Thursday, June 13, 2024
HomeBERITAPembangunan semula kampung Iboi perlukan koordinasi kerajaan negeri dan persekutuan

Pembangunan semula kampung Iboi perlukan koordinasi kerajaan negeri dan persekutuan

BALING, 4 Julai – Pembangunan semula Kampung Iboi, Baling, memerlukan koordinasi membabitkan semua agensi dalam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Langkah itu bagi memastikan lokasi kejadian kepala air dan banjir lumpur yang menjejaskan kampung itu dan kawasan sekitarnya setahun lalu dapat diselesaikan segera.

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, wakil penduduk kampung itu memaklumkan terdapat 32 perkara yang belum diselesaikan di situ selepas tragedi 4 Julai tahun lalu.

“Tadi mereka membangkitkan ada perkara-perkara yang belum selesai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, ada senarai yang dibacakan oleh wakil penduduk, jadi pada saya Jawatankuasa Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah mengambil perhatian tentang perkara ini.

“Perkara ini pada sayalah antara perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan kalau ada koordinasi antara semua agensi sama ada negeri atau persekutuan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Mahdzir, disebabkan tiada koordinasi antara kerajaan negeri dan persekutuan, pembangunan yang dirancang termasuk peruntukan yang telah diluluskan sebelum ini tidak dapat dilaksanakan sehingga memberi kesan kepada penduduk.

“Kalau tak boleh selesai semua dalam masa tujuh bulan ini, mungkin boleh selesaikan dulu lapan atau sembilan perkara, kemudian selesaikan selebihnya,” katanya.

Tambah beliau, kesemua perkara yang dikemukakan wakil penduduk itu akan diambil perhatian dan akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri dan juga kementerian-kementerian berkenaan untuk diambil tindakan segera.

“Jadi perkara ini kita ambil perhatian dan senarai itu kita akan bawa balik kepada kementerian-kementerian terbabit.

Kita akan cuba tengok (bawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita ada senarai daripada rakyat dan kita akan lihat keutamaan kalau beliau atau wakil menteri lain dapat datang,” katanya.

Jelas Mahdzir lagi, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Besar Kedah dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, kesemua perkara yang dirancang sepatutnya dapat disiapkan dalam tempoh setahun.

“Contohnya lampu jalan, kalau ada koordinasi negeri dan pusat, panggil semua yang terbabit, tetapkan tarikh, buka tender, serahkan urusan kepada Pegawai Daerah, tapi kalau berselerak macam ni, tak tahu siapa yang pegang.

“Saya tak kata Menteri Besar Kedah sekarang ni lepas tangan, cuma saya tak tahu apa yang dia buat,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments