PORT DICKSON, 5 MAC – Kesungguhan rakyat Palestin dalam menuntut ilmu meskipun diuji dengan penindasan dan kehancuran infrastruktur pendidikan wajar dijadikan inspirasi kepada pelajar di negara ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam sesi bertemu warga Politeknik Port Dickson (POLIPD) malam tadi.
Dalam siri Kembara Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 yang kini memasuki destinasi kedua, beliau menegaskan bahawa pendidikan adalah kunci utama dalam membentuk masa depan negara, dengan politeknik memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang.

“Pelajar politeknik bukan lagi kelas kedua. Kita harus mengangkat martabat politeknik dan memastikan institusi ini terus berkembang dengan kualiti pendidikan yang setanding,” katanya.
Reskilling & Upskilling Pelajar Politeknik
Dr. Zambry turut mengingatkan para pelajar mengenai kepentingan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), upskilling dan reskilling sebagai keperluan dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.
“Politeknik bukan sahaja melahirkan tenaga kerja teknikal, tetapi juga membuka laluan akademik sehingga ke peringkat ijazah dan doktor falsafah. Ini selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM 2025-2035) yang bakal memperkasakan pendidikan TVET negara,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan pelajar untuk berhati-hati dalam perjalanan pergi dan pulang dari kampus bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Perasmian CENTS – Hab Latihan dan Kerjasama Industri
Dalam lawatannya, Dr. Zambry turut merasmikan Centre for Electrical, Energy, Technology & Services (CENTS) di POLIPD. CENTS berfungsi sebagai Reskilling and Upskilling Centre (RUC), menyediakan latihan semula dan peningkatan kemahiran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
CENTS menawarkan program latihan kompetensi dan profesional bagi industri, agensi, penjawat awam serta komuniti, menggunakan modul berstandard antarabangsa yang mendapat pengiktirafan badan pentauliahan profesional.

Menariknya, CENTS turut menjalin kerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti KNX Belgium, yang bukan sahaja menawarkan latihan tetapi juga peluang pekerjaan kepada graduan selepas tamat latihan.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa politeknik mampu menjadi pusat kecemerlangan dalam penghasilan tenaga kerja berkualiti tinggi untuk masa depan negara,” kata Dr. Zambry.
Sumbangan Kepada Pelajar & Majlis Iftar Bersama Warga POLIPD
Dalam majlis yang sama, Dr. Zambry turut menyaksikan penyerahan dermasiswa dan sumbangan kepada pelajar yang memerlukan, antaranya RM15,000 daripada Koperasi PPD, RM14,000 daripada Tabung Amanah Zakat PPD dan RM5,000 Geran Aktiviti Majlis Perwakilan Pelajar Tahun 2025 daripada Yayasan Perkasa Siswa
Suasana iftar di POLIPD lebih meriah apabila warga politeknik sendiri bergotong-royong menyediakan juadah berbuka, termasuk nasi bertalam, kari ayam, kari kambing, ikan masin, dan sambal belacan yang turut dinikmati oleh Dr. Zambry bersama lebih 3,000 warga politeknik, termasuk pelajar bukan Islam.
Majlis diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah, diikuti dengan moreh bubur kacang hijau yang dimasak secara gotong-royong oleh warga politeknik.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Pengarah PPD, Haji Hasan Mohd Sharif.

Dr. Zambry turut menyatakan komitmen KPT untuk meneruskan Kembara Ramadan ke lebih banyak institusi pendidikan tinggi bagi memastikan agenda pendidikan tinggi negara dapat dikongsi secara menyeluruh kepada warga akademik dan mahasiswa di seluruh Malaysia.
“Terima kasih kepada warga POLIPD atas sambutan mesra. Politeknik bukan biasa-biasa. Insya-Allah, kita akan teruskan usaha memperkasakan pendidikan TVET dan memastikan graduan politeknik menjadi pilihan utama industri,” katanya.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply