Tuesday, June 11, 2024
HomeBERITAKopi Pangku, Gaun Baju Melayu tampil Nasha Aziz dan Ewan Fauzi

Kopi Pangku, Gaun Baju Melayu tampil Nasha Aziz dan Ewan Fauzi

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Pementasan dua monodrama ‘Kopi Pangku dan Gaun Baju Melayu’ di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 hingga 20 Ogos depan akan menjadi taruhan Persatuan Teater Malaysia dalam usaha menjadikan teater tempatan sebagai sebuah industri.

Presiden Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin berkata persembahan yang menampilkan dua karyawan lakon Nasha Aziz dan Ewan Fauzi ini merupakan aktiviti terkini persatuan itu bagi melonjakkan teater tempatan daripada sekadar sebuah persembahan kepada sebuah kerjaya profesional.

“Usaha ini telah pun dilakukan penggiat teater Inggeris kerana mereka menerima sokongan penajaan yang besar daripada syarikat swasta sedangkan teater Melayu hanya bergantung kepada sumbangan dana dan geran kementerian dan jabatan kerajaan yang jumlahnya terhad mengikut peruntukan belanjawan negara.

“Oleh sebab itu, kami sanggup memanggil pelakon prolifik seperti Nasha Aziz dan pengarah teater terkemuka, Dr. Rosminah Tahir mantan Dekan Fakulti Teater Aswara yang juga Ahli Kehormat Persatuan Teater Malaysia, walaupun kami tahu pulangan pendapatan tidak akan mampu menampung kos penerbitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sakrani yang juga penerbit projek monodrama itu berkata, walaupun berskala kecil dengan muatan dewan tidak melebihi 100 penonton, Persatuan Teater Malaysia tetap membawakan monodrama bertaraf profesional melalui teknik persembahan, arahan dan lakonan.

“Usaha ini perlu dilaksanakan kerana kami mengundang organisasi korporat dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta membeli tiket secara pukal untuk disumbangkan kepada petugas dan pelajar masing-masing, di samping jualan terbuka kepada orang awam dan peminat teater.

“Kami ingin memperkenalkan teater tempatan kepada golongan korporat dan generasi muda terutama pelajar yang masih belum menjadikan budaya menonton teater sebagai aktiviti waktu senggang sepertimana mereka menonton filem atau konsert,” katanya.

Sakrani berkata, monodrama ‘Kopi Pangku’ dan ‘Gaun Baju Melayu’ mempunyai dua cerita/skrip iaitu ‘Kopi Pangku’ (karya Dr. Rosminah Tahir) dan ‘Gaun Baju Melayu’ (karya Sitiroy Tan).

Katanya, kedua-dua cerita ini tidak ada kaitan antara satu sama lain dan mempunyai prespektif berbeza dari segi kandungan cerita.

Beliau bagaimanapun berkata, falsafah yang terselindung adalah sama iaitu tentang kehidupan lampau seseorang yang mempunyai sejarah tersendiri dan bagaimana mereka menanganinya.

‘Kopi Pangku’ dan ‘Gaun Baju Melayu’ diterbitkan oleh Persatuan Teater Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan CTRA Productions dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Untuk pertanyaan dan tempahan tiket, hubungi Pengarah Projek, Siti Rohayah Atan melalui talian 017-8716060.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments