2024 bagi menarik pelaburan daripada syarikat yang terjejas akibat COVID-19 untuk beroperasi di Malaysia.

Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan sehingga RM6 bilion pembiayaan strategik khusus untuk menggalakkan agenda mampan dan automasi selain sokongan dalam bentuk ekuiti dan modal kerja pusingan kepada syarikat berpotensi tinggi yang masih terjejas dengan COVID-19.

Kerajaan akan memandatkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai hab kewangan antarabangsa Malaysia.

Kerajaan bercadang untuk membesarkan dan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang yang akan diterajui oleh MAHB.

Tumpuan akan diberikan bagi menyokong projek pembangunan Pelabuhan Sanglang di Perlis.

Bagi menyokong perkembangan perdagangan antarabangsa, Kerajaan mendukung cadangan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey oleh pihak swasta yang dapat memperkukuh pelabuhan Klang sebagai pelabuhan hab utama untuk rantau Asia Tenggara.

Bermula 2024, aset simpanan syariah KWSP akan diasingkan sepenuhnya bagi memberi pulangan yang kompetitif kepada 1.25 juta ahli yang memiliki akaun syariah.

Kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf MADANI dengan aset-aset bernilai lebih RM1 bilion. Aset-aset yang terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan dan pendidikan akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan
rentan lain.

Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf dengan objektif wakaf menyumbang 20% pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Kerajaan bercadang untuk meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi melindungi pemberi maklumat supaya agenda membanteras rasuah dan salah laku benar-benar menuaikan hasil.

Kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan bagi 400 klinik daif dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM500,000 serta perolehan secara cabut undi kepada RM200,000 berbanding RM100,000.

Kerajaan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan.

Sejumlah RM1.5 bilion disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar. Peruntukan RM100,000 untuk setiap daerah bagi menyelesaikan isu jalan-jalan berlubang dengan menggunakan khidmat Jurutera Daerah untuk menyegerakan penurapan kerosakan Jalan Persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima.

Sejumlah RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi.

Bagi memastikan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang berkesan, MAMPU telah mengambil langkah strategik dengan menaik taraf perkhidmatan MyGovCloud.

Bagi mengukuhkan peranan National Scam Response Centre (NSRC), sejumlah RM10 juta disediakan bagi geran pengoperasian.

Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat. Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini.

Banduan akan terus diberi latihan secukupnya melalui program Skill for Inmate. Program Agro Penjara untuk banduan terlibat dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan di atas tanah penjara seluas 70 hektar akan terus diperkasa dengan peruntukan RM10 juta.

Sebuah unit khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku yang terlibat.

Kerajaan menyediakan RM8 juta bagi memperkukuh peranan Pusat Sokongan Sosial Setempat sebagai tempat intervensi awal isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga.

Bagi membantu rakyat susah mendapat pembelaan yang adil dan saksama, Jabatan Bantuan Guaman akan menaikkan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh daripada RM30,000 kepada RM50,000.

Bagi mengeratkan kerjasama industri, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) diperkukuh dengan peruntukan RM50 juta untuk manfaat lebih 8,000 pelatih.

Program Academy in Factory akan dilaksanakan untuk menyediakan peluang kepada lebih 50,000 pelatih menjalankan latihan sambil bekerja di kilang.

PERKESO akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya TVET sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan dengan RM45 juta disediakan untuk tujuan ini.

PERKESO juga menyediakan insentif kepada majikan menggaji golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar sehingga RM600 sebulan untuk tempoh sehingga tiga bulan.

Kerajaan akan menanggung bayaran latihan untuk pekerja gig menjalani program peningkatan kemahiran micro credentials sehingga RM4,000.

PERKESO juga menyediakan elaun RM300 untuk tiga bulan sebagai menggantikan pendapatan pekerja gig yang aktif dan sedang menjalani program latihan. Secara keseluruhan, RM40 juta disediakan untuk manfaat 30,000 pekerja gig.

Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp) dengan dana RM1 bilion akan dimanfaatkan untuk melaksanakan program latihan kemahiran kepada pekerja-pekerja bagi majikan yang berdaftar dan mempunyai levi terkumpul.

Kerajaan akan menyediakan RM50 juta geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) yang berupaya menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran.

RM80 juta disediakan bagi menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Antiminyak Sawit.

Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, PERKESO akan meminda Aktanya untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80% daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja. Dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran ini melibatkan dana keseluruhan RM290 juta setahun.

Kerajaan akan memudah cara proses pendaftaran dan memulakan semula program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh dengan peruntukan RM15 juta disediakan sebagai pinjaman mudah bagi membantu para pengusaha.

Kepada penjawat awam, Kerajaan akan menyediakan subsidi yuran taska RM180 sebulan, selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada RM5,000 kepada RM7,000.

Kerajaan memperuntukkan RM250 juta untuk mempromosi pelancongan. RM115 juta disediakan sebagai dana geran padanan untuk bekerjasama dengan industri Pelancongan dan Kebudayaan.

Kerajaan akan melaksanakan projek membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak RM480 juta bagi menyelesaikan isu kesesakan jalan raya.

Kerajaan akan mempercepat pelaksanaan projek JENDELA sebagai usaha nasional menyediakan kemudahan jaringan internet. Bagi tahun 2023, RM725 juta disediakan bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan pengindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah.

Bagi menyokong aktiviti automasi dan pendigitalan perniagaan, sejumlah RM100 juta disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil. Geran padanan sehingga RM5,000 akan dibayar kepada PKS yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan atau pengurusan inventori.

