Saturday, July 20, 2024
HomePOLITIKPARLIMENKPLB rencana pelbagai program bantu usahawan luar bandar

KPLB rencana pelbagai program bantu usahawan luar bandar

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan juga agensi-agensi di bawahnya telah merencanakan beberapa program dalam usaha untuk membantu usahawan luar bandar menjalankan perniagaan bagi tahun 2022.

Menurut Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid, program-program itu termasuklah Program Rural Bussiness Challenge 2.0, Program Pembangunan Keusahawanan Start Right (PSR@KPLB), Program Usahawan Bergerak, Rural Bussiness Outlet, Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB),dan juga Program Outreach Usahawan @KPLB.

“Sebanyak RM15.3 juta telah diperuntukkan untuk aktiviti keusahawanan luar bandar melalui Bahagian Pembangunan Usahawan Desa di dalam Belanjawan 2022 yang diumumkan baru-baru ini, di mana jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak RM4.3 juta atau 39% daripada peruntukan tahun 2021.

“Program-program ini bertujuan menyediakan peluang kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan kemudahan serta modal yang dapat meningkatkan keupayaan keluaran dan perkhidmatan mereka.

“Untuk makluman, MARA telah diluluskan peruntukan berjumlah RM97 juta bagi tahun 2022 merangkumi Skim Pembiayaan Perniagaan sebanyak RM75 juta dan Program Latihan Keusahawanan sebanyak RM22 juta.

“Skim pembiayaan perniagaan MARA ditawarkan kepada semua golongan usahawan termasuk usahawan belia dan wanita, usahawan teknikal dan professional serta kontraktor bumiputera yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan perniagaan serta menggalakkan penyertaan usahawan bumiputera di dalam pelbagai industri,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih Titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Datuk Seri Mahdzir lagi, setakat Februari 2022, seramai 365 usahawan telah diluluskan pembiayaan berjumlah RM29.3 juta di seluruh negara. Manakala seramai 44 usahawan di negeri Sarawak telah diluluskan pembiayaan berjumlah RM2.92 juta.

Tambahnya, program latihan keusahawanan MARA dijalankan, secara persendirian atau berstruktur bertujuan untuk membangunkan usahawan baharu dan meningkatkan keupayaan usahawan sedia ada.

“Setakat Februari 2022, seramai 892 usahawan telah dilatih oleh MARA yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM3.79 juta di seluruh negara. Manakala seramai 151 usahawan di negeri Sarawak telah menerima manfaat dengan perbelanjaan berjumlah RM284,900.

“Antara program latihan yang dilaksanakan adalah seperti latihan pengurusan perniagaan, pembangunan dan penjenamaan produk, pelabelan dan pemasaran serta pensijilan dan pendigitalan perniagaan,” ujarnya.

Selain itu, kata Datuk Seri Mahdzir lagi, melalui RISDA, Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Pembangunan Usahawan dilaksanakan untuk memberi bimbingan dan latihan kepada pekebun kecil bagi menceburi bidang keusahawanan dan menjalankan perniagaan yang menjana pendapatan tambahan.

Pada tahun ini, menurut beliau, sejumlah RM56.29 juta diperuntukkan untuk program ini berbanding RM20.76 juta pada tahun 2021.

“Dengan pertambahan peruntukan tersebut, program ini dapat dipergiatkan kepada lebih ramai penerima manfaat dengan mensasarkan seramai 5,628 orang usahawan pekebun kecil menerima bantuan dan dibimbing berbanding 2,348 orang pada tahun 2021.

“Bagi Sarawak sejumlah RM5.33 juta diperuntukkan pada tahun ini berbanding RM1.48 juta pada tahun 2021. Seramai 696 orang usahawan pekebun kecil getah yang akan menerima bantuan dan dibimbing berbanding 189 orang pada tahun 2021.

“Di dalam konteks FELCRA Berhad, sehingga kini terdapat seramai 1,183 orang usahawan yang aktif secara individu. Fokus program pemantapan pendapatan komuniti usahawan FELCRA merangkumi penyertaan dalam kluster perniagaan Akuakultur, Tanaman, Ternakan, Makanan, Pembuatan dan Perkhidmatan,” jelasnya.

Kata Datuk Seri Mahdzir lagi, kementerian juga menerusi Program Desamall@KPLB beriltizam membantu melatih penduduk luar bandar untuk menceburi bidang keusahawan seperti pemasaran produk-produk mereka melalui platform e-Dagang.

“Pada masa ini sambutan usahawan luar bandar amat menggalakkan dan pelaksanaan program khususnya on-boarding usahawan semakin meningkat. Menerusi program on-boarding ini, usahawan layak menyertai pemasaran produk-produk secara dalam talian. Disamping itu, produk-produk usahawan luar bandar turut boleh dipasarkan secara fizikal di 6 premis Desamall@KPLB sedia ada,” ujarnya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments