Kuala Lumpur, 10 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa televisyen tempatan pada 3 petang hari ini.
Pengumuman dibuat selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada baginda mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke 14 dibubarkan pada hari ini (Isnin 10 Oktober 2022).
“Saya mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen, meskipun beberapa negeri sudah telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.
“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Susulan pembubaran Parlimen itu, SPR perlu menetapkan tarikh pilihan raya diadakan.
Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, daripada tarikh pembubaran Parlimen.
Semalam Perdana Menteri dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Memetik laporan New Straits Times (NST), kunjungan Ismail Sabri itu bagaimanapun tidak dihidu media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.
Ini kerana rata-rata media membuat liputan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost
Leave a Reply