JOHOR BHARU, 10 Januari – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, semalam telah merasmikan Bangunan Kesatuan Pelajar (SUB) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Yang pasti ia adalah satu pencapaian penting dalam usaha universiti menyediakan platform komprehensif bagi pembangunan holistik mahasiswa.
Untuk rekod, SUB ini adalah fasiliti pertama seumpamanya yang disediakan khas oleh pihak universiti kepada kesatuan pelajar UTM.
Menurut Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry, SUB dijadikan pusat utama untuk pelajar mengadakan pelbagai aktiviti, termasuk keusahawanan, latihan kesenian, dan latihan multimedia.

Bangunan ini menempatkan lima lot perniagaan, antaranya kedai komputer, kedai runcit, kedai gunting rambut, perkhidmatan terapi dan rehabilitasi, serta kelab fotokreatif.
Selain itu, bangunan ini turut dilengkapi kemudahan seperti dewan seminar, studio pelajar, dan ruang khas untuk aktiviti persatuan serta kelab pelajar.
Terdahulu dalam ucapan Perutusan Tahun Baharu KPT, Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan keyakinannya bahawa fasiliti ini akan memperkasakan pelajar bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi juga dalam membentuk sahsiah dan kemahiran insaniah.

“SUB diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan mahasiswa unggul yang bijak mengimbangi kecemerlangan akademik dengan penglibatan aktif dalam aktiviti masyarakat,” katanya di Facebook.
Inisiatif pembinaan SUB ini selaras dengan agenda Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan pendidikan tinggi serta pembangunan insan secara menyeluruh.
Menteri turut mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan UTM atas usaha mereka membangunkan fasiliti ini demi kesejahteraan pelajar.

SUB kini dibuka sepenuhnya kepada semua pelajar UTM dan dijangka akan menjadi pusat utama aktiviti kampus, sekali gus menggalakkan penglibatan pelajar dalam pelbagai program bermanfaat.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply