Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAMalaysia-Algeria perkukuh kerjasama pendidikan tinggi, MoU baharu akan dirangka

Malaysia-Algeria perkukuh kerjasama pendidikan tinggi, MoU baharu akan dirangka

Kuala Lumpur, 7 MAC – Malaysia terus memperkukuh hubungan antarabangsa dalam sektor pendidikan tinggi apabila Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Zambry Abd. Kadir, menerima kunjungan hormat Duta Besar Algeria ke Malaysia, TYT Abdelhafid Bonour di Bangunan Parlimen Malaysia hari ini.

Pertemuan ini merupakan sebahagian daripada usaha kementerian dalam merealisasikan fokus keempat Perutusan Tahun 2025 yang menekankan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, seiring dengan komitmen Malaysia untuk menambah baik sistem pendidikan dengan memperluaskan kerjasama global.

Memorandum Persefahaman Baharu Dalam Perancangan

Dalam perbincangan bersama TYT Abdelhafid, Dr. Zambry menegaskan keperluan untuk memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada antara Malaysia dan Algeria bagi memperluaskan skop kerjasama akademik.

“Kami berbincang mengenai usaha memperbaharui MoU sedia ada bagi memasukkan aspek seperti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta mobiliti pelajar. Ini penting bagi memastikan lebih banyak peluang kolaborasi akademik dapat diwujudkan antara kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar program mobiliti pensyarah diperluaskan, khususnya dalam pengajaran Bahasa Inggeris bagi pensyarah Algeria di Malaysia, serta program Pengajian Islam dan Bahasa Arab untuk pensyarah Malaysia di Algeria.

Perkukuh Hubungan Akademik dan Penyelidikan

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang penyelidikan bersama dalam bidang-bidang berfokus yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Malaysia dan Algeria bersetuju untuk terus memperkasakan pertukaran ilmu dan pengalaman akademik bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi.

Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa, dan kerjasama strategik seperti ini mampu menarik lebih ramai pelajar Algeria melanjutkan pengajian di Malaysia.

“Kita mahu Malaysia terus menjadi perhatian negara luar sebagai destinasi pendidikan yang berkualiti. Dengan kerjasama seperti ini, kita bukan sahaja memperkasa sistem pendidikan tinggi tempatan tetapi turut membuka peluang untuk perkongsian ilmu secara global,” ujar Dr. Zambry.

Kunjungan hormat ini menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperluaskan jaringan antarabangsa serta memastikan Malaysia terus memainkan peranan utama dalam landskap pendidikan tinggi global.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments