Friday, July 26, 2024
HomeBERITASabrina Ahmad, harapan baharu penduduk Jitra

Sabrina Ahmad, harapan baharu penduduk Jitra

JITRA, 5 Ogos – Siapa pilihan hati lebih 63,000 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra pada 12 Ogos depan.

Ahli akademik atau usahawan?

Perikatan Nasional mempertaruhkan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah, 50, mewakili parti itu dan Pakatan Harapan pula mengenengahkan anak tempatan yang juga usahawan berjaya, Datin Sabrina Ahmad, 45 tahun.

Ikuti temubual eksklusif Datin Sabrina Ahmad di The Malaya Post.

Soalan: Apa yang membuat Datin minat untuk terlibat dalam politik?

Saya melibatkan diri dalam politik bukanlah untuk mengejar apa-apa kepentingan untuk diri atau keluarga saya sendiri. Dari sudut kelangsungan hidup, saya dan keluarga sudah tidak ada apa-apa yang perlu dikejar dari segi material kerana kedudukan kewangan kami sudah kukuh. Saya banyak terlibat dalam bidang perniagaan terutama dalam industri pengilangan dan menjawat jawatan Pengarah Urusan dalam syarikat ubatan-ubatan tradisional, ubatan-ubatan suplimen dan kosmetik seperti DS Pharma Sdn Bhd, DZR Pharma Manufacturing Sdn Bhd, Fereena Beauty & Health Sdn Bhd, Fereena Marketing Sdn Bhd dan Fereena Im Sdn Bhd. Sebaliknya, tujuan saya menceburkan diri dalam bidang politik hanya satu, iaitu untuk melihat negara saya membangun, masyarakatnya menjadi lebih bersatu-padu dan paling penting anak-anak muda terus maju ke depan. Saya tidak mahu golongan belia kita ketinggalan berbanding rakan-rakan mereka di negara lain. Saya yakin pengalaman luas saya dalam bidang perniagaan akan dapat membantu saya membuka ruang dan jalan untuk melahirkan lebih ramai golongan usahawan di negara kita. Apa yang mereka perlu ialah panduan dan kemahiran serta bantuan dana yang boleh didapati daripada banyak agensi dan institusi sedia ada. Saya akan berkongsi pengalaman bagaimana saya yang dari keluarga susah membina semua yang saya ada dari bawah sehingga berjaya. Masa sama, apa-apa kelebihan dari sudut kewangan hasil daripada perniagaan saya akan digunakan untuk membantu golongan susah.

Soalan: Apa yang membuat Datin memilih PKR sebagai platform politik?

Saya memilih untuk bergerak dalam Pakatan Harapan (PH), khasnya PKR, kerana saya tertarik dengan tujuan dan matlamat perjuangan PKR yang sejiwa dengan prinsip hidup saya. Kalau dilihat dalam Perlembagaan PKR ada 17 tujuan dan matlamat perjuangannya yang semuanya memberi citra baru yang segar kepada politik Malaysia. Paling penting ialah mewujudkan masyarakat adil dan negara demokrasi yang progresif serta bersatu kerana sekian lama kita melihat ketidakadilan berlaku dalam pentadbiran negara dengan pihak yang kaya dan berkuasa menikmati kemewahan manakala golongan miskin terus papa kedana kerana kebobrokan sistem yang kita ada. Begitu juga dengan situasi masyarakat yang selama ini bersifat regresif dan berpecah-belah dengan isu-isu picisan perkauman dan keagamaan yang menghalang negara dari bergerak ke depan. Kami dalam PKR tidak mengenepikan perkara-perkara asas yang menjadi tunjang negara, seperti menghormati sistem Raja Berpelembagaan, menghayati Islam sebagai agama Persekutuan, mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi serta mempastikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak digunakan khusus untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi mereka yang miskin dan terbiar. Kelebihan PKR lain ialah ia adalah parti marhaen yang memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upahan yang adil, mempertingkatkan martabat dan peranan wanita dalam kehidupan masyarakat, memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dan remaja serta meningkatkan mutu hidup Orang Asal. Kini, sebagai peneraju Kerajaan Perpaduan, saya percaya pelbagai idealisme yang bertunjangkan tadbir urus yang baik, akan dapat kita laksanakan menjadi negara majmuk ini lebih baik di masa hadapan.

Soalan: Apa kelebihan Datin berbanding pesaing dari Perikatan Nasional (PN) di Jitra?

Kelebihan utama saya di Jitra adalah kerana saya telah lama bergiat aktif dalam masyarakat di Kubang Pasu sejak menceburkan diri dalam bidang politik pada tahun 2007 sehingga menjadi Ketua Wanita PKR Kubang Pasu dan Ketua Wanita PKR Kedah pada tahun 2018 seterusnya Ketua Wanita PKR Merbok, Ketua Wanita PKR Kedah, Ketua Wanita PH Kedah dan Bendahari Wanita PH Malaysia mulai 2022. Banyak kerja kemasyarakatan di lapangan di sekitar Kubang Pasu yang telah saya lakukan sejak lebih 10 tahun lalu sehingga membolehkan saya mampu menyelami denyut nadi masyarakat. Saya tahu apa masalah dan keperluan penduduk di Jitra dan jika diberi mandat saya akan memperjuangkan kepentingan mereka di peringkat Kerajaan Pusat.

Saya mungkin tidak mempunyai ijazah doktor falsafah seperti pesaing saya, tetapi memiliki ijazah tinggi bukanlah penentu untuk menjadikan kita seorang pemimpin yang baik. Kita tidak perlu kepada ijazah berderet-deret atau popular di media sosial, tetapi yang lebih diperlukan ialah kebolehan membuat kerja dan kesenangan untuk didekati oleh rakyat. Saya mungkin memiliki ijazah asas dan tidak pernah menjadi ketua sebuah organisasi tetapi saya sentiasa turun padang, tidak bersikap elitis dan sentiasa membuka pintu rumah dan pejabat kepada rakyat. Saya juga anak Kedah, jadi saya lebih faham dengan kehendak dan naluri rakyat Kedah berbanding pesaing saya yang merupakan anak Selangor. Walaupun menetap di Sungai Petani, tetapi Jitra tidak asing dengan saya kerana kilang dan pejabat saya dan suami beroperasi di Napoh dan Pekan Jitra.

Lebih penting lagi, saya punya jawatan dalam parti baik di peringkat Bahagian, Negeri dan Pusat yang akan memudahkan saya membantu rakyat berbanding pesaing saya yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti. Ketua Wanita PKR contohnya adalah Menteri Pendidikan, dan ini akan memudahkan saya menyelesaikan apa-apa isu pendidikan yang dihadapi oleh penduduk.

Soalan: Bagaimanakah sambutan pengundi ke atas kempen Datin?

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan sambutan yang sangat tidak saya sangka-sangkakan dari penduduk Jitra sejak kempen saya bermula. Pendekatan saya ialah dengan membuat kempen pada skala kecil dengan membuat lawatan ke rumah, kedai, pasar dan tidak membuat ceramah besar-besaran kerana saya percaya mendekati rakyat secara personal akan membolehkan kita menjalinkan hubungan rapat berbanding ceramah besar-besaran yang bersifat superficial dan sehala tanpa ada kesempatan untuk beramah-mesra dan mendengar permasalahan mereka. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat di Jitra atas sambutan hangat mereka kepada saya. Saya percaya rakyat Kedah akan lebih terbela dengan gabungan Kerajaan Perpaduan PH – BN.

Soalan: Jika menang di Jitra apa perancangan Datin untuk pengundi Jitra?

Bila saya turun berjumpa dengan pengundi di lapangan, saya terkejut dengan banyak kekurangan yang saya lihat. Walaupun Ahli Parlimen Kubang Pasu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra sebelum ini dan sekarang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, termasuk sebagai Menteri Besar, tetapi bila saya santuni penduduk saya dimaklumkan kelibat mereka jarang kelihatan setelah menang. Sebab itu prasarana di sekitar Jitra banyak yang kekurangan, contohnya ialah stesyen bas, stesyen kereta, jalan, longkang, lampu jalan, tapak pasar malam, pusat sukan dan rekreasi, jaringan internet, rata-rata pada tahap yang daif. Jika menang di Jitra, perkara pertama yang akan saya lakukan ialah mewujudkan sebuah pejabat yang dilengkapi dengan pegawai sepenuh masa yang akan memudahkan urusan hubungan dengan rakyat di Jitra. Setiap aduan dan masalah mereka akan kita ambil berat dan tangani dengan segera.

Melihat kepada data pengundi di Jitra khususnya dan di Kedah amnya majoriti pengundi adalah terdiri daripada kaum wanita dan golongan belia sedangkan kita lihat kepentingan mereka sebelum ini sepertinya tidak terjaga. Untuk itu, jika menang di Jitra saya akan merangka program khusus untuk memberdayakan dan menjaga kebajikan mereka. Fokus saya adalah selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu untuk menoktahkan kemiskinan tegar. Untuk itu saya akan memanjangkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Kerajaan Pusat, iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN), di Jitra selain program khusus untuk membantu golongan ibu tunggal dan golongan belia yang keciciran melalui program keusahawanan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Selain itu, saya juga akan mengusahakan pusat sukan dan rekreasi yang bermutu untuk Jitra.

Soalan: Apa peluang PH-BN untuk menguasai DUN Kedah dalam PRN ini?

Kita lihat dalam media sosial PN berbangga dengan himpunan besar dalam ceramah mereka. Diaturkan golongan belia bermotosikal bagi menunjukkan sokongan rakyat kepada mereka. Bagaimanapun, himpunan besar tidak mencerminkan sokongan sebenar rakyat kerana ia boleh dibuat-buat. Sebaliknya, jauh di dasar bila kita temui secara peribadi pengundi, ramai di antara mereka yang tertekan dengan kegagalan kerajaan menunaikan kewajipan menyediakan kemudahan asas kepada mereka, termasuk paling kritikal ialah bekalan air bersih. Ramai yang dahagakan pembangunan dan bersungut tentang kekurangan peluang kerja di negeri ini. Semua ini masalah lebih mendasar yang dirasai oleh majoriti senyap (silent majority) dan penyelesaian kepadanya ialah dengan menukar tampuk pemerintahan kerajaan negeri supaya sama dengan Kerajaan Pusat kerana bila kerajaan tidak selari tidak banyak yang boleh dilakukan. Sebab itu saya melihat PH-BN berpeluang untuk menguasai DUN Kedah bila rakyat sedar mereka tidak boleh hidup dengan emosi yang merugikan. Kami team PH-BN akan berhabisan untuk membuat yang terbaik untuk menjaga kepentingan rakyat Kedah. Saya yakin dengan kesepaduan team BN-PH, termasuk di Jitra, kita akan mampu mencatatkan kejutan dan kalih Kedah bagi sama.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments