Malaysia henti eksport ayam bermula 1 Jun

0

Kerajaan memutuskan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan mulai 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil dengan keutamaan terhadap bekalan rakyat negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketetapan itu antara beberapa langkah jangka pendek yang diputuskan mesyuarat Kabinet hari ini bagi menangani masalah bekalan serta harga ayam ketika ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensinya.

“Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.

“Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Berikut lima langkah atasi isu harga, bekalan ayam

i. Menghentikan eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini hingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil (Keutamaan Kerajaan adalah Rakyat sendiri).

ii. Mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.

iii. Memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

iv. Mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam.

v. Menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

Mesyuarat Kabinet yang lazimnya diadakan pada Rabu setiap minggu, dipercepatkan kepada hari ini, bagi membincangkan isu membabitkan kos sara hidup yang dijangka meningkat.

Ketika mesyuarat hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diarah mengemukakan pelan mengatasi isu ayam, peningkatan harga barang dan kos sara hidup.

Perdana Menteri berkata, pemansuhan permit import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan berkuat kuasa minggu lalu, bertujuan meningkatkan peluang pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

“Kerajaan juga akan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

“Selain itu, proses tuntutan subsidi oleh pengeluar juga akan dipermudahkan. Bagaimanapun, kerajaan dapati hanya RM50 juta subsidi sudah dibayar kepada penternak, yang kebanyakannya adalah syarikat kecil,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan mendapati beberapa syarikat besar pengeluar ayam pula tidak berminat memohon subsidi disediakan itu, sebaliknya mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.

“Ketika ini, kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta mengikut Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu,” katanya.

Dato’ Seri Ismail Sabri berkata, Peguam Negara juga dipanggil menghadiri mesyuarat semalam juga menasihatkan Kabinet menguatkuasakan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) terhadap sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.

Katanya, tindakan boleh diambil mengikut akta berkenaan dan lesen mereka yang terbabit dengan perbuatan itu juga boleh dibatalkan serta merta.

“Kerajaan meminta MAFI dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

“Mengikut akta itu, penalti bagi individu adalah denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala perbadanan dan syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta,” katanya.

Isu kekurangan bekalan ayam meruncing pada hujung minggu lalu apabila ada syarikat pengeluar ayam bertindak tidak mengeluarkan ayam ke pasaran menyebabkan kekurangan bekalan ketika umat Islam masih lagi merayakan Aidilfitri sepanjang Syawal.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply