Saturday, November 21, 2026
HomeBERITACASAxOKU 2025: Perkasa bakat seni OKU di UiTM Puncak Perdana

CASAxOKU 2025: Perkasa bakat seni OKU di UiTM Puncak Perdana

SHAH ALAM, 13 Dis – UiTM Kampus Puncak Perdana bakal mencatat sejarah dengan penganjuran Karnival CASAxOKU 2025, satu inisiatif inklusif yang bertujuan memperkasa bakat seni dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

Acara itu akan berlangsung dari 16 hingga 18 Januari 2025, dianjurkan oleh pelajar Pengajian Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), dengan kerjasama pensyarah dan alumni.

Menampilkan pelbagai program dan aktiviti kreatif, karnival itu bertujuan membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka potensi mereka dalam bidang seni, keusahawanan, dan multimedia.

Menurut Ketua Pengajian Seni Liberal, Dr. Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin, CASAxOKU 2025 adalah langkah penting dalam membentuk pelajar yang holistik dan bersedia menghadapi cabaran industri.

“Kolaborasi pelajar, pensyarah, dan alumni ini diharap akan menjadi model jangka panjang yang menguntungkan semua pihak serta memperkukuh jaringan antara universiti dan komuniti,” ujarnya.

Platform Kreativiti dan Inovasi

Karnival ini menampilkan lebih 10 sub-acara utama seperti Simfoni Tanpa Batasan, Talk Show Emansipasi Unik, Pameran Gema Cahaya, dan Cinemove Unisinema Suara Tanpa Batas, dengan setiap acara disusun untuk menonjolkan bakat seni OKU dan pelajar UiTM.

Sementara itu, Pensyarah kursus, YM Raja Nor Aminah Raja Ayob, berkata karnival itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori secara praktikal serta mengasah kreativiti mereka.

“CASAxOKU adalah medan latihan sebenar bagi pelajar untuk mempamerkan kemahiran mereka kepada khalayak dan membina keyakinan diri,” katanya.

Tayangan Eksklusif dan Tetamu Khas

Di bawah tema “Suara Tanpa Batas”, Cinemove Club bertekad meraikan suara-suara yang melangkaui batasan, mengangkat nilai inklusiviti dan kekuatan ekspresi.

Tahun ini, kelab berbesar hati menjemput tetamu istimewa daripada Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat (PPOC), Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk menyaksikan tayangan eksklusif filem Gold di UiTM Kampus Puncak Perdana pada 18 Januari 2025.

Tayangan itu bertujuan untuk menghubungkan komuniti OKU dengan warga kampus serta memberikan pengalaman sinematik yang unik kepada tetamu khas.

Menghasilkan Graduan Holistik

Selaras dengan Pelan Strategik UiTM 2025 dan agenda Globally Renowned University, KPSK terus komited melahirkan graduan seimbang yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga kompetitif di peringkat nasional dan global.

Dalam pada itu Koordinator Bidang, Pengurusan Seni Kreatif UITM, Dr Hazlin Anita Zainal Abidin memuji kesungguhan pelajar terbabit dalam menjayakan program itu.

“CASAxOKU 2025 adalah bukti usaha berterusan UiTM dalam memperkasa pelajar melalui pendekatan holistik, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi dunia sebenar,” tambah Dr. Hazlin

Untuk maklumat lanjut mengenai Karnival CASAxOKU 2025, sila hubungi Nik Shafiq Nik Sopeian di talian +6011-59663024 atau ikuti laman Instagram rasmi @EuphoriaProduction.

–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments