KUALA LUMPUR, 6 MAC – Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, TYT Danielle Heinecke di Bangunan Parlimen hari ini bagi membincangkan kerjasama strategik dalam sektor pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Pertemuan ini menumpukan kepada peluasan kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dan Australia, dengan penekanan khusus kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Australia merupakan antara negara yang terkehadapan dalam pendidikan tinggi, dan kami melihat banyak peluang untuk memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua negara,” kata Dr. Zambry.

Beliau turut mencadangkan penglibatan Australia dalam beberapa inisiatif utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), antaranya:
✅ Festival of Ideas (FOI) – platform akademik dan intelektual untuk perkongsian idea dan inovasi.
✅ Program pembangunan kapasiti dan kepimpinan wanita – inisiatif meningkatkan keupayaan kepimpinan dalam pendidikan tinggi.
✅ Tajaan pelajar Malaysia di bawah Colombo Plan – memperluaskan akses pelajar Malaysia kepada pendidikan di Australia.
Joint Working Group (JWG) Dicadangkan
Sebagai langkah susulan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Australia dalam pendidikan tinggi pada tahun lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mencadangkan penubuhan ‘Joint Working Group’ (JWG) bagi memperincikan pelaksanaan program-program kerjasama.
“JWG ini akan menjadi platform penting untuk memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat diterjemahkan ke dalam tindakan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” ujar Dr. Zambry.
Pertemuan itu mencerminkan KPT dalam memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta memastikan pelajar dan tenaga akademik Malaysia mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu, teknologi, dan kepakaran dari Australia.
“Diharapkan kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang bagi pembangunan modal insan, memperkukuh program akademik, serta mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia dalam bidang pendidikan tinggi dan kemahiran,” kata Dr. Zambry.

Kerjasama ini juga sejajar dengan usaha Malaysia untuk memperkasa ekosistem pendidikan tinggi dan TVET bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply