Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAKPT perkenal tujuh fokus utama, 20 program khas dan 10 agenda transformasi...

KPT perkenal tujuh fokus utama, 20 program khas dan 10 agenda transformasi pendidikan tinggi 2025

SKUDAI, 9 Januari – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini menggariskan hala tuju strategik pendidikan tinggi negara bagi tahun 2025 menerusi Tujuh Fokus Utama, 20 ‘Signature Programmes’, dan 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, langkah itu adalah kesinambungan daripada lima fokus utama tahun lalu, dengan beberapa penambahbaikan dan penyelarasan pada dimensi strategik.

Jelas beliau, hala tuju baharu itu bertujuan memperkukuh daya saing institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pasaran kerja global.

“Kami percaya dengan kerjasama semua pihak, pendidikan tinggi negara akan terus maju dan memberikan impak besar kepada masyarakat serta ekonomi negara. Pelan ini dirangka bagi memastikan IPT terus relevan dan mampu menghadapi cabaran semasa serta masa depan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2025 di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor.

Tujuh Fokus Utama KPT 2025

1. Penyediaan Bakat Terbaik Negara – Program ini menekankan kepada pembangunan graduan berkualiti yang berdaya saing melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, latihan industri dan peningkatan kemahiran digital.

2. Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus – KPT berusaha memperkasa tenaga akademik dengan memperkenalkan insentif kepada penyelidik berprestasi tinggi serta menjaga kebajikan warga kampus.

3. Pemindahan dan Perkongsian Ilmu – Kerjasama antara IPT dan industri akan dipergiat bagi memastikan hasil penyelidikan dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta merangsang inovasi ekonomi.

4. Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi – Bagi meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab pendidikan serantau, KPT akan memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa serta menarik lebih ramai pelajar luar negara.

5. Governan dan Kepemimpinan – Penambahbaikan tadbir urus IPT akan dilaksanakan melalui penggunaan teknologi digital dan latihan kepimpinan kepada pengurusan IPT.

6. Kemampanan Kewangan IPT – Dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, KPT menggalakkan IPT menjana pendapatan sendiri melalui kerjasama dengan sektor swasta serta pelaksanaan model pembiayaan baharu.

7. Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus – Penambahbaikan infrastruktur kampus serta peningkatan teknologi digital akan terus diberi perhatian, selain menjadikan kampus sebagai kawasan hijau dan lestari.

20 Program Khas sebagai Pemacu

Menurut Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry dalam usaha mencapai tujuh fokus utama ini, KPT turut melancarkan 20 ‘Signature Programmes’ yang akan bertindak sebagai pemacu kepada setiap agenda transformasi.

Antara program utama yang diumumkan termasuk:

  • Program Graduan Berkualiti – Fokus kepada kebolehpasaran graduan dengan penyediaan kemahiran tambahan.
  • Inisiatif Digital Kampus Pintar – Menggalakkan penggunaan teknologi digital secara menyeluruh di IPT.
  • Program Keusahawanan IPT – Menggalakkan pelajar menceburi bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya.
  • Program Kampus Hijau – Memupuk amalan kelestarian dan mesra alam di kampus.

10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi

Selain program khas, KPT turut memperkenalkan 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi yang akan menjadi garis panduan strategik dalam mempercepat perubahan dan pembaharuan di IPT. Agenda tersebut meliputi:

1. Pembelajaran Sepanjang Hayat – Menggalakkan rakyat menimba ilmu pada setiap peringkat usia.

2. Pemerkasaan Teknologi dalam Pendidikan – Memperluas penggunaan teknologi untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.

3. Pengukuhan Hubungan IPT-Industri – Meningkatkan kerjasama strategik dengan sektor swasta.

4. Peningkatan Kebolehpasaran Graduan – Memastikan graduan memiliki kemahiran yang diperlukan industri.

5. Kelestarian Kampus – Membangunkan persekitaran kampus yang lebih mesra alam.

Susulan itu, Menteri Pengajian Tinggi turut menyeru seluruh warga IPT dan KPT agar berganding bahu dalam melaksanakan strategi ini.

Beliau yakin, dengan komitmen semua pihak, sistem pendidikan tinggi negara akan terus maju ke hadapan dan mencapai kejayaan lebih besar pada tahun 2025.

“Marilah kita bersama-sama melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi. Insya-Allah, kejayaan demi kejayaan akan terus kita kecapi,” katanya.

Pelan strategik ini diharap mampu meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi serantau dan global, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan lestari dan kesejahteraan rakyat.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments