Monday, May 27, 2024
HomeBERITAKongsi berita palsu tentang jangkitan koronavirus, Zed Zaidi dipanggil beri keterangan

Kongsi berita palsu tentang jangkitan koronavirus, Zed Zaidi dipanggil beri keterangan

CYBERJAYA, 31 Jan — Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil hari ini hadir memberi keterangan lebih dua jam di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung tindakannya berkongsi berita palsu tentang jangkitan 2019 novel koronavirus.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, 40, tiba di Menara SKMM, di sini bersama peguamnya Tuan Zamri Idrus pada pukul 3.30 petang dan selesai memberi keterangan kira-kira 5.45 petang.

Zed Zaidi yang ditemui memaklumkan telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kes itu.

“Untuk yang di luar sana berhati-hati bila post (membuat hantaran di media sosial),” katanya ringkas.

Sementara itu Tuan Zamri berkata anak guamnya disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana berkongsi gambar berita palsu di laman Twitter kononnya semua negara telah menyekat kemasukan pelancong China kecuali Malaysia.

Beliau berkata kad sim Zed Zaidi turut diambil dan direkodkan oleh SKMM.

“Kami dimaklumkan tadi oleh pihak SKMM, sekiranya ada keperluan untuk mereka mendapatkan butiran lanjut daripada Zed, mereka akan panggil (semula)…itu sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada Zed Zaidi sememangnya berniat untuk menyebarkan berita tidak sahih atau menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, Tuan Zamri berkata perkara yang ditulis di laman Twitter itu hanyalah satu persoalan peribadi.

“Tidak sama sekali, itu memang disahkan oleh Zed sendiri. Tidak ada niat apa pun,” katanya.

Pelakon itu baru-baru itu berkongsi berita palsu berbunyi: Breaking News: All countries except Malaysia – All countries has banned Chinese tourist except Malaysia yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook dan Twitternya.

Selain Zed Zaidi, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini turut merekodkan keterangan pemilik laman sesawang “Oh My Media” Mohd Khairul Anuar Rosli, 30, dan seorang lagi orang awam kerana berkongsi berita palsu mengenai kedatangan ratusan pelancong China di Pulau Langkawi, Kedah yang didakwa lari daripada wabak koronavirus di negara itu. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

SourceBERNAMA
RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments