Saturday, May 25, 2024
HomeBERITAPAU 2021: PRU-15 perlu diadakan secepat mungkin - Tok Mat

PAU 2021: PRU-15 perlu diadakan secepat mungkin – Tok Mat

Timbalan Presiden UMNO menegaskan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan secepat mungkin berdasarkan lima faktor.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan melihat kedudukan pihak lawan yang kini ternyata lemah, ia memberi peluang kepada UMNO untuk meraih kemenangan sebagaimana sebelum ini.

Selain itu katanya, persefahaman politik yang sangat bercelaru tiada kesepaduan dilihat saat terbaik untuk menumbangkan pembangkang.

“Selain itu, pelbagai pilihan raya semasa pandemik telah berlangsung dengan berjaya dan teratur. Maka tiada alasan untuk kita melengahkan PRU-15. Malah menganjurkan PRU sewaktu pandemik adalah pilihan terbaik. Semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor.

“UMNO dalam masa yang sama melihat prestasi parti sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran. Dengan memuncaknya krisis Ukraine dan Rusia, tergugatnya ‘Europe security order’, ketidakpastian tentang kemungkinan adanya ancaman pandemik baharu, ketegangan hubungan Amerika Syarikat dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan ‘global supply chain’, prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan dampak semua ini.

“Harga barang juga semakin naik mendadak, tidak terkawal sehingga rakyat marah dan semakin ramai yang akan mengkambinghitamkan UMNO dan BN,” katanya dalam ucapan Perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.

Tambah Mohamad, Barisan Nasional (BN) mesti mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang sah.

“UMNO adalah ‘the custodian of democracy’ di negara ini. Bukan sekadar pemain politik biasa. Kita yang membidani, menyubur dan melestarikan demokrasi di tanah air ini.

“Jangan terus berdolak-dalih. Malaysia tidak pernah ditadbir oleh kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihan raya yang demokratik. Keabsahan kerajaan sekarang terus dipersoal. Kita tidak menang dalam PRU lepas. Kita hanya menguasai kerajaan melalui percaturan politik,” jelasnya.

Justeru jelas Mohamad, sampai bila UMNO perlu bergantung dengan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dan pembangkang untuk mengurus kestabilan negara.

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments