Tuesday, May 21, 2024
HomeBERITAMelaka tuan rumah Hari Puisi Malaysia ke-3

Melaka tuan rumah Hari Puisi Malaysia ke-3

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Setelah dua kali dianjurkan di ibu negara, Hari Puisi Malaysia (HPM) ke-3 akan berlangsung di Auditorium Tun Seri Lanang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Melaka pada 13 Jun ini.

Bertemakan Puisi Insani, Melestari Malaysia Madani, acara tersebut akan bermula pada jam 8.00 malam dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, sejajar dengan konsep PEMUISI untuk Memasyarakatkan Puisi, persatuan itu memutuskan untuk mengadakan HPM setiap tahun di setiap negeri secara bergilir-gilir.

“Kami pilih Melaka sebagai destinasi pertama kerana selain daripada statusnya sebagai negeri bersejarah, kami mempunyai rangkaian penggerak yang akan meneruskan gerakan madani ini pada masa-masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Radzuan yang juga dikenali dengan nama pena Wanrazuhar berkata, langkah membawa HPM keluar daripada ibu negara akan diteruskan dengan gerakan-gerakan gagasan melestarikan madani sebagai satu proses mengubah dan mengajak masyarakat memahami persembahan puisi dalam kehidupan.

“Puisi sangat mempengaruhi dan memberi impak yang besar dalam peradaban manusia. Puisi-puisi madani mengembalikan semula fenomena Madinah atau Madani, merupakan impian terbaik, cita-cita terbaik, bukan seperti kehidupan pada zaman jahiliah atau zaman bercakaran, zaman fitnah dan nilai-nilai negatif. Kita pupuk nilai-nilai murni dalam masyarakat madani melalui puisi,” jelasnya.

Radzuan berkata sambutan HPM ke-3 ini telah bermula sejak awal bulan ini dengan pertandingan mencipta puisi dan video baca puisi yang disiarkan di media sosial.
Katanya keputusan pertandingan akan diumumkan pada HPM di Melaka dan hadiah-hadiah akan disampaikan oleh Ketua Menteri.

“Terima kasih kepada pihak-pihak yang menjayakan HPM ke-3 antaranya Pejabat Ketua Menteri Melaka, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), JKKN Melaka, Ikatan Persuratan Melayu, Kolej Antarabangsa DMDI Melaka, serta beberapa sekolah dan universiti dari seluruh negara,”.

HPM diisytiharkan pada 13 Jun 2021 oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri dalam majlis Semarak Puisi anjuran DBP serta PEMUISI.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments