“Satu undi kepada KJ di Sungai Buloh adalah undi kepada KJ”.

Demikian reaksi Khairy mengulas mengenai kenyataan penyandang tiga penggal Sungai Buloh, R. Sivarasa bahawa undi kepada Khairy bermakna undi kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Naratif ini mesti dijelaskan sekarang juga, calon Perdana Menteri BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Saya akan mendukung beliau sebagai calon Perdana Menteri seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid sendiri, tiada kekeliruan di situ,” katanya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy dicabar oleh calon Pakatan Harapan (PH) Datuk R. Ramanan dalam usaha PKR untuk mengekalkan kerusi itu bagi kali keempat berturut-turut dan turut berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Ghazali Md Hamin dari PAS.

Calon lain yang bertanding ialah Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang) manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Ahmad Jufliz Faiza serta dua calon Bebas – Nurhaslinda Basri dan Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff, yang mencuri tumpuan apabila hadir memakai but kuning seperti sinonim dalam siri televisyen popular di Singapura dan Malaysia, Phua Chu Kang.

Pada 2018, Sivarasa dari PKR memenangi kerusi itu dengan majoriti 26,634 undi. Penyandang itu tidak mempertahankan kerusi berkenaan berikutan masalah kesihatan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Jusni Hashim berkata Parlimen Sungai Buloh mempunyai 158,090 pengundi.–THE MALAYA POST