GLC antaranya Khazanah dan KWSP akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion.

Kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada negeri Melaka dan Pulau Pinang untuk terus kekal memelihara tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.
Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.

Kerajaan akan melaksanakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30% lebih murah berbanding pasaran dengan dana RM100 juta untuk menjayakan program ini di setiap 222 kawasan Parlimen.

Isi rumah pendapatan kurang RM2,500 layak terima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.

Kerajaan akan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 kepada 2 juta orang belia berumur 18 hingga 20 tahun dengan peruntukan RM400 juta.

Kerajaan meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma dengan peruntukan RM1.6 bilion, di samping sumbangan tunai turut diberikan kepada pesawah padi sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta.

Kerajaan akan menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan. Ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung 320,000 pekebun kecil dengan peruntukan RM256 juta.

Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak 2 peratus melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000. Pengurangan ini dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.

Kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus melibatkan banjaran lebih RM100,000 hingga RM1 juta. Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi. Melalui pendekatan ini, langkah ini melibatkan pengurangan hasil cukai bersih Kerajaan sebanyak RM900 juta untuk manfaat rakyat khususnya M40.

BNM menyediakan dana sehingga RM1 bilion di bawah Skim Pembiayaan Agrofood untuk membantu pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran.

Bagi meraikan kepelbagaian dan merapatkan jurang perbezaan, sejumlah RM50 juta disedia bagi menggerak pelbagai program antaranya Kembara Perpaduan Malaysia Madani dan Ini Warisan Kita. Program ini akan menggerakkan pelbagai aktiviti perpaduan dan integrasi sosial antara komuniti seperti liga sukan perpaduan, pertandingan kebudayaan, fiesta perayaan dan citarasa menu.

Kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk melaksanakan program gotong-royong di semua sekolah seluruh Malaysia.

Peruntukan RM50 juta turut disediakan bagi penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam seluruh negara.

Negeri Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan masing-masing sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

Lebih RM2.5 bilion disediakan bagi melaksanakan projek-projek melibatkan prasarana awam yang kebanyakannya untuk manfaat Sabah dan Sarawak melibatkan projek jalan dan lampu jalan serta bekalan air dan elektrik.

Bagi memudahkan urusan rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memperbanyak kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

Keutamaan peruntukan untuk menyelenggara dan membeli aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4.1 bilion.

Agensi-agensi di bawah KDN akan disediakan hampir RM1 bilion bagi memperkasa keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan PDRM.

Lebih RM500 juta disediakan untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN.

Kerajaan menyediakan peruntukan berkaitan hal ehwal Islam berjumlah RM1.5 bilion.

Kerajaan bersetuju menaikkan elaun bagi 35,000 guru KAFA sebanyak RM100 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta.

Kerajaan akan memberikan sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir. Seramai 70,000 orang akan menerima sumbangan ini melibatkan peruntukan lebih RM40 juta.

Kerajaan menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan.

Kerajaan akan terus menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk manfaat semua atlet termasuk atlet para melalui penyediaan dana erjumlah RM324 juta.

RM102 juta disediakan sebagai Dana Kandungan Digital untuk mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya kreatif.

Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikan ia sebagai bahan bacaan yang disukai ramai. Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan ditingkatkan. Sejumlah RM20 juta disediakan untuk tujuan ini.

RM10 juta akan disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskah terjemahan Al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia.

Di bawah Prasarana, Kerajaan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180,000 pengguna.

Kerajaan akan terus menyediakan RM209 juta bagi mensubsidi pengangkutan udara untuk manfaat rakyat pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion tahun 2022.

Bagi menampung kos menyediakan makanan berkhasiat kepada murid-murid, kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah ditambah daripada RM625 juta kepada RM777 juta tahun ini yang memanfaatkan 700,000 murid.

Bagi tahun 2023, Kerajaan akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 komputer riba.

Kementerian Pendidikan Tinggi akan diperuntukkan RM15.3 bilion berbanding RM14.5 bilion pada tahun 2022.
RM35 juta dana untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di institusi pendidikan tinggi Malaysia di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN).

Sejumlah RM428 juta disediakan untuk melaksanakan aktiviti R&D di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus. Bagi meringankan beban kewangan peminjam PTPTN yang terkesan, Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh 6 bulan. Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac depan.

Sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun lalu.

Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta sepertimana yang dilaksanakan Kerajaan Selangor. Sebanyak RM120 juta disediakan untuk tujuan ini.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan memperoleh peruntukan RM50 juta bagi memastikan keadaan yang selamat di PPR dengan keutamaan kepada mengganti lif-lif yang telah usang. Bagi mempercepat proses perolehan, had sebut harga perolehan kerja penyelenggaraan dan pembaikan lif ditingkatkan kepada RM1.2 juta berbanding RM500,000.

Kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman PERKESO bagi mengurangkan bebanan dan menggalakkan pekerja sendiri membuat caruman dalam Skim Pekerjaan Sendiri PERKESO, RM100 juta disediakan untuk memanfaatkan golongan yang bekerja sendiri.

Kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 di dalam Akaun 1 mereka, Kerajaan bersetuju untuk menambah caruman simpanan KWSP Akaun 1 mereka sebanyak RM500. Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2 juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 billion.

Kerajaan bersetuju untuk memberi elaun khas RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan penyelamat negara yang terlibat di dalam misi di Turkiye dan Syria.

Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak selain RM350 juga akan disalurkan kepada pesara Kerajaan.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